Sambutan bulan kemerdekaan negara ke-56 dan perayaan Hari Malaysia ke-50
pada tahun ini memberi makna dan kesan yang mendalam kepada generasi akan
datang kerana manifestasi patriotisme oleh warga Malaysia masa kini terakam
dalam bait-bait puisi yang puitis, kemudian dikumpul dalam sebuah antologi
sajak yang amat tebal. Rakaman bertulis ini akan menjadi bahan rujukan betapa
rakyat jelata telah bersatu hati mencipta sajak semata-mata untuk menyatakan
kecintaan mereka terhadap tanah air sendiri yang telah melewati separuh abad
menikmati kemerdekaan dan kebebasan daripada belenggu penjajahan.
Antologi sajak itu diberi judul Suara
Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka adalah merupakan sebuah antologi sajak
tertebal di negara ini. Ketebalan ialah 1424 halaman. Malahan ia mencipta
sejarah tergolong sebagai kumpulan sajak pertama di Malaysia atau barangkali
juga di dunia yang berjaya mengungkap satu tema iaitu kemerdekaan negara
melalui garapan puitis seribu sajak yang ditulis seramai 519 penyumbang yang
terdiri daripada pelbagai status sosial, akademik, latar belakang, kepercayaan,
agama dan budaya.
Lantaran itu, kumpulan sajak ini berada dalam kelas tersendiri dalam arena
persuratan dan kesusasteraan kebangsaan kerana selain ketebalannya, ia adalah satu-satunya
antologi yang dijayakan oleh semua lapisan masyarakat pelbagai bangsa daripada
tokoh negara hingga ke golongan pekerja dan suri rumah yang telah menyumbangkan
karya masing-masing.
Bagi mengambarkan keterlibatan semua lapisan masyarakat, kandungan antologi
tersebut telah dipecahkan mengikut kategori status masyarakat dalam sepuluh
segmen iaitu segmen A: Tokoh Negara, B: Agamawan, C: Ahli Politik, D: Anak
Merdeka, E: Sasterawan/ Penulis/ Wartawan, F: Penyair dari Seberang, G:
Mahasiswa/ Pelajar, H: Pegawai Kerajaan/ Pesara/ Swasta, I: Saudagar/ Ahli
Korporat dan J: Petani/ Suri Rumah/
Pekerja.
Antara penyumbang sajak termasuk TYT
Tun Abdul Rahman Abas, Gabenor Pulau Pinang, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak,
Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Seri Diraja
Zambry Abdul Kadir, Sasterawan Negara Dato’ Dr Ahmad Khamal Abdullah (KEMALA),
Sasterawan Negara Dato’ Dr Baharudin Zainal (Baha Zain), Dato’ A Kadir Jasin,=
dan Dr Zurinah Hassan.
Di samping itu, buku tersebut turut merakamkan kronologi peristiwa negara
bermula pembukaan Melaka pada tahun 1400 Masihi sehingga tahun 2013 yang
mencatatkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 untuk rujukan pembaca mengenai
rentetan sejarah penting yang telah berlaku di negara ini.
Seribu sajak merdeka yang dimuatkan dalam antologi ini telah dikumpulkan
dan disunting oleh Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) semenjak bulan Mac
2007 sempena 50 tahun kemerdekaan negara tetapi tidak dapat diterbitkan pada
tahun tersebut kerana halangan mendapatkan penaja untuk menampung kos cetak
yang agak mahal. Namun pada tahun ini
Jabatan Penerangan Malaysia bersetuju menerbitkan antologi ini sempena sambutan
ulang tahun kemerdekaan Negara ke-56 dan perayaan Hari Malaysia ke-50 dengan
tema Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku.
Justeru buku ini akan dilancarkan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek,
Menteri Komunikasi dan Multimedia selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan
Kemerdekaan ke-56 dan Perayaan Hari Malaysia ke-50 pada 19 September 2013 jam
10.00 pagi di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia,
Putrajaya.
Sesungguhnya, penerbitan buku Suara
Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka adalah medium manifestasi rakyat
Malaysia terhadap tanah airnya. Justeru buku ini adalah suatu khazanah sastera
negara yang memiliki keistimewaan dan kekuatan yang tersendiri di samping
penerbitan buku sajak yang pertama oleh Jabatan Penerangan semenjak jabatan
tersebut ditubuhkan pada tahun 1945.