KEAHLIAN


BORANG KEAHLIAN

SYARAT PENDAFTARAN AHLI:

1- Seorang penulis (karya pernah diterbitkan)

2- Lahir di Perak / bermastautin di Perak (k/p:08)

3- Berusia 21 tahun dan ke atas.


4- (* Sila buat pembayaran RM55.00 (Yuran ahli seumur hidup & pendaftaran) ke akaun MAYBANK: 558314425055

(Sertakan bukti pembayaran ke: karyawanpk@gmail.com )

5- Emelkan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

(Borang permohonan hanya akan diproses setelah disertakan bukti pembayaran dan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

6- Saya berjanji akan mematuhi perlembagaan persatuan dan bersedia mengikuti perkembangan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dari semasa ke semasa.


BORANG KEAHLIAN

ADAKAH ANDA BERSETUJU: SETUJU
TIDAK BERSETUJU
NAMA PENUH (* SEPERTI DI DALAM KAD PENGENALAN):
GELARAN:
NAMA PENA (*JIKA ADA):
ALAMAT SURAT-MENYURAT:
POSKOD:
ALAMAT EMEL:
NOMBOR KAD PENGENALAN:
TARIKH LAHIR:
TEMPAT LAHIR:
JANTINA: LELAKI
PEREMPUAN
STATUS PERKAHWINAN: BERKAHWIN
BERCERAI
BUJANG
ALAMAT BLOG/LAMAN WEB (JIKA ADA):
AKADEMIK:
BIDANG PENULISAN:
KARYA YANG PERNAH DITERBITKAN:

Put a website form like this on your site.

Thursday, January 20, 2011

Di mana ihsan dan kemanusiaan?'


2011/01/19

KELMARIN seseorang memanjangkan khidmat pesanan ringkas (SMS) memuatkan luahan rasa penyair sepenuh masa dari Perak, Amiruddin Hussin atau lebih dikenali Amirul Fakir yang kini terlantar sakit akibat barah hidung sehingga hilang segala punca pendapatan sejak lebih dua tahun lalu.


SMS Amirul Fakir berbunyi demikian: “Salam sahabatku. Semoga afiat selalu. Sekadar luahan hati pilu ... . Sejak 1989 saya bergiat aktif sebagai penyair, pengarang, penterjemah dan aktivis seni. Aktif terbabit dalam aktiviti dan program, menyumbang segala yang termampu, demi menjayakan program dan aktiviti anjuran Gabungan Persatuan Penuis Nasional Malaysia (GAPENA) sama ada di sekitar Kuala Lumpur mahupun di negeri lain di Malaysia. Namun saya berasa sedih bercampur pilu apabila saya ditimpa musibah - terlantar di ranjang sakit sejak April 2008 sehingga kini, tidak seorang pun wakil GAPENA yang peduli ... apatah lagi ziarah saya. Bukan RM yang utama, meski tidak dinafikan saya sentiasa perlukan untuk kos rawatan dan perubatan saban bulan. Saya penulis bebas dan tiada pendapatan tetap setiap bulan, tetapi yang lebih bermakna, simpati dan ingatan kepada saya yang pernah curah keringat untuk jayakan aktiviti itu. Saya berasa sangat-sangat sedih sahabatku ... mengenang wajah sebenar institusi yang sewajarnya menjadi ‘payung’ pengarang. Kelihatan seolah-olah ada ‘kasta’ ....” daripada Amirul Fakir.

“PENA memang pernah beberapa kali menghulurkan bantuan kepada saudara Amirul Fakir, selain menziarahi beliau atas dasar persahabatan dan bantuan itu akan cuba disalurkan secara dari semasa ke semasa bagi membantu penulis berkenaan yang kurang sihat,” katanya.

Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden PENA

“Kami memang ada menghulurkan bantuan kepada saudara Amirul Fakir yang dikutip di kalangan ahli dan sumbangan itu diserahkan kepada beliau tahun lalu. Di kalangan ahli terutama yang rapat dengan beliau turut menziarahi beliau mengikut kelapangan mereka,” katanya.

Zabidin Hj Ismail

Presiden Karyawan Pk


“GAPENA sedang dalam proses perbincangan bagi memberi sumbangan kepada Amirul Fakir. Tidak ada kaitan dengan dakwaan bahawa ada kasta dalam GAPENA dan kami akan cuba membantu beliau sedaya yang mampu,” katanya.

Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan

Ketua Dua GAPENA



Amirul Fakir yang disahkan menghidapi kanser hidung sehingga sebelah matanya tidak boleh melihat kesan daripada kelopak mata yang tidak boleh dibuka, bergantung kepada ubat penahan sakit, selepas tidak lagi menyambung rawatan kimoterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur

Sasterawan dan pengarang yang ingin menyalurkan bantuan atau memaklumkan keadaan ahli PENA yang uzur, boleh menghubungi Mohamed Saleeh di talian 019-3514940 atau SM Zakir (017-3427991).

Petikan Berita Harian

Monday, January 17, 2011

Saya tulis Interlok demi penyatuan bangsa - Abdullah

Novel Interlok kini digunakan oleh pelajar Tingkatan Lima sebagai komponen kesusasteraan bagi subjek Bahasa Malaysia. - Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN

“BACA secara keseluruhan, baca kesemuanya, baca sampai habis,” demikian pesan berulang-ulang kali Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, 91, kepada penulis sepanjang perbualan berhubung kontroversi yang menyelubungi novelnya Interlok di Petaling Jaya baru-baru ini.

Bagi Abdullah, polemik yang tidak berkesudahan mengenai novel Interlok yang dihasilkannya 40 tahun lalu berpunca daripada sikap prejudis segelintir pihak yang tidak cuba memahami intipati sebenar karya itu.

Menurut Abdullah, menerusi Interlok beliau hanya menggambarkan bagaimana wujudnya penyatuan di kalangan penduduk peribumi Tanah Melayu iaitu orang Melayu dengan masyarakat Cina dan India yang dibawa masuk oleh Inggeris sebagai pekerja buruh di lombong bijih timah dan ladang getah.

“Tak rasis, saya cerita tentang penyatuan orang Melayu, Cina dan India.

“Hubungan mereka dan penyatuan pada ketika itu yang membawa kepada wujudnya sebuah negara,” katanya penuh bersemangat berkongsi mengenai niatnya yang disalahertikan.

Secara keseluruhannya menerusi Interlok, Abdullah secara halus memaparkan titik tolak bermulanya hubungan antara kaum di Tanah Melayu iaitu sekitar tahun 1910 sehingga 1940-an.

Sasterawan Negera kelapan itu juga berjaya memecahkan tembok pemisah antara ketiga-tiga kaum ini yang dirancang Inggeris menerusi dasar pecah dan perintah sama ada dari segi hubungan sosial mahupun ekonomi.

Namun setelah puluhan tahun novel berkenaan dihasilkan, ia kini secara tiba-tiba menjadi isu hangat bukan sahaja di kalangan peminat karya sastera, malah menembusi pelbagai lapisan dan golongan masyarakat.

Wajah terkini... Tetap ceria bersama cucunya, Zakaria Matthew Basring, 3, walaupun hasil karyanya dilanda kontroversi. - Foto THE STAR Oleh DARRAN TAN

Kontroversi mengenainya tercetus apabila wujudnya desakan pihak tertentu yang cuba menafikan sejarah, mahukan novel itu diharamkan daripada dijadikan teks untuk komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Malah kira-kira 100 orang kaum India bertindak melampau membakar novel itu dan salinan gambar Abdullah di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Selangor kerana mendakwa Interlok mengandungi unsur rasis yang menghina kaum itu.

Rupa bangsa

Sungguhpun berada dalam keuzuran, Abdullah yang kini bergerak menggunakan kerusi roda tetap tegas mempertahankan niat murninya iaitu mengangkat sumbangan ketiga-tiga kaum tersebut.

Jelasnya semangat muhibah masyarakat Melayu, Cina dan India pada ketika itu menjadi penyumbang kepada pembentukan ‘rupa bangsa’ Malaysia pada ketika ini.

“Kalau sudah baca sampai habis, pasti nampak maksud sebenar. Saya gambarkan orang Melayu, Cina dan India ada peranan masing-masing.

“Sebenarnya tiga bangsa yang bersatu inilah yang membentuk rupa kebangsaan kita... bangsa Malaysia,” ujarnya yang masih petah berbicara sungguhpun mengalami masalah pendengaran.

Terang Abdullah lagi, beliau faham mengapa masyarakat India begitu marah mengenai karya sastera berkenaan.

"Tak rasis, saya cerita tentang penyatuan antara tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India" - Abdullah Hussain.

Namun jelasnya perkataan ‘paria’ yang terdapat dalam novel tersebut bukan bertujuan menghina atau memperkecilkan kaum India.

“Kena faham betul-betul, ‘paria’ memang ada di India, tapi di Malaysia tak ada... itu bezanya antara di India dan Malaysia.

“Lagipun perkataan itu wujud dalam kamus, tapi orang India di sini mula lupakan mengenai pegangan sistem kasta seperti ‘paria’,” jelasnya.

Legasi perjuangan sosial

Bagi Abdullah, sebagai seorang penulis, beliau mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dalam membentuk pemikiran masyarakat menerusi nukilan karya-karyanya.

Justeru, novel Interlok yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merupakan salah satu sumbangannya dari perspektif pembangunan sosial masyarakat.

Menurut Abdullah sekiranya novel berkenaan tetap diangkat menjadi bahan Komsas pelajar sekolah, legasi perjuangannya akan diteruskan oleh golongan pendidik hari ini.

“Guru boleh mainkan peranan mereka, boleh terangkan kepada pelajar mengenai penyatuan orang Melayu, Cina dan India.

Siti Soraya Basri

“Soal hubungan penyatuan ini mesti selalu diingatkan supaya kita boleh terus hidup dengan baik,” pesannya.

Bagaimanapun seakan sudah pasrah dengan apa yang berlaku, Abdullah menyerahkan nasib karyanya itu kepada Kabinet untuk membuat kata putus.

“Biarlah Kabinet yang tentukan, tunggu apa keputusan mereka,” katanya ringkas.

Ditanya mengenai perasaannya tatkala karyanya kini menjadi mangsa prasangka, beliau termenung sejenak.

Walaupun tanpa linangan air mata, namun dari mata dan raut wajahnya tersembunyi perasaan sedih dan remuk lebih-lebih lagi dituduh sebagai seorang rasis.

“Saya sedih, saya kecewa sebab orang tak faham (intipati) Interlok.

“Orang salah faham maksud saya, saya tak hina orang India... bacalah Interlok sampai habis, baca betul-betul,” katanya mengakhiri perbualan sambil mengalihkan kerusi rodanya masuk ke dalam bilik.

Karya ilmiah

Sepanjang perbualan penulis bersama Abdullah, beliau sentiasa ditemani isterinya, Datin Siti Soraya Basri, 65.

Menurut Siti Soraya, beberapa tahun dahulu Abdullah pernah memberitahunya bahawa sejak dari awal beliau berharap novel Interlok dijadikan bahan rujukan ilmiah.

Katanya, Abdullah menghasilkan novel berkenaan dengan harapan ia dapat dijadikan rujukan untuk pembangunan sosial masyarakat.

“Beliau beritahu saya bahawa Interlok ditulis dengan penuh berhati-hati serta kesungguhan kerana sejak dari awal beliau mahu novel itu dijadikan rujukan masyarakat hari ini dan akan datang.

“Jadi apabila pihak Kementerian Pelajaran putuskan bahawa Interlok akan dijadikan buku teks sekolah, suami saya sangat bersyukur kerana niat yang dipendamnya selama ini menjadi kenyataan,” katanya yang masih aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan.

Menurut Exco Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia itu, beliau bersyukur kerana suaminya diberikan ketabahan oleh Allah untuk mengharungi situasi ini.

Bangga

Jauh di sudut hati, penulis begitu bangga dan kagum dengan semangat Abdullah berdasarkan keadaan kesihatannya ketika ini kerana walaupun hanya boleh membaca soalan-soalan yang ditulis kepadanya, Abdullah tetap bersemangat memberi penjelasan mengenai karyanya itu.

Jika dihayati novel Interlok dengan berlapang dada dan rasional, jelas sekali ia sebenarnya sarat dengan mesej hubungan sosial yang tinggi terutamanya bagi mengingatkan masyarakat hari ini mengenai asas hubungan antara kaum di Malaysia.

Asas kehidupan bertolak ansur dan tolong menolong inilah yang menjadi ramuan penting terhadap keharmonian antara semua masyarakat berbilang kaum di negara ini.-MStar Online

Sunday, January 16, 2011

Lensa Isu Interlok di rumah GAPENA










Perjumpaan 33 NGO dan badan penulis seluruh negara di Rumah GAPENA pada Sabtu 15.1.2011 menyatakan bantahan terhadap golongan yang membakar novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain di Kelang, baru-baru ini. Resolusi perjumpaan bersefakat mempertahankan Interlok tanpa sebarang pindaan dan perlu digunakan terus sebagai teks KOMSAS bagi negeri-negeri Selangor, WP, NS dan Melaka. Kementerian Pelajaran wajar menerima resolusi ini serta melindungi karya sastera daripada celaan pihak yang tidak bertanggungjawab. - foto di atas ehsan Abu Hassan Ashaari (KEMUDI).

Saturday, January 15, 2011

Perhimpunan aman 33 NGO dan GAPENA pertahan Interlok



KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 orang terdiri daripada wakil 33 buah badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman bagi mempertahankan novel "Interlok" di sini, Sabtu.

Antara pertubuhan terlibat dalam perhimpunan anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) di Rumah Gapena itu ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat (KGMB), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Persatuan Kebajikan Penulis Negeri Selangor (Kemudi).

Sementara itu, Ketua II Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar (foto) berkata tujuan perhimpunan itu adalah untuk mempertahankan novel tersebut dari dipolitikkan, diharamkan penggunaannya dan dibuat pindaan ke atas beberapa ayat tertentu.

"Novel ini adalah sesuatu yang bernilai tinggi...satu resolusi berhubung isu ini juga akan dihantar kepada Kementerian Pelajaran selain mengadakan rundingan meja bulat dengan semua pihak tidak mengira kaum," katanya kepada pemberita.

Sementara itu anak penulis novel itu Datuk Abdullah Hussain, Thariq yang turut serta perhimpunan itu berkata beliau kesal dan terkilan kerana karya ayahnya itu dipolitikkan serta kecewa dengan tindakan pihak tertentu untuk mengharamkan novel tersebut daripada dijadikan buku teks untuk pelajar Tingkatan Lima.

"Ayah bukan ahli politik, beliau adalah seorang sasterawan, maka saya rayu agar jangan sesekali mempersenda atau mengambil peluang dengan mempolitikkan novel beliau.

"Saya cuma kasihankan ayah saya kerana beliau tertekan dengan isu tersebut, sedangkan sebelum menulis novel tersebut, beliau telah pun membuat kajian terlebih dahulu," katanya.

MIC sebelum ini menyatakan bahawa perubahan perlu dilakukan terhadap novel itu sebelum ia diguna sebagai buku teks sastera kerana sistem kasta yang disebut dalam novel itu didakwa sensitif kepada orang India dan tidak akan mencapai objektif penggunaannya.

Interlok dihasil berdasarkan integrasi masyarakat Melayu, China dan India sejak awal tahun 1900 sehingga merdeka. -BERNAMA

Monday, January 10, 2011

NGO Melayu: Hina sasterawan, hina Agong



oleh Abdul Rahim Sabri
Jan 10, 11
4:25pm


NONE



Lima persatuan penulis dan NGO Melayu membuat laporan polis terhadap tindakan sekumpulan masyarakat India membakar novel Interlok dan gambar penulisnya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Mereka mendakwa tindakan itu menghina sasterawan negara, membangkitkan kemarahan orang Melayu, malah boleh mencetuskan ketegangan kaum.

"Kami juga prihatin kepada Datuk Abdullah Hussain, seorang tokoh penulis yang menerima anugerah sasterawan negara daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

"Penghinaan terhadap sasterawan negara sama seperti penghinaan terhadap Agong," laporan polis itu dipetik.

NGO itu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penulis Nasional (PENA), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan Ikatan Melayu Asli Nusantara.

Aduan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara sebentar tadi.

Dalam laporan polis itu juga, mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dua wakil rakyat Pakatan yang hadir dalam demonstrasi itu, iaitu Dr Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) dan M Manoharan (DAP-Kota Alam Shah).

"Penglibatan ahli politik dapat dianggap sebagai pengakuan dan penerimaan mereka terhadap tindakan yang biadab itu," aduan polis itu dipetik.

Meja bulat, forum terbuka, memorandum

Dr Mariah bagaimanapun hari ini menegaskan kehadirannya tidak bermakna setuju dengan tindakan kira-kira 100 penduduk India yang membakar novel itu.

klscah corruption forum 230307 mohd ali hasanSementara itu, dalam sidang media selepas itu, Presiden PIBGN Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan (kanan, berbaju batik) berkata tindakan membakar novel itu merupakan penghinaan kepada sistem pendidikan, kebudak-budakkan, kurang matang, terburu-buru serta bertujuan mendapatkan keuntungan politik.

"Kami tidak mahu perkara ini diteruskan malah (perlu) diberhentikan. Ia bukan cara untuk membantah," katanya.

Beliau menggesa Kementerian Pelajaran mengadakan sidang media bulat melibatkan semua pihak untuk berbincang mengenai isu kontroversi ini.

PIBGN sendiri bersama Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya (UM), katanya, pada 26 Januari ini menganjurkan forum terbuka di UM bagi mencari penyelesaian.

Makalala Gapena pula menganjurkan perhimpunan NGO bagi mencari kata sepakat berhubung isu Interlok di pejabatnya di ibu negara Sabtu ini (15 Januari), kata pegawai medianya Borhan Mat Zain.

Kelima-lima NGO itu, tambahnya, akan menghantar memorandum bantahan berhubung insiden pembakaran novel itu kepada Kementerian Pelajaran petang esok.

Dalam perkembangan berkaitan, di Klang, dua lagi NGO - Persatuan Penulis Selangor (KEMUDI) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Klang - juga membuat laporan polis berhubung tindakan membakar novel itu atas alaran "menghina Agong".

Perasaan tidak puas hati turut dikongsi bersama sebuah NGO penulis India- Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) - berpendapat dalam budaya India, membakar buku dan bahan bacaan dianggap menghina ilmu-Malaysiakini

Friday, January 7, 2011

PENA: Kami telefon Muhyiddin hari ini juga



Oleh Jimadie Shah Othman (Malaysiakini)
Jan 8, 11
1:03pm

Bagi menyatakan kesungguhan mereka menentang penarikan balik novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain, Persatuan Penulis Nasional (PENA) berkata akan memaklumkan pendirian mereka kepada menteri pelajaran serta-merta.

"Hari ini juga kami akan telefon pembantu Tan Sri Muhyiddin Yasssin. Soal angkat atau tidak angkat (telefon), itu hal lain.

"Yang penting, PENA ambil tindakan cepat," kata timbalannya Amirrudin Md Ali Hanafiah.

Dalam sidang media di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini, Amirrudin juga berkata, pihaknya mahu memaklumkan bahawa menteri tidak harus "ikut telunjuk" mana-mana pendesak yang mahukan buku itu ditarik balik sebagai teks sastera tingkatan lima.

Katanya, pendirian itu juga diambil setelah bertemu sendiri dengan Abdullah sendiri bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu.

Hadir sama dalam sidang media itu Pengarah Penerbit Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Md Salleh Yaapar.

Sementara itu, presidennya Mohd Saleeh Rahamad pula berkata, mereka mahu mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri bagi menyampaikan tentangan mereka tanpa kompromi terhadap cadangan penarikan dan penyuntingan Interlok.

Bimbang komposisi panel

Mengulas tindakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula penggunaan novel itu di sekolah menengah, Mohd Saleeh berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan perkara itu.

"Kita bimbang bila kaji semula, jawatankuasanya dibarisi (wakil berkepentingan) secara tidak seimbang.

"Kita bimbang ada keputusan lain," katanya yang juga pensyarah pengajian media di Universiti Malaya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mempelbagaikan bantahan supaya dan bukan sahaja berorientasikan diplomasi, Mohd Saleeh menjawab perkara itu mestilah dibincangkan dengan persatuan lain terlebih dahulu.

"PENA di (bernaung) bawah Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional). Kita kena bincang dengan NGO lain juga. Kalau tak ramai, kalau kami tiga orang sahaja hendak berdemo, tidak jadi juga," katanya.

Sementara itu, Md Salleh pula berkata berkata, tindakan kerajaan mengkaji semula buku itu mungkin disebabkan terdapat kecenderungan untuk mendengar pendapat "sebelah lagi".

Sambil mendakwa, tentangan pada Interlok disebabkan tidak faham, Md Salleh berkata: "Apa yang disebut (pengarang) semua betul. Apa yang disebut semuanya fakta."

Thursday, January 6, 2011

Dialog novel Interlok Sabtu ini



Oleh Aziz Muda, Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Seluruh warganegara Malaysia terutama yang tinggal di sekitar ibu negara yang berminat untuk mengikuti dialog mengenai novel Interlok, berpeluang menyertainya pada hari Sabtu, 8 Januari ini.

Peluang tersebut terbuka kepada orang ramai apabila Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) mengambil inisiatif menganjurkannya dengan mengadakannya di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, di sini, mulai jam 10 pagi.

Setiausaha Agung Pena, Syed Mohd Zakir Syed Othman dalam satu kenyataan akhbarnya menjelaskan, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad, manakala panelnya pula terdiri daripada Dr Ilias Zaidi dan Dr Fatimah Busu.

Menurut beliau, dialog tersebut diadakan bagi menjelaskan isi kandungan novel Interlok secara ilmiah kepada semua pihak dan memberikan kewajaran novel itu dikekalkan sebagai teks Komsas.

Katanya, sehubungan itu, satu sidang akhbar akan turut diadakan oleh pihak Pena pada hari dan tempat yang sama pada jam 12.30 tengah hari.

"Sidang akhbar itu diadakan bagi menyatakan pendirian Pena menyokong novel Interlok dikekalkan sebagai teks Kamsas tanpa sebarang perubahan terhadap mana-mana isi kandungannya," jelasnya.

Interlok merupakan sebuah novel bermutu yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein yang mengambil latar masa sekitar tahun 1910 hingga 1957. Ia mendapat hadiah saguhati dalam peraduan menulis novel sempena 10 tahun merdeka, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam peraduan itu, novel Sandera terpilih memenangi tempat ketiga, manakala hadiah pertama dan kedua tidak dimenangi sebarang novel.

Novel Interlok adalah satu rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen. Ia adalah rakaman realiti semasa yang cukup baik, mengenai masyarakat Malaysia waktu itu iaitu zaman pra merdeka dan ia sangat sesuai dijadikan teks sekolah. Oleh itu, ia tidak sewajarnya menjadi mangsa politik perkauman di negara ini.

Bagaimanapun, kontroversi mengenai Interlok timbul apabila MIC dan Gabungan NGO India memandangnya sebagai sebuah novel yang menghina kaum India, khususnya pada bahagian-bahagian tertentu, sehingga ia dikatakan sebagai karya bentuk 'rasis'.

Lebih jauh dari itu, Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia, Datuk A Vaithilingam, dalam kenyataannya, mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel tersebut sekiranya ia tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian teks sastera SPM.

Tindakan dan bangkangan mereka itu dilihat tidak berasas dan melampau oleh pelbagai pihak. Bagi menjawabnya, semalam, Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI), telah mengadakan sidang medianya di rumah Pena untuk menyuarakan pandangannya dalam mempertahankan novel itu.

Pada sidang media itu, Presiden PAKSI, Dinsman, ketika menjawab soalan wartawan menjelaskan, jika kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran gagal mempertahankan novel itu dan gagal menangani masalah itu dengan baik dalam masa terdekat, pihaknya juga turut bercadang untuk mengadakan forum terbuka secara bersiri.

Forum tersebut akan diadakan di tempat yang dikunjungi orang ramai. Dalam konteks semasa, mereka bercadang untuk mengadakannya di Dun Tenang, memandangkan kawasan itu kini menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh negara, sempena pilihanraya kecil kawasan itu yang akan berlangsung 30 Januari ini.

Selain itu, beliau yakin, beberapa persatuan penulis lain juga sedang merancang untuk mengadakan tindakan tersendiri bagi menyuarakan pandangan mereka berhubung perkara itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Karya terkini

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: RM 35.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.