Rakan Penulis

Monday, April 2, 2012

Karyawan Pk ahli gabungan GAPENA?





Ucapan penangguhan Naib Yang diPertua KEMUDI, sdr Abu Hassan Ashari Abas dalam mesyuarat agung GAPENA di Melaka, baru-baru ini telah menyentuh tentang permohonan penyertaan gabungan Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] yang tertangguh sekian lama, telah meledakkan situasi tenteram.
Banyak pihak bersetuju Karyawan Pk menjadi ahli bongsu dalam GAPENA kerana mereka berpendapat bahawa kesatuan penulis mesti bersatu dalam sebuah bumbung jika mahu "suara"nya didengar; "tulisan"nya dibaca oleh pihak berwajib.
Kata mereka lagi, bukan masanya kini, badan-badan penulis mempamerkan sikap keberasingan, sebaliknya konsep keberadaan itu perlu bagi menjamin keunggulan dan kewibawaan.

Harapan KEMUDI adalah harapan semua pihak yang telah mencantas tali-tali pengikat keunggulan dan kewibawaan itu. KEMUDI memahami situasi itu. Dirgahayu KEMUDI!!!

Saturday, March 10, 2012

Zabidin Hj Ismail kekal sebagai Presiden Karyawan Pk bagi penggal 2012-14


Ahli-ahli Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] selagi lagi memilih Hj Zabidin Hj Ismail (foto) sebagai Presiden untuk tiga penggal berturut-turut semenjak 2006. Pemilihan beliau dibuat sebulat suara dalam mesyuarat agung dwi tahunan kali ke- 8 yang diadakan pada 10 Mac 2012 di Persisiran Sayong, Kuala Kangsar.

Manakala Prof Dr Muhammad Bukhari Lubis dipilih sebagai Timbalan Presiden setelah mengantikan Prof Madya Dr Talib Samat yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa. Penyair, Onn Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung dan Shakirah Rashid (Timbalan Setiausaha Agung), novelis Anuar Mohd Yusof kekal selaku bendahari.

Ahli Jawatankuasa pula ialah M Shah (Kuala Kangsar), Salehudin Ibrahim (Taiping), Sabariah Bahari (Ipoh), Saodah Mat Lazim (Taiping), Roshimah Buyong (Sungkai), Hjh Hanifah Ibrahim (Ipoh), Al Hisyam (Kuala Kangsar) dan Mohd Paris Arshad (Batu Gajah).

Mesyuarat kali ini merakamkan syabas kepada Majlis Bandaran Kuala Kangsar (MBKK) yang menerima saranan badan-badan penulis termasuk Karyawan Pk agar nama Melayu dimartabatkan ke atas lokasi pelancongan di Lembah Sayong yang terletak di tebing sungai Perak. Pada peringkat awal MBKK meletakkan nama RiverFront Kuala Kangsar tetapi sekarang ditukar kepada Persisiran Sayong.

Turut hadir ialah novelis dan pengkaji sejarah Panglima Awang, Zain Al Johan @ Lelaki Melayu Terakhir dari Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan. Beliau yang baru menghasilkan sebuah novel berjudul "Aku Penyudah Tugas Kpt Magellan dan Laksamana Hang Tuah" menjadi tetamu Karyawan Pk untuk memeterai MOU bagi melaksanakan pameran khazanah laut Melayu di Pesta Laut Lumut di TLDM pada 25 -29 April 2012.

Mesyuarat diakhiri dengan "Bicara Belasungkawa Zahari Hasib" yang disampaikan oleh Zabidin Hj Ismail dengan penuh sebak dan hiba bagi mengenang kembali jasa dan sumbangan Allahyarham Zahari Hasib dalam dunia kepenyairan tanah air. Zahari, 65 tahun, telah meninggal dunia di Teluk Intan pada 26 Februari yang lalu.

Sunday, February 26, 2012

ZAHARI HASIB meninggal dunia


Dengan teramat sedih dimaklumkan bahawa penyair tersohor tanah air, Hj Zahari Hasib telah berpulang ke rahmatullah waktu maghrib pada 26 Februari 2012 di Teluk Intan. Jenazahnya akan dikebumikan esok (27.2.2012). Kepada rakan dan sahabat handai yang ingin menziarahi jenazah boleh datang ke rumah arwah di Taman Intan Mas, Jalan Padang Tembak, Teluk Intan (berdekatan surau).

Saya menerima berita sedih ini sewaktu memandu balik ke Putrajaya dari Ipoh setiba di Behrang. Pesanan ringkas daripada Azim Salleh kemudian disahkan oleh Pakcik Ramli Daud (Sungkai) diikuti Puan Rosmiaty Shaari (Melaka) dan disahihkan oleh sms Dr Talib Samat (Tanjong Malim). Sebaik sampai di rumah, ada pesanan fb di wall saya oleh Puan Rahmahniah Hj Kantan (Teluk Intan) dan sdr Dzulkifly Zainudin (Berita Harian). Sahihlah Zahari Hasib sahabat kami telah meninggal dunia!!

Terima kasih
kepada pagi
yang menantang angin lembut
segar serta nyaman

Terima kasih
kepada mentari
yang membawa sinar terang
hingga boleh membaca
serta mencatat ilham
untuk menulis beberapa rangkap puisi

Terima kasih
dan selaut kesyukuran
kepada tuhan
yang telah membenarkan aku
hidup sehari lagi
pada hari ini!

ZAHARI HASIB
Teluk Intan, Perak


Zahari, ucap terima kasih engkau telah terhenti di sini!

Kematian telah bersarang di dada malam

pergilah sahabat

dingin malam ini

menyelimut engkau ke akhirat

Aku di sini memendam duka

sendu tidak dapat menatap bening wajahmu

sebelum berangkat ke liang lahat.

Al- Fatihah!


Putrajaya, 27 .2. 2012 (1.36 pg)


Zahari Hasib adalah seorang penyair Malaysia yang berasal dari Perak. Nama sebenarnya ialah Zaihari Mohd Hashib dan lahir pada 15 jun 1947 di Kampung Selboh, Parit, Perak. Mula berkarya pada tahun 1969 lebih dikenali sebagai seorang penyair walaupun beliau juga ada mengarang cerpen, rencana sastera dan skrip drama radio. Antara antologi puisi yang dihasilkannya ialah Kuntum Harapan (1992), Debu di Kaca (1995), Menyorot Kisah dan Ilham (1987) dan Bunga-bunga Terbuang (1989). Beliau pernah menjadi Bendahari Karyawan Pk serta terlibat banyak aktiviti persatuan termasuk menjadi hos majlis Gebang Puisi di Pasir Salak pada 11 Disember 1994.

- Zabidin Hj Ismail

Sunday, February 19, 2012

Santai Puisi dan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan ke-8


Dijemput semua ahli-ahli Karyawan Pk menghadiri majlis
"Santai Puisi" dan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan ke- 8
(usia ke-20) bertempat di Persisiran Sayong, Kuala Kangsar jam 10.00 pagi pada 10 Mac 2012.

Sambil menguyah puisi, anda juga bakal menjamah Laksa Kuala Kangsar yang terkenal lazat.

Antologi edisi khas "Suara Kita" akan diedarkan kepada tetamu untuk dideklamasikan semasa program.

Persisiran Sayong di sungai tenang
Nampak indah tenteram di hati

Tuan datang tetap dikenang
Meletak madah di rumpun budi.

Wednesday, February 8, 2012

FIESTA BUDAYA SENI BUDAYA PERAK 2012


BUAT JULUNG KALINYAFIESTA SENI BUDAYA PERAK (FSBP) 2012AKAN DIADAKAN DI NEGERI PERAK. MATLAMAT TETAP JITU IAITU MENYEMARAKKAN SENI BUDAYADALAM KALANGAN MASYARAKAT TERUTAMA RAKYAT DI NEGERI PERAK. PENDEKATAN JKKN PERAK DAN KERAJAAN NEGERI PERAK MELALUI MAJLIS KEBUDAYAN NEGERI BERTUJUAN MEMPERKENALKAN PRODUK SENI BUDAYA MELALUI ELEMENSENI MUZIK, TEATER, TARI, VISUAL, KRAF TANGAN DAN PELBAGAI ELEMEN SENI LAIN LAGI. PELUANG BAGI MENYERTAI DAN MENYAKSIKAN SENDIRI AKTIVITI YANG AKAN BERLANGSUNG SEPANJANG TIGA HARI ITU HARUS DIREBUT DAN BERIKUT BUTIRAN KETETAPAN WAKTUNYA:

TARIKH : 17-19 FEBRUARI (JUMAAT -AHAD)

JAM : 10.00 PAGI- 10.00 MALAM

TEMPAT : DATARAN MAJLIS BANDARAYA IPOH

AKTIVITI SENI TRADISIONAL YANG DIPERSEMBAHKAN AKAN LEBIH MENEPATI CITARASA SEMUA PERINGKAT UMUR DENGAN PENGISIAN AKTIVITI YANG DIADAKAN ANTARANYA MALAM ORANG MUDA GEMILANG BUDAYA

(MAJLIS PERASMIAN)

PADA 17 FEBRUARI 2012 (JUMAAT), 8.00 MALAM

YANG AKAN MENAMPILKAN PENAMPILAN ISTIMEWA ARTIS JEMPUTAN IAITU FARAWAHIDA DAN KRISTAL. TURUT DAPAT SAKSIKAN MALAM TERSEBUT IAITU ANDROMEDA (SENI MUZIK MODEN), NADI (SENI TARI PERTAHANAN DIRI), GES (GERAK EMOSI SUARA) DAN SENI VISUAL (ACTION PAINTING).

MENURUT PENGARAH JABATAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN NEGARA PERAK, ENCIK ABDUL MUTALIB BIN ABDUL RAHMAN, FIESTA SENI BUDAYA PERAK INI JUGA CUBA MENGESANSERTA MENCUNGKIL BAKAT-BAKAT TERPENDAM YANG ADA DIKALANGAN MASYARAKAT MELALUI SENI BUDAYA ANTARANYA:

PERTANDINGAN TULISAN KHAT/JAWI,

SAYEMBARA PUISI, DEKLAMSI SAJAK,

SEPAK RAGA RATUS,

PAMERAN AGENSI,

PERSEMBAHAN POKET,

DEMONSTRASI,

SANTAI TEATER,

KUIZ SENI BUDAYA,

SENAM SENI 1 MALAYSIA.


PIHAK PENGANJUR DENGAN SUKACITANYA MENJEMPUT SEMUA LAPISAN MASYARAKAT KE PROGRAM TERSEBUT UNTUK SAMA-SAMA MENGHAYATI DAN MENGHARGAI SENI BUDAYA MELALUI PROGRAM YANG AKAN DIADAKAN.

KETERANGAN LANJUT BERKENAAN PROGRAM INI BOLEH MENGHUBUNGI PIHAK JABATAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN NEGARA PERAK DI TALIAN 05-2537001, PUAN FAIRUS BINTI ALIAS. prteam_kekkwaprk@yahoo.com

Wednesday, February 1, 2012

TAKLIMAT UNTUK PENULIS DI PENA - TERBUKA!

Saya mendapat maklumat penting kepada penulis-penulis Malaysia, di mana inilah peluang untuk mereka mengembangkan bakat penulisan mereka yang sekali gus menerbitkan karya mereka. Di bawah ialah mesej daripada Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden, Persatuan Penulis Nasional (PENA). Saya kongsikan di sini atas manfaat bersama ;


Para penulis sekitar Lembah Kelang, Negeri Sembilan yang yang sesiapa sahaja yang sanggup datang ke PENA:

Pada 5 Februari 2012 akan diadakan satu bengkel dan taklimat penerbitan untuk mengumpulkan manuskrip asli dalam pelbagai genre untuk diterbitkan pada tahun ini.

Manuskrip ini terbuka kepada genre kreatif dan nonkreatif, bacaan pelbagai peringkat umur.

Manuskrip yang diterima untuk penilaian akan diterima dan dinilai mengikut tatacara yang lazim dalam dunia pernerbitan sebelum diterima untuk penerbitan.

Penerbit (ITBM) akan bekerja secara profesional dan akan berusaha memastikan karya yang berkualiti diterbitkan agar penerbitan ini akan diiktiraf oleh pelbagai pihak.

Penulis terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira had umur tetapi karya hendaklah dalam bahasa Melayu.

Anda dipersilakan membawa manuskrip masing-masing (pastikan anda menyimpan manuskrip penduanya kerana pihak kami tidak akan memulangkan manuskrip tersebut jika tidak lulus dalam penilaian).

Pihak urus setia akan menyediakan beberapa orang perunding dan fasilitator yang akan memberikan pandangan atau melayan sebarang pertanyaan.

Para penulis juga oleh datang dengan cadangan projek penulisan masing-masing. Manuskrip yang berjaya akan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Kadar royalti dan cara pemasaran juga akan dijelaskan pada majlis tersebut.

Sila sebarkan maklumat ini tanpa perlu meminta izin daripada penulis.

Salin drpd http://www.celikhuruf.com/

Tuesday, December 20, 2011

Malam Suara Kita



Terjawab sudah
derita
kembara sebuah harapan
dari keikhlasan dan keyakinan
... menempuh jua
segala kepayahan
menghimpun sejuta harapan
bersama bait bicara
dalam SUARA KITA
malam ini
bukti yang nyata
Karyawan Pk
menepati waktu
yang seakan pergi dan terlewat
tapi kegigihan
pasrah berkemampuan
jelas
antologi yang diimpikan
akhirnya menampilkan suaranya.


AL HISYAM,
Auditorium
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,
IPOH,
19 DISEMBER 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...