KEAHLIAN


BORANG KEAHLIAN

SYARAT PENDAFTARAN AHLI:

1- Seorang penulis (karya pernah diterbitkan)

2- Lahir di Perak / bermastautin di Perak (k/p:08)

3- Berusia 21 tahun dan ke atas.


4- (* Sila buat pembayaran RM55.00 (Yuran ahli seumur hidup & pendaftaran) ke akaun MAYBANK: 558314425055

(Sertakan bukti pembayaran ke: karyawanpk@gmail.com )

5- Emelkan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

(Borang permohonan hanya akan diproses setelah disertakan bukti pembayaran dan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

6- Saya berjanji akan mematuhi perlembagaan persatuan dan bersedia mengikuti perkembangan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dari semasa ke semasa.


BORANG KEAHLIAN

ADAKAH ANDA BERSETUJU: SETUJU
TIDAK BERSETUJU
NAMA PENUH (* SEPERTI DI DALAM KAD PENGENALAN):
GELARAN:
NAMA PENA (*JIKA ADA):
ALAMAT SURAT-MENYURAT:
POSKOD:
ALAMAT EMEL:
NOMBOR KAD PENGENALAN:
TARIKH LAHIR:
TEMPAT LAHIR:
JANTINA: LELAKI
PEREMPUAN
STATUS PERKAHWINAN: BERKAHWIN
BERCERAI
BUJANG
ALAMAT BLOG/LAMAN WEB (JIKA ADA):
AKADEMIK:
BIDANG PENULISAN:
KARYA YANG PERNAH DITERBITKAN:

Put a website form like this on your site.

Tuesday, June 21, 2011

Wacana merungkai yang tersirat dan yang tersurat dalam SBDJ






oleh Ishak Mohamad

KEMARIN, 20 Jun 2011 khalayak seni berkumpul lebih 8 jam di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak di Jalan Raja Di Hilir, Ipoh. Pertemuan ini yang dihadiri lebih kurang 500 peminat sastera tanahair – dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan, adalah bagi mengikuti Wacana Siri Bercakap Dengan Jin dan mengenali penulisnya yang selama ini – selama 30 tahun berdiam dan tidak pernah mendedahkan dirinya yang sebenar!

Pertemuan ini berakhir lebih kurang jam 6.30 petang, namun darinya bercambah selingkar fikir yang tiada hentinya.

Tahniah kepada Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] yang telah mengenengahkan Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) sebagai karya kreatif Melayu tersohor. Pembentang kertas kerja telah membenarkan dan memperakukan bahawa karya yang telah digarap dan bersiaran paling lama dalam majalah – selama 23 tahun 6 bulan – mengandungi 284 siri, telah dibukukan dalam 16 jilidan dan dicetak serta dijual melebihi sejuta naskhah!
Haji Zabidin Haji Ismail (Presiden Persatuan Karyawan Perak), Mohamad Paris Arshad (Pensyarah Institut Pendidikan Guru Hulu Kinta), Dr Bazrul Bahaman (UPSI), Dr Shaharudin Shaari (Pensyarah Institut Pendidikan Guru Hulu Kinta), Prof Madya Dr Talib Samat (UPSI), Dr Mohd Affandy Yusof (USM) – sekadar menyebut beberapa nama, semuanya mengakui bahawa SBDJ adalah sebuah karya yang hebat. Ianya bukan sekadar garapan kisah misteri alam bunian dan jin, tetapi ia berpaksi kepada ketuhanan yang maha esa dalam menyoroti kisah benar kehidupan dan sejarah bangsa Melayu dalam pengembaraan yang penuh dengan falsafah, psikologi sosio budaya, petua, perubatan tradisional, seni persilatan, kebatinan dan perburuan.
Presiden Persatuan Karyawan Perak dalam nukilannya pada buku cenderamata, mengatakan: Karya ini (SBDJ) digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan persitiwa melalui ‘orang pertama’ iaitu Tamar Jalis bersama ‘datuk’nya Kulup Muhamad Diah atau Long Mat Piah.

Setinggi-tinggi tahniah perlu diberikan kepada presiden Karyawan Pk, Haji Zabidin Haji Ismail yang kerana usahanya sejak lebih 10 tahun lalu, berjaya menyakinkan penulis yang selama ini berselindung di sebalik nama Tamar Jalis, mahu dan bersedia menampilkan diri di khalayak peminat.

Tamar Jalis analah nama pena bagi Ahmad Mahmud, seorang penulis kelahiran Beruas, Perak. Penulis ini juga biasa berselindung disebalik nama Ramadan A.M. dan Atma A.M.

Saya biasa berkesempatan menyaksikan dan menemani Tamar Jalis menulis SBDJ Siri cerita ini telah berjaya meningkatkan jualan Majalah Variasari sehingga 120 ribu naskhah sebulan pada tahun-tahun pertengahan 1980-an. Pada ketika itu lagi, ruangan Cakap Apa Saja majalah berkenaan sering menyiarkan permintaan agar Tamar Jalis mahu menampilkan diri.

Tamar Jalis menulis kerana dunianya adalah menulis. Dalam tulisannya, dakwah adalah pengisian dan jati diri bangsanya sebagai Melayu terlihat dalam hamparan alam Melayu termasuk dengan segala pepatah petitih dan segala macam budayanya.

Tamar Jalis seorang yang diam dan tidak banyak bercakap. Sebab itu dia berjaya menyembunyikan diri buat sekian lama. Namun penampilannya kemarin adalah sangat berarti dan memberi makna kepada kesederhanaan diri seorang insan.

Kalau dulu saya melihat dan biasa menemani Tamar Jalis berkarya, kemarin saya melihat nama Tamar Jalis dan diri Ahmad Mahmud dijulang. Waktu pengacara menghebahkan bahawa SBDJ telah dijual melebihi sejuta naskhah diikuti dengan makluman bahawa Ahmad Mahmud bertugas di majalah ini sebagai Ketua Pengarang, saya dapat merasakan bahawa dia cukup berpuas hati dengan hadiah melancung dan mengerjakan umrah yang diterimanya bagi karyanya ini. Ini kesederhanaan. Alhamdulillah.

Pada masa yang sama saya melihat maksud Karyawan Pk. Persatuan ini sebenarnya bukan sahaja mahu memperkenalkan Tamar Jalis sebagai tokoh penulis yang berasal dari negeri Perak tetapi ia sebenarnya mahu mengangkat nilai karya dan karyawan itu sendiri ke persada jaya.

Penulis, lebih-lebih lagi yang memulakan zamannya pada era sebelum merdeka, memang tidak pernah mengangan-angankan kemasyhuran apalagi kekayaan. Bagi mereka, cukuplah sekadar dengan menulis, asal saja menulis itu dapat memberikan kepuasan. Penulis seperti ini tidak pernah termimpi dengan sanjungan dan pujian.

Beberapa ketika dalam wacana berlangsung, Tamar Jalis membisikkan kepada saya, “Betulkah apa yang Abang Mat lalui ini, Sahak?” Ada masa dia sebut, “Abang Mat tak bermimpikah, Sahak?” Dan amat mengharukan saya bila dia menuturkan. “Abang Mat tak pernah terfikir karya Abang Mat dihargai setinggi ini!”

Sebab itu saya ucap setingg-tinggi tahniah kepada Karyawan Pk. Karyawan Pk berfikir merentasi dan melampaui zamannya. Karyawan Pk melalui kegiatan seninya ini mengatakan bahawa karya seni walau bagaimana baik sekalipun jika tidak dipromosi dengan betul, karya itu akan tenggelam sia-sia sahaja. Karyawan Pk juga amat memahami dunia mereka: orang seni tidak boleh hidup hanya dengan penghargaan dan terima kasih sebab terima kasih yang menggunung pun tidak boleh dijual bagi guna membeli kertas dan pensil untuk menulis. Inilah realiti yang saya fikir Karyawan Pk akui. Dan ini memanglah benar seperti benar kata Pak Samad Said (Sasterawan Negara) kepada saya suatu hari dalam tahun 1990 di kantin Tingkat 4 Bangunan KWSP Jalan Raja Laut:

“Saya hidup dengan menulis. Dengan menulis saya menyara kehidupan keluarga saya. Namun saya dibayar seperti peminta sedekah. Sebab itu saya cadangkan agar Ishak mencari ilmu menjual buku sepertimana Mamak buat roti dan menjualnya sendiri. Insya-Allah suatu masa boleh menjadi penerbit dan membayar saya dengan baik agar saya dapat rasa hidup selesa seperti orang lain.”

SBDJ telah ditulis sekian lama, dan sampai kini masih bersiaran di majalah yang sama. Kata Presiden Karyawan Pk, karya ini mengungkapkan kekuatan Melayu, kehidupan Melayu, jati diri bangsa Melayu dan ianya adalah sebuah karya yang mampu berdiri sebagai karya Melayu!

Saya melihat ungkapan di atas sebagai kesungguhan usaha meminta semua pihak memberi perhatian terhadap orang seni dan karyanya, sebab orang seni tak boleh hidup dan tak mampu berkarya dengan hanya terima kasih atau melancung. Orang seni perlu diberi jiwa supaya menjadi perkasa dan dapat mensesuaikan diri dengan kehidupan di masa kini!

Bukanlah berlebihan jika saya katakan bahawa SBDJ mempunyai penggemar dari seluruh nusantara. Adalah benar, umum mengetahui bahawa SBDJ adalah sebuah kisah misteri. Kenyataannya, karya ini digarap tanpa henti sejak 1981. Adalah juga benar lebih sejuta naskhah telah dijual – ini tidak termasuk yang dicetak rom[pak! Sarjana mengakui, ini adalah garapan nilai hidup, budaya dan falsafah bangsa Melayu. Dengan demikian, tidakkah cukup kekuatan untuk kita julang karya ini sehingga paling tidak satu jilidannya mampu dijadikan teks bagi pengajian sastera peringkat SPM dan STPM? Atau sebuah kajian untuk pelajar universiti?

Inilah cara menghidupkan penulis. Karya besar perlu diangkat setimpal nilainya. Saya yakin, dengan sedikit suntingan teliti, senaskhah SBDJ mampu diangkat sebagai teks pengajian sastera Malaysia.

Kita juga berharap, YB Dato’ Zainol Fadzi Haji Paharudin, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak yang turut hadir dan berucap merasmi tutup Wacana Siri Bercakap Dengan Jin yang juga sejak sekian lama turut tersentuh dengan garapan SBDJ, akan dapat berbuat sesuatu melebihi jangkauan terima kasih sebagai perjuangan memperkasa orang seni.

Thursday, June 16, 2011

Belasungkawa buat M Saleh Mahyat


Dengan sedihnya dimaklumkan bahawa penulis terkenal Hj. Mohamad Salleh bin Mahyat, 63 tahun telah meninggal dunia pada hari ini, 17 Jun 2011 jam 3.00 pagi. Jenazahnya akan dikebumikan di Bandar Tun Razak, Cheras sebelum solat Jumaat. Allahyarham berasal dari Bagan Datoh, Perak dan menetap di Kuala Lumpur selepas bersara daripada Jabatan Kerja Raya, Teluk Intan pada tahun 2003.

Sebagai seorang penulis, Allahyarham dikenali dengan nama pena M Saleh Mahyat dan Musalmah Mesra. Novelnya yang terakhir ialah "Cucu Pak Nayan" telah dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang lalu.

Menurut balunya, Hjh Jamaiyah Ariffin, pada malam tadi, Allahyarham menulis sehingga jam 11.00 malam dan kemudian masuk tidur dan membiarkan komputernya tanpa ditutup. Ketika menghembuskan nafas terakhir Jamaiyah berada di sisi Allahyarham kerana sepanjang malam dia tidak boleh tidur kerana mengidap sakit gigi.

"Allahyarham sihat tiada tanda-tanda dia hendak pergi," jelas Jamaiyah semasa penulis hubungi sebentar tadi. "Malam tadi dia sempat solat sunat gerhana bulan". ujarnya dengan tenang tetapi mengandungi perasaan sedih.

M Saleh Mahyat selain sebagai seorang penulis novel kanak-kanak, semasa hayatnya aktif dalam badan penulisan di Perak. Arwah pernah menjadi Setiausaha Satu Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Teluk Intan (PENTAS) dan pada tahun 1991 bersama-sama Hj Abu Bakar Sidik, Hj Zabidin Hj Ismail dan Mokhtar Hj Mansor menubuhkan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk). Sehingga akhir hayatnya, M Saleh Mahyat masih menjadi ahli Karyawan Pk dan aktiviti terakhirnya bersama badan penulis Perak itu semasa menghadiri program "Pertemuan Karyawan Perak" di Bandar Baru Country Homes, Rawang pada 19-21 Mac 2010.

Dari Allah kita datang kepada-Nya kita dikembalikan. Sesungguhnya, dunia persuratan tanah air telah kehilangan sebutir permata di langit zaman. Semoga roh Allahyarham hendaknya dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan solihin. Al-Fatihah.

Oleh
Hj Zabidin Hj Ismail
(Presiden Persatuan Karyawan Perak)


Friday, June 10, 2011

Alam bunian dan jin dalam SBDJ



Sinopsis Kertas Kerja;


Kajian Alam Bunian dan Jin ini melihat apa yang jelas ada dalam Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ). Banyak terdapat cerita-cerita yang menarik dalam siri tersebut dan cerita tersebut banyak dalam bentuk pemaparan yang boleh menarik minat pembaca. Pembaca yang tidak ada asas agama dan budaya yang kukuh akan jadi keliru. Ada juga yang akan jadikannya sebagai contoh dan panduan. Hal seperti ini yang kita tidak mahu kerana kita ingin melahirkan masyarakat yang benar-benar berilmu dalam semua segi. Jangan timbul ketaksuban dalam soal Jin dan Bunian ini.


Pengkaji juga ingin mengkaji sebaik mungkin dengan menggunakan teori agama dan budaya supaya masyarakat boleh memahaminya secara ilmiah dan bukannya berpersepsi dan berprasangka sahaja. Kajian ini bukan untuk menafikan kebenaran yang diceritakan oleh penulis. Pengkaji cuma ingin merasionalkan masyarakat supaya sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan tidak berpaksikan kepada cerita-cerita lisan dan dunia khayalan sahaja. Teori agamanya adalah berdasarkan kupasan yang diambil dari Surah Jin dan Surah Yassin. Teori budayanya adalah berdasarkan kata-kata teromba yang boleh menjelaskan tentang Alam Bunian dan Jin tersebut.


Dapatan awal didapati masyarakat begitu meletakkan kepercayaan yang penuh kepada Alam Bunian dan Jin ini, sehingga ada yang dikatakan berkahwin dengan bunian dan bersahabat dengan Jin. Dikatakan juga Jin adalah sahabat rapat mereka untuk mendapatkan hajat yang tertentu. Orang yang bersahabat dengan Jin ini dikatakan mempunyai banyak kelebihan dan menjadi rujukan kepada masyarakat. Orang yang berkahwin dengan Bunian itu dikatakan orang yang jujur. Bunian juga dikatakan suka kepada tempat yang bersih dan mereka akan marah jika masyarakat mengotorkannya. Jin juga selalu dijadikan perantaraan dalam pekerjaan yang tidak dapat dijelaskan oleh manusia.


Pengkaji akan mencari bukti dan rasionalnya berdasarkan Surah Jin, Surah Yassin dan kata-kata teromba. Di sini terdapat banyak perkara yang boleh dijelaskan tentang Alam Bunian dan Jin ini. Kajian ini diharap akan dapat dijadikan panduan oleh pengkaji lain dan masyarakat dan dengan harapan akan diperdebatkan lagi untuk mencari isinya yang benar dan menarik.



Dato’ Paduka Dr Rosli Saludin

Ketua Jabatan Kesusasteraan,
Fakulti Bahasa dan komunikasi

Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak

Wednesday, June 8, 2011

Tamar Jalis dan SBDJ



oleh Zabidin Hj Ismail


Nama Tamar Jalis ada tercatat dalam Hikayat Inderaputera[1] yang menyebut bahawa Tamar Jalis adalah anak raja jin Tamar Bunga (Tamar Boga) yang telah dibunuh oleh Inderaputera. S.W Rujiati Mulyadi mencatatkan bahawa Tamar Jalis adalah anak jin kafir;


"….sebagai contoh umpamanya diceritakan bahawa Tamar Jalis, anak seorang raja jin kafir, berperang dengan Nobat Rum Syah, anak seorang jin Islam. Pada akhirnya Inderaputera datang membantu barisan jin Islam dan Tamar Jalis dapat dibunuhnya. Dendam akan hal ini ayah Tamar Jalis – Tamar Boga – mencari-cari Inderaputera, yang ditemukannya sedang tidur terlena di bawah pohon”.[2]


Sehubungan itu, Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah nama samaran Ahmad Mahmud, seorang penulis anak kelahiran Beruas, Perak. Beliau memilih Tamar Jalis kerana nama yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera itu, amat sesuai dengan tajuk siri yang berkaitan dengan mahkluk jin.


Latar Belakang SBDJ


SBDJ karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan. Sebanyak 284 siri disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur berterusan selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga Januari 2005.

Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan, termuat dalam 16 buah buku. Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri.

Menurut Prof. Dr. Adnan Nawang pernah membuat anggaran bahawa SBDJ tercetak lebih sejuta naskhah. Sayangnya, disebabkan siri itu teramat popular, ia dicetak rompak dan dijual di mana-mana, sehingga di pekan-pekan kecil, kedai runcit Mamak dan Cina pun menjual siri itu. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.

Meskipun SBDJ tersohor dengan kisah hantu, jin dan makhluk halus yang melingkari kehidupan orang Melayu zaman dahulu, tetapi secara instrinsik manipulatif ia memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi, pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Krinchi, Bangkahulu dan Aceh) serta kepakaran menundukkan makhluk halus.

Karya ini digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan peristiwa melalui “orang pertama” iaitu Tamar Jalis bersama “datuk”nya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah) yang berkonsepkan penulisan memoir.

Semenjak terbitnya SBDJ hingga kini, karya tersebut sangat diminati ramai dan mempunyai “peminat” tersendiri sehingga wujud facebook dan blog yang menggunakan nama Tamar Jalis dengan kendalian peminatnya. Melalui laman sosial dan blog berkenaan para peminat sering bertukar maklumat / pandangan mengenai SBDJ[3].


[1] Bab 4 – Di Negeri Jin Islam, hlm. 21

[2] S.W. Rujiati Mulyadi dlm. Rona Keislaman dalam Hikayat Inderaputera, hlm. 136-137. Lihat http://www.persee.fr/web/revues/home/prescript/article/arch_0044-8613_1980_num_20_1_1594

[3] Siri ini boleh diakses menerusi http://tamarjalis.blogspot.comhttp://tamarjalis.wordpress.com/atau atau www.facebook/komunitisiri bercakap dengan jin atau www.facebook/tamarjalis atau http://siriceritabercakapdenganjin.blogspot.com/2011/01/potret-tamar-jalis.html

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Karya terkini

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: RM 35.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.