KEAHLIAN


BORANG KEAHLIAN

SYARAT PENDAFTARAN AHLI:

1- Seorang penulis (karya pernah diterbitkan)

2- Lahir di Perak / bermastautin di Perak (k/p:08)

3- Berusia 21 tahun dan ke atas.


4- (* Sila buat pembayaran RM55.00 (Yuran ahli seumur hidup & pendaftaran) ke akaun MAYBANK: 558314425055

(Sertakan bukti pembayaran ke: karyawanpk@gmail.com )

5- Emelkan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

(Borang permohonan hanya akan diproses setelah disertakan bukti pembayaran dan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

6- Saya berjanji akan mematuhi perlembagaan persatuan dan bersedia mengikuti perkembangan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dari semasa ke semasa.


BORANG KEAHLIAN

ADAKAH ANDA BERSETUJU: SETUJU
TIDAK BERSETUJU
NAMA PENUH (* SEPERTI DI DALAM KAD PENGENALAN):
GELARAN:
NAMA PENA (*JIKA ADA):
ALAMAT SURAT-MENYURAT:
POSKOD:
ALAMAT EMEL:
NOMBOR KAD PENGENALAN:
TARIKH LAHIR:
TEMPAT LAHIR:
JANTINA: LELAKI
PEREMPUAN
STATUS PERKAHWINAN: BERKAHWIN
BERCERAI
BUJANG
ALAMAT BLOG/LAMAN WEB (JIKA ADA):
AKADEMIK:
BIDANG PENULISAN:
KARYA YANG PERNAH DITERBITKAN:

Put a website form like this on your site.

Tuesday, December 20, 2011

Malam Suara Kita



Terjawab sudah
derita
kembara sebuah harapan
dari keikhlasan dan keyakinan
... menempuh jua
segala kepayahan
menghimpun sejuta harapan
bersama bait bicara
dalam SUARA KITA
malam ini
bukti yang nyata
Karyawan Pk
menepati waktu
yang seakan pergi dan terlewat
tapi kegigihan
pasrah berkemampuan
jelas
antologi yang diimpikan
akhirnya menampilkan suaranya.


AL HISYAM,
Auditorium
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,
IPOH,
19 DISEMBER 2011

Sunday, December 11, 2011

Jemput hadir beramai-ramai




Dua program dalam satu akan berlangsung pada 19.12.2011 di Auditorium Jabatan Kebidayaan dan Kesenian Negara, Jln Raja DiHilir Perak, Ipoh. Pada sebelah siang khusus membicarakan belasungkawa Allahyarham Haji Harifuddin Kamaruddin (Penggiat Seni Budaya Perak) terangkum dalam empat sidang dengan skop pembicaraan yang berbeza iaitu:
Sesi 1 : Biografi sepintas lalu
Sesi 2: Sumbangan dan Jasanya terhadap Perkembangan Seni Budaya Perak
Sesi 3: Pandangan, Pemikiran dan Perjuangan
Sesi 4: Kenangan d
an Suka Duka

Program berbentuk forum ini akan melibatkan beberapa penulis terkenal Prof Dr HM Bukhari Lubis, Datuk Paduka Dr Rosli Saludin, Prof Madya Dr Talib Samat, Malim Ghozali Pk., Zabidin Hj Ismail, Datuk Jaafar A. Rahim, Prof. Madya Dr.Khazin Mohd.Tamrin, Zambery A Malek dan lain-lain.

Manakala di sebelah malam pula satu program manifestasi Suara Kita berdasarkan sajak-sajak yang termuat dalam antologi seribu puisi dalam satu tema akan dipersembahkan menerusi pelbagai kaedah komunikasi teaterikal seperti deklamasi, dekon serta nyanyian. Beberapa badan yang pakar dalam bidang berkenaan telah dijemput membuat persembahan. Antaranya Badan Budaya Perak, Biro Seni Budaya Karyawan Pk., DekMal (Persatuan Deklamator Malaysia), Majlis Kebudayaan Perak dan penyair undangan.

Program ini dikenali sebagai Malam Suara Kita antara lain bertujuan untuk memperkenalkan antologi seribu puisi sebagai satu rekod Malaysia yang mengumpulkan sajak-sajak bertemakan kemerdekaan negara dalam sebuah buku tebal. Ia memuatkan karya sajak daripada Gabenor, tiga Perdana Menteri Melaysia, Tokoh Politik, Sasterawan Negara, Penulis, Wartawan, Anak Merdeka, Mufti, Pegawai dan Pesara Kerajaab / Swasta, Petani, Pemandu Teksi serta Suri Rumah yang ditangani oleh Persatuan Karyawan Perak.

Malam Suara Kita dianjurkan oleh Persatuan Karyaewan Perak, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Majlis Kebudayaan Perak. Jemputan terbuka kepada yang sudi. Sila datang beramai-ramai.

Friday, November 11, 2011

Syed Mohd Zakir raih Anugerah Penulisan Asia Tenggara


2011/11/11

KUALA LUMPUR: Pengarang muda, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2011.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abd Aziz, berkata pemilihan SM Zakir, 42, berdasarkan karya beliau yang menepati kriteria yang ditentukan Panel Pusat SEA Write Award di Bangkok, Thailand, iaitu berdasarkan kumpulan cerpen.
“Pemilihan SM Zakir sudah pun mendapat pengesahan dan perakuan daripada sekretariat tetap pada 10 Oktober lalu selepas panel pemilihan negara ini mencadangkan namanya.
“Beliau dipilih kerana karya beliau amat bermutu, mempunyai falsafah dan daya intelektual yang besar sebagai sumbangan yang tidak ternilai dalam perkembangan kesusasteraan tanah air,” katanya dalam sidang media di DBP di sini, pagi tadi.
SM Zakir bakal menerima hadiah bernilai kira-kira RM7,200 (70,000 Bath), penerbangan dua hala dalam kelas perniagaan oleh Thai Airways International dan penginapan di Hotel Mandarin Oriental, Bangkok, sepanjang menghadiri Minggu Anugerah Penulisan SEA yang bermula 18 hingga 23 November ini.
Penganugerahan pula akan diberikan pada Malam Gala dan Pengurniaan Anugerah oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan Puteri Srirasm di Hotel Mandarin Oriental pada 21 November. --Bernama

________
Presiden dan Ahli Jawatankuasa Karyawan Pk mengucapkan tahniah dan syabas kepada sdr SM Zakir di atas penganugerahan itu. Semoga lebih berjaya lagi dalam alam persuratan dan penulisan di masa mendatang.

Thursday, October 27, 2011

Mansuhkan PPSMI- Awang Sariyan



KUALA LUMPUR - Pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan, Dr Awang Sariyan, (foto) meminta kerajaan bertegas dan tidak melayan desakan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), secara pilihan di sekolah.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengakui, berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hanya tiga peratus pelajar mendapat manfaat dari PPSMI.

“Jadi adakah kita ingin mengabaikan hak asasi 97 peratus pelajar lain, sedangkan pendemokrasian pendidikan menuntut pendidikan mesti diperoleh sejumlah besar rakyat, kita tak boleh korbankan 97 peratus hanya untuk melayan tiga peratus yang masih berminat dengan PPSMI,” katanya.

Beliau berkata, golongan memerlukan PPSMI ialah golongan elit yang mungkin telah hilang jati diri.

“Kekeliruan golongan elit ini, tidak perlu dilayan, kerajaan perlu bertegas dan tidak lagi berdolak-dalih, mengubah keputusan pemansuhan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, satu memorandum mengandungi empat resolusi menyokong pemansuhan PPSMI akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, 29 Oktober depan sempena Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-8.- Bernama

Thursday, September 29, 2011

Sayembara Menulis Cerpen Pawang Ana

______________________________________________________________

SAYEMBARA MENULIS CERPEN

(Berdasarkan dari Cerita-Cerita Pawang Ana)

______________________________________________________________

Syarat Penyertaan

· Sayembara dibuka kepada warganegara Malaysia KECUALI

Ahli Panel Hakim yang dilantik oleh Urusetia Karyawan Pk.

· Cerpen hendaklah ditulis dalam versi baru berdasarkan dari

cerita-cerita Pawang Ana seperti berikut:

- Hikayat Malim Deman

- Hikayat Anggun CikTunggal

- Hikayat Awang Sulung Merah Muda

- Hikayat Malim Dewa

- Hikayat Raja Muda

· Peserta hanya dibenarkan menghantar satu penyertaan sahaja.

· Karya yang dihantar mestilah ditaip di atas kertas A4 sebelah

muka dengan jarak langkau dua baris, jenis tulisan Arial/Times

New Roman, font 12 dan berjilid kemas. Jumlah perkataan di-

hadkan antara 1500 hingga 3000 patah perkataan ( 8 hingga 12

halaman)

· Judul karya hendaklah ditaip pada kulit naskhah.

· Karya yang dihantar mestilah menggunakan borang penyertaan

· Karyawan Pk berhak menerbitkan karya yang memenangi

Sayembara ini, tertakluk kepada syarat penerbitan.

· Karya hendaklah sampai kepada urus setia pada atau sebelum

31 Januari, 2012

· Keputusan panel hakim adalah muktamad

· Manuskrip karya yang lengkap berserta borang penyertaan hendaklah

dihantar kepada :

Urus Setia

Sayembara Menulis Cerpen Pawang Ana,

d/a No. 30, Jalan Wira Jaya, Taman Desa Indah,

31300 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Hadiah

Pertama: RM1,500.00; kedua: RM1,000.00; ketiga: RM750.00 dan 5 hadiah sagu hati bernilai RM300.00 setiap satu serta sijil penghargaan.

***

Borang Penyertaan

**

Maklumat Penulis

Nama:__________________________________________________________________

Nama Samaran:___________________________________________________________

Tajuk cerpen:____________________________________________________________

No. KP:_______________________________Tarikh lahir: _______________________

Alamat Surat-menyurat:____________________________________________________

No.Tel. Bimbit:_____________________________E-mel:________________________

Dengan ini saya mengesahkan bahawa cerpen ini adalah karya asli dan mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur Sayembara Menulis Cerpen. sayembara ini.

Tandatangan::

………………………………

( )

Tarikh:……………………….

Tindakan Urus Setia

Tarikh Terima:

Tandatangan:

Friday, July 15, 2011

MBI jawab cadangan Karyawan Pk

Tukar nama jalan perlukan kajian

MANJOI – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyatakan pihaknya menerima permohonan daripada Persatuan Karyawan Perak agar nama Jalan Caldwell ditukar kepada Jalan Pawang Ana.

Setiausahanya, Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk menukarkan nama jalan berkenaan dan memerlukan kajian yang lebih mendalam.

“Memang ada permohonan daripada pihak berkaitan agar menukar jalan berkenaan kepada Pawang Ana namun kita perlu pertimbangkan banyak perkara kerana ia akan memberi impak kepada kawasan itu sendiri.

“Bila dah tukar ia akan beri kesan kepada penduduk di kawasan berkenaan, perlu tukar poskod dan sebagainya malahan kawasan berkenaan amat terkenal dengan kawasan yang membangun serta penuh dengan nilai komersial,” katanya kepada pemberita ketika lawatan turun padang ke Kampung Sungai Tapah di sini semalam.

Katanya, MBI sehingga kini masih dalam peringkat mengkaji secara menyeluruh cadangan daripada Karyawan Perak dan pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan.

“Memang kami terima permohonan rasmi daripada mereka dan sehingga kini belum ada lagi tindakan yang diambil dan kita sedang kaji dengan lebih mendalam perkara ini.

“Isu ini tidak sama dengan Jalan Ismail Shah Bodin yang baru diluluskan kerana ia tidak melibatkan poskod dan sebarang kediaman penduduk jadi mudah kita luluskan. Jadi, Jalan Caldwell ini berlainan sedikit malah perlu kajian mendalam,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak 15 Julai 2011

sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/perak/content/story9329170.asp



Monday, July 11, 2011

Saran MPKK, MBI tukar nama



IPOH - Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) mencadangkan pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menukar nama Riverfront Kuala Kangsar kepada Tebing Lam Sayong.

Presidennya, Zabidin Ismail berkata, cadangan itu mengambil guna nama klasik Kampong Sayong iaitu Lam Sayong seperti yang dicadangkan seorang pengarang terkenal anak Perak, Datuk Mokhtar Petah.

Menurutnya, nama itu walaupun kelihatan tidak komersial tetapi mengandungi unsur sejarah dan jati diri Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja.

“Kami menyokong ketegasan Menteri Besar (MB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana mengambil berat dalam mendaulatkan bahasa Melayu berhubung isu ini.

“Kerajaan Negeri juga dilihat serius apabila mengarahkan MPKK mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkan di bandar itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Zabidin berkata, Kuala Kangsar yang terkenal dengan Labu Sayong akan lengkap dengan penggunaan nama Lam Sayong kepada tebingan Sungai Perak serta menimbulkan daya tarikan tersendiri bagi pelancong untuk mengetahuinya lebih mendalam.

Isu itu timbul apabila orang ramai mempertikai tindakan MPKK menggunakan nama “Riverfront Kuala Kangsar” bagi mempromosi destinasi pelancongan baru berhampiran Sayong.

Bagaimanapun MPKK dilihat cuba mempertahankan tindakannya walaupun menerima bantahan ramai malah desakan badan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan penulis tidak diendahkan sebaliknya MPKK menyalahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lambat menterjemahkan Riverfront Kuala Kangsar ke bahasa Melayu.

Zabidin berkata, menyentuh tentang arahan MB yang meminta MPKK dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengutamakan bahasa Melayu di setiap premis termasuk nama jalan adalah tindakan yang kena pada masanya.

Katanya, Karyawan Pk mengambil kesempatan merujuk cadangannya ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar nama Jalan Caldwell ditukar kepada Jalan Pawang Ana telah ditolak oleh pihak berkenaan tanpa sebarang alasan.

“Kami sedia berbincang kerana alasan dan rasionalnya telah dikemukakan kepada MBI, Ia sebahagian resolusi Seminar Pemikiran Pawang Ana yang telah diadakan pada 25 Oktober tahun lalu.

“Karyawan Pk berharap MBI menimbangkan semula cadangan itu selaras dengan arahan MB itu,” tambahnya. (Sinar Harian, 12 Julai 2011)

Thursday, July 7, 2011

Utamakan bahasa Melayu


Kenyataan Akhbar Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk]

Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] mengucap syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abd. Kadir kerana bertindak tegas dalam mendaulatkan bahasa Melayu di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sebagaimana siaran akhbar Utusan Malaysia, 7 Julai 2011 yang menyebut;

"Kerajaan negeri mengarahkan MPKK mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkan di bandar tersebut."

Beliau juga menegaskan bahawa nama yang diguna-pakai pada tempat tumpuan ramai atau papan tanda hendaklah mengambil-kira kedudukan dan taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Di Raja.

Isu ini timbul apabila orang ramai mempertikaikan tindakan MPKK menggunakan nama "Riverfront Kuala Kangsar" bagi mempromosi destinasi pelancongan baru berhampiran Sayong. MPKK dilihat cuba mempertahankan tindakannya walaupun menerima bantahan ramai. Desakan NGO serta badan-badan penulis tidak diendahkan sebaliknya MPKK menyalahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lambat menterjemahkan "Riverfront Kuala Kangsar" ke bahasa Melayu.

Dalam hubungan ini, Karyawan Pk mengesyurkan agar MPKK mengambil-guna nama klasik Kampong Sayong iaitu "Lam Sayong" yang dicadangkan oleh Pengarang terkenal anak Perak, Dato' Mokhtar Petah untuk dijadikan nama tebingan Sungai Perak itu dan tidak perlu diterjemahkan. Justeru "Riverfront Kuala Kangsar" dicadangkan menjadi "Tebing Lam Sayong". Nama itu walaupun kelihatan tidak komersial tetapi mengandungi unsur sejarah dan jati diri Kuala Kangsar sebagai Bandar Di Raja bagi negeri Perak.

Apatah lagi Kuala Kangsar terkenal dengan "Labu Sayong" akan dilengkapi pula nama tebingan Sungai Perak dengan "Lam Sayong" menimbulkan daya tarikan tersendiri bagi pelancong untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam.

Dalam pada itu, menyentuh tentang arahan Menteri Besar Perak, MPKK dan semua berkuasa tempatan supaya mengutamakan bahasa Melayu di setiap premis termasuk nama jalan adalah tindakan yang kena pada masanya. Karyawan Pk mengambil kesempatan merujuk cadangannya ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar nama Jalan Caldwell ditukar kepada Jalan Pawang Ana telah ditolak oleh majlis tersebut tanpa sebarang alasan.

Karyawan Pk berharap MBI menimbangkan semula cadangan tersebut selaras dengan arahan Menteri Besar. Pihak kami sedia berbincang kerana alasan dan rasionaliti telah dikemukakan kepada MBI merupakan sebahagian resolusi Seminar Pemikiran Pawang Ana yang telah diadakan pada 25 Oktober tahun lalu dan dirasmikan oleh Dato' Zainol Fadzi Paharudin, Exco Kerajaan Perak.

Untuk makluman Pawang Ana adalah tokoh penglipur lara negara berasal dari Perak. Karya yang tuturkannya telah dibukukan oleh R.O Winstedt (seorang pentadbir Inggeris) dalam tempoh 1906 hingga 1914 ketika pegawai Inggeris itu bertugas di Perak. Sebanyak lima buah karya Pawang Ana telah diiktiraf sebagai karya Agung kesusasteraan Melayu dan dikategorikan sebagai karya klasik bermutu tinggi. Antaranya ialah Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa.

-Hj. Zabidin Hj Ismail

Tarikh: 7 Julai 2011

Tuesday, June 21, 2011

Wacana merungkai yang tersirat dan yang tersurat dalam SBDJ






oleh Ishak Mohamad

KEMARIN, 20 Jun 2011 khalayak seni berkumpul lebih 8 jam di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak di Jalan Raja Di Hilir, Ipoh. Pertemuan ini yang dihadiri lebih kurang 500 peminat sastera tanahair – dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan, adalah bagi mengikuti Wacana Siri Bercakap Dengan Jin dan mengenali penulisnya yang selama ini – selama 30 tahun berdiam dan tidak pernah mendedahkan dirinya yang sebenar!

Pertemuan ini berakhir lebih kurang jam 6.30 petang, namun darinya bercambah selingkar fikir yang tiada hentinya.

Tahniah kepada Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] yang telah mengenengahkan Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) sebagai karya kreatif Melayu tersohor. Pembentang kertas kerja telah membenarkan dan memperakukan bahawa karya yang telah digarap dan bersiaran paling lama dalam majalah – selama 23 tahun 6 bulan – mengandungi 284 siri, telah dibukukan dalam 16 jilidan dan dicetak serta dijual melebihi sejuta naskhah!
Haji Zabidin Haji Ismail (Presiden Persatuan Karyawan Perak), Mohamad Paris Arshad (Pensyarah Institut Pendidikan Guru Hulu Kinta), Dr Bazrul Bahaman (UPSI), Dr Shaharudin Shaari (Pensyarah Institut Pendidikan Guru Hulu Kinta), Prof Madya Dr Talib Samat (UPSI), Dr Mohd Affandy Yusof (USM) – sekadar menyebut beberapa nama, semuanya mengakui bahawa SBDJ adalah sebuah karya yang hebat. Ianya bukan sekadar garapan kisah misteri alam bunian dan jin, tetapi ia berpaksi kepada ketuhanan yang maha esa dalam menyoroti kisah benar kehidupan dan sejarah bangsa Melayu dalam pengembaraan yang penuh dengan falsafah, psikologi sosio budaya, petua, perubatan tradisional, seni persilatan, kebatinan dan perburuan.
Presiden Persatuan Karyawan Perak dalam nukilannya pada buku cenderamata, mengatakan: Karya ini (SBDJ) digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan persitiwa melalui ‘orang pertama’ iaitu Tamar Jalis bersama ‘datuk’nya Kulup Muhamad Diah atau Long Mat Piah.

Setinggi-tinggi tahniah perlu diberikan kepada presiden Karyawan Pk, Haji Zabidin Haji Ismail yang kerana usahanya sejak lebih 10 tahun lalu, berjaya menyakinkan penulis yang selama ini berselindung di sebalik nama Tamar Jalis, mahu dan bersedia menampilkan diri di khalayak peminat.

Tamar Jalis analah nama pena bagi Ahmad Mahmud, seorang penulis kelahiran Beruas, Perak. Penulis ini juga biasa berselindung disebalik nama Ramadan A.M. dan Atma A.M.

Saya biasa berkesempatan menyaksikan dan menemani Tamar Jalis menulis SBDJ Siri cerita ini telah berjaya meningkatkan jualan Majalah Variasari sehingga 120 ribu naskhah sebulan pada tahun-tahun pertengahan 1980-an. Pada ketika itu lagi, ruangan Cakap Apa Saja majalah berkenaan sering menyiarkan permintaan agar Tamar Jalis mahu menampilkan diri.

Tamar Jalis menulis kerana dunianya adalah menulis. Dalam tulisannya, dakwah adalah pengisian dan jati diri bangsanya sebagai Melayu terlihat dalam hamparan alam Melayu termasuk dengan segala pepatah petitih dan segala macam budayanya.

Tamar Jalis seorang yang diam dan tidak banyak bercakap. Sebab itu dia berjaya menyembunyikan diri buat sekian lama. Namun penampilannya kemarin adalah sangat berarti dan memberi makna kepada kesederhanaan diri seorang insan.

Kalau dulu saya melihat dan biasa menemani Tamar Jalis berkarya, kemarin saya melihat nama Tamar Jalis dan diri Ahmad Mahmud dijulang. Waktu pengacara menghebahkan bahawa SBDJ telah dijual melebihi sejuta naskhah diikuti dengan makluman bahawa Ahmad Mahmud bertugas di majalah ini sebagai Ketua Pengarang, saya dapat merasakan bahawa dia cukup berpuas hati dengan hadiah melancung dan mengerjakan umrah yang diterimanya bagi karyanya ini. Ini kesederhanaan. Alhamdulillah.

Pada masa yang sama saya melihat maksud Karyawan Pk. Persatuan ini sebenarnya bukan sahaja mahu memperkenalkan Tamar Jalis sebagai tokoh penulis yang berasal dari negeri Perak tetapi ia sebenarnya mahu mengangkat nilai karya dan karyawan itu sendiri ke persada jaya.

Penulis, lebih-lebih lagi yang memulakan zamannya pada era sebelum merdeka, memang tidak pernah mengangan-angankan kemasyhuran apalagi kekayaan. Bagi mereka, cukuplah sekadar dengan menulis, asal saja menulis itu dapat memberikan kepuasan. Penulis seperti ini tidak pernah termimpi dengan sanjungan dan pujian.

Beberapa ketika dalam wacana berlangsung, Tamar Jalis membisikkan kepada saya, “Betulkah apa yang Abang Mat lalui ini, Sahak?” Ada masa dia sebut, “Abang Mat tak bermimpikah, Sahak?” Dan amat mengharukan saya bila dia menuturkan. “Abang Mat tak pernah terfikir karya Abang Mat dihargai setinggi ini!”

Sebab itu saya ucap setingg-tinggi tahniah kepada Karyawan Pk. Karyawan Pk berfikir merentasi dan melampaui zamannya. Karyawan Pk melalui kegiatan seninya ini mengatakan bahawa karya seni walau bagaimana baik sekalipun jika tidak dipromosi dengan betul, karya itu akan tenggelam sia-sia sahaja. Karyawan Pk juga amat memahami dunia mereka: orang seni tidak boleh hidup hanya dengan penghargaan dan terima kasih sebab terima kasih yang menggunung pun tidak boleh dijual bagi guna membeli kertas dan pensil untuk menulis. Inilah realiti yang saya fikir Karyawan Pk akui. Dan ini memanglah benar seperti benar kata Pak Samad Said (Sasterawan Negara) kepada saya suatu hari dalam tahun 1990 di kantin Tingkat 4 Bangunan KWSP Jalan Raja Laut:

“Saya hidup dengan menulis. Dengan menulis saya menyara kehidupan keluarga saya. Namun saya dibayar seperti peminta sedekah. Sebab itu saya cadangkan agar Ishak mencari ilmu menjual buku sepertimana Mamak buat roti dan menjualnya sendiri. Insya-Allah suatu masa boleh menjadi penerbit dan membayar saya dengan baik agar saya dapat rasa hidup selesa seperti orang lain.”

SBDJ telah ditulis sekian lama, dan sampai kini masih bersiaran di majalah yang sama. Kata Presiden Karyawan Pk, karya ini mengungkapkan kekuatan Melayu, kehidupan Melayu, jati diri bangsa Melayu dan ianya adalah sebuah karya yang mampu berdiri sebagai karya Melayu!

Saya melihat ungkapan di atas sebagai kesungguhan usaha meminta semua pihak memberi perhatian terhadap orang seni dan karyanya, sebab orang seni tak boleh hidup dan tak mampu berkarya dengan hanya terima kasih atau melancung. Orang seni perlu diberi jiwa supaya menjadi perkasa dan dapat mensesuaikan diri dengan kehidupan di masa kini!

Bukanlah berlebihan jika saya katakan bahawa SBDJ mempunyai penggemar dari seluruh nusantara. Adalah benar, umum mengetahui bahawa SBDJ adalah sebuah kisah misteri. Kenyataannya, karya ini digarap tanpa henti sejak 1981. Adalah juga benar lebih sejuta naskhah telah dijual – ini tidak termasuk yang dicetak rom[pak! Sarjana mengakui, ini adalah garapan nilai hidup, budaya dan falsafah bangsa Melayu. Dengan demikian, tidakkah cukup kekuatan untuk kita julang karya ini sehingga paling tidak satu jilidannya mampu dijadikan teks bagi pengajian sastera peringkat SPM dan STPM? Atau sebuah kajian untuk pelajar universiti?

Inilah cara menghidupkan penulis. Karya besar perlu diangkat setimpal nilainya. Saya yakin, dengan sedikit suntingan teliti, senaskhah SBDJ mampu diangkat sebagai teks pengajian sastera Malaysia.

Kita juga berharap, YB Dato’ Zainol Fadzi Haji Paharudin, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak yang turut hadir dan berucap merasmi tutup Wacana Siri Bercakap Dengan Jin yang juga sejak sekian lama turut tersentuh dengan garapan SBDJ, akan dapat berbuat sesuatu melebihi jangkauan terima kasih sebagai perjuangan memperkasa orang seni.

Thursday, June 16, 2011

Belasungkawa buat M Saleh Mahyat


Dengan sedihnya dimaklumkan bahawa penulis terkenal Hj. Mohamad Salleh bin Mahyat, 63 tahun telah meninggal dunia pada hari ini, 17 Jun 2011 jam 3.00 pagi. Jenazahnya akan dikebumikan di Bandar Tun Razak, Cheras sebelum solat Jumaat. Allahyarham berasal dari Bagan Datoh, Perak dan menetap di Kuala Lumpur selepas bersara daripada Jabatan Kerja Raya, Teluk Intan pada tahun 2003.

Sebagai seorang penulis, Allahyarham dikenali dengan nama pena M Saleh Mahyat dan Musalmah Mesra. Novelnya yang terakhir ialah "Cucu Pak Nayan" telah dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang lalu.

Menurut balunya, Hjh Jamaiyah Ariffin, pada malam tadi, Allahyarham menulis sehingga jam 11.00 malam dan kemudian masuk tidur dan membiarkan komputernya tanpa ditutup. Ketika menghembuskan nafas terakhir Jamaiyah berada di sisi Allahyarham kerana sepanjang malam dia tidak boleh tidur kerana mengidap sakit gigi.

"Allahyarham sihat tiada tanda-tanda dia hendak pergi," jelas Jamaiyah semasa penulis hubungi sebentar tadi. "Malam tadi dia sempat solat sunat gerhana bulan". ujarnya dengan tenang tetapi mengandungi perasaan sedih.

M Saleh Mahyat selain sebagai seorang penulis novel kanak-kanak, semasa hayatnya aktif dalam badan penulisan di Perak. Arwah pernah menjadi Setiausaha Satu Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Teluk Intan (PENTAS) dan pada tahun 1991 bersama-sama Hj Abu Bakar Sidik, Hj Zabidin Hj Ismail dan Mokhtar Hj Mansor menubuhkan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk). Sehingga akhir hayatnya, M Saleh Mahyat masih menjadi ahli Karyawan Pk dan aktiviti terakhirnya bersama badan penulis Perak itu semasa menghadiri program "Pertemuan Karyawan Perak" di Bandar Baru Country Homes, Rawang pada 19-21 Mac 2010.

Dari Allah kita datang kepada-Nya kita dikembalikan. Sesungguhnya, dunia persuratan tanah air telah kehilangan sebutir permata di langit zaman. Semoga roh Allahyarham hendaknya dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan solihin. Al-Fatihah.

Oleh
Hj Zabidin Hj Ismail
(Presiden Persatuan Karyawan Perak)


Friday, June 10, 2011

Alam bunian dan jin dalam SBDJ



Sinopsis Kertas Kerja;


Kajian Alam Bunian dan Jin ini melihat apa yang jelas ada dalam Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ). Banyak terdapat cerita-cerita yang menarik dalam siri tersebut dan cerita tersebut banyak dalam bentuk pemaparan yang boleh menarik minat pembaca. Pembaca yang tidak ada asas agama dan budaya yang kukuh akan jadi keliru. Ada juga yang akan jadikannya sebagai contoh dan panduan. Hal seperti ini yang kita tidak mahu kerana kita ingin melahirkan masyarakat yang benar-benar berilmu dalam semua segi. Jangan timbul ketaksuban dalam soal Jin dan Bunian ini.


Pengkaji juga ingin mengkaji sebaik mungkin dengan menggunakan teori agama dan budaya supaya masyarakat boleh memahaminya secara ilmiah dan bukannya berpersepsi dan berprasangka sahaja. Kajian ini bukan untuk menafikan kebenaran yang diceritakan oleh penulis. Pengkaji cuma ingin merasionalkan masyarakat supaya sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan tidak berpaksikan kepada cerita-cerita lisan dan dunia khayalan sahaja. Teori agamanya adalah berdasarkan kupasan yang diambil dari Surah Jin dan Surah Yassin. Teori budayanya adalah berdasarkan kata-kata teromba yang boleh menjelaskan tentang Alam Bunian dan Jin tersebut.


Dapatan awal didapati masyarakat begitu meletakkan kepercayaan yang penuh kepada Alam Bunian dan Jin ini, sehingga ada yang dikatakan berkahwin dengan bunian dan bersahabat dengan Jin. Dikatakan juga Jin adalah sahabat rapat mereka untuk mendapatkan hajat yang tertentu. Orang yang bersahabat dengan Jin ini dikatakan mempunyai banyak kelebihan dan menjadi rujukan kepada masyarakat. Orang yang berkahwin dengan Bunian itu dikatakan orang yang jujur. Bunian juga dikatakan suka kepada tempat yang bersih dan mereka akan marah jika masyarakat mengotorkannya. Jin juga selalu dijadikan perantaraan dalam pekerjaan yang tidak dapat dijelaskan oleh manusia.


Pengkaji akan mencari bukti dan rasionalnya berdasarkan Surah Jin, Surah Yassin dan kata-kata teromba. Di sini terdapat banyak perkara yang boleh dijelaskan tentang Alam Bunian dan Jin ini. Kajian ini diharap akan dapat dijadikan panduan oleh pengkaji lain dan masyarakat dan dengan harapan akan diperdebatkan lagi untuk mencari isinya yang benar dan menarik.



Dato’ Paduka Dr Rosli Saludin

Ketua Jabatan Kesusasteraan,
Fakulti Bahasa dan komunikasi

Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Karya terkini

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: RM 35.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.