Wednesday, October 20, 2010

Seminar Pemikiran Pawang Ana


Siaran Akhbar

Saudara Pengarang,


Sejarah ketokohan Penglipur Lara Negara, Pawang Ana yang telah tenggelam semenjak tahun 1914 akan dibangkitkan kembali dalam seminar Pemikiran Pawang Ana pada 25 Oktober 2010 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh mulai 8.30 pagi hingga 2.00 petang.
Sempena seminar, satu pameran bertajuk “Pawang Ana dan Karyanya” akan diadakan di ruang pameran Perpustakaan Awam Perak (bersebelahan lokasi seminar) yang akan mempamerkan biografi ringkas Pawang Ana serta karyanya termasuk ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt (bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu) yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916 London. Lakaran wajah Allahyarham dijumpai oleh mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya Mohd Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.
Di samping beberapa fakta tempatan, lakaran wajah Pawang Ana akan menarik ramai pengunjung ke pameran itu. Sebelum ini beliau hanya dikenali sebagai tokoh penutur sastera rakyat atau cerita-cerita lipur lara tetapi tiada pernah mana-mana pihak yang menerbitkan gambarnya.
Program ini mendapat sokongan kuat daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan akan merasmi penutup seminar tersebut. Penganjur utama ialah Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] dengan sokongan dan dokongan erat daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Yayasan Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO).
Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa sarjana USM, UPSI dan Nanyang Universiti, Singapura termasuk dari Presiden Karyawan Pk, Zabidin Hj Ismail bertajuk “Biografi dan Sumbangan karya Pawang Ana”

Siapa Pawang Ana?

Pawang Ana juga seorang dukun dan pendekar. Dia berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kg. Pulai Gopeng, Perak sekitar tahun 1850-an iaitu ketika arus kedatangan orang-orang Rao (Rawa) ke Perak. Menurut R.O Winstedt, Pawang Ana menggunakan kepakarannya berjaya menemui mayat Residen British di Perak, J.W.W Birch yang hanyut di Sungai perak setelah dibunuh pahlawan Melayu Pasir Salak. Selama tiga hari tiga malam Inggeris gagal menjumpai mayat tersebut.
Pawang Ana juga pernah menamakan Kg Batu Masjid, Temoh apabila kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada tahun 1895.
Selaku tokoh Penglipur Lara tersohor, Pawang Ana telah menuturkan sebanyak lima cerita lipur lara dan telah dibukukan oleh R.O Winstedt iaitu Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Kelima-lima cerita tuturan Pawang Ana telah dikategorikan sebagai karya agung oleh Yayasan Karyawan.

Seminar terbuka kepada awam serta terhad seramai 200 orang sahaja dan dikenakan bayaran RM10 untuk mengisi tabung Karyawan Pk. Keterangan lanjut hubungi Pn. Saliza 0125332170; Onn Abdullah 0165360864 ; Dr Talib Samat 0122269740.


Salam hormat

(HJ ZABIDIN HJ ISMAIL)
Presiden
Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Hp: 012-5070513
Faks 05.2544294




Lampiran:

Judul Kertas Kerja dan Penulis
o “Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional” - Zabidin Hj lsmail, (Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o “Unsur-unsur Budaya Rao dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal” - Prof Madya Dr.Talib Samat, (Universiti Pendidikan Sultan Idris / Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o “Pemikiran dan Gaya Bahasa Puitis dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda - Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o “Unsur Interteks dalam Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Deman” - Dr.Bazrul Bahaman (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o “Pawang Ana dan Patriotisme Maritim Melayu- Prof. Madya Dr. Jelani Harun (Universiti Sains Malaysia)

o “Penerapan Teori-teori Terpilih dalam Mengkaji Hikayat-hikayat Tuturan Pawang Ana.” - Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah, (Universiti Teknologi Nanyang, Singapura).

o “Peranan dan Sumbangan R.O Winstedt dan A.J Sturrock dalam Mendokumentasikan Cerita-cerita Penglipur Lara Tuturan Pawang Ana.” - Mohd. Zamberi Malik, (Mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya).

o “Perbandingan Ketokohan Pawang Ana (Perak) dan Awang Batil (Perlis) - Mohamad Shahidan (Dewan Bahasa dan Pustaka).

ATUR CARA PROGRAM
8.30 pagi : Pendaftaran Peserta / Sarapan
8.45 pagi : Ketibaan para tetamu / pembentang
8.55 pagi : Bacaan Doa

9.00 – 11.00 pg : Sesi 1

Zabidin Hj. Ismail (Karyawan Pk)
Mohd.Zamberi Malik
Prof.Madya Dr.Talib Samat (UPSI /Karyawan Pk)
Prof. Madya Dr Jelani Harun (USM)

Moderator:
Mohd Paris Arshad (IPG Kampus Ipoh/Karyawan Pk)

11.00 – 1.00 th: Sesi 2
Dr Shaharudin bin Shaari (IPG Kampus Ipoh)
Dr.Bazrul Bahaman (UPSI)
Prof.Madya Datuk Paduka Dr.Mohd.Rosli Saludin (UPSI)
Mohammad Shahidan (DBP)

Moderator:
Dr Rosli Sahat (IPG Kampus Ipoh)

1.00 ptg Majlis Perasmian /Penutupan
Ucapan Aluan;
Yang Berusaha Tuan Abdul Mutalib bin Abdul Rahman
(Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak) .

Ucapan Perasmian / Penutupan
YB Dato’ Zainol Fadzi bin Haji Paharudin, DPCM.,PMP.,DSM.,ASDK.,
(Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak)

Pelancaran buku “Timoh Tasik kenangan”
Persembahan Multimedia
Penyampaian Cenderamata
Lawatan ke pameran: “Pawang Ana dan Karyanya”
Jamuan Makan Tengah Hari

Bersurai

Wednesday, October 6, 2010

Seminar Pemikiran Sasterawan FELDA ke-3


SEMINAR Pemikiran Sasterawan FELDA Ke-3: Fokus Abu Hassan Morad (foto) akan diadakan di Auditorium Utama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 20 Oktober ini, jam 8 pagi.

Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dalam satu kenyataannya berkata, dua puluh kertas kerja akan dibentangkan Prof Dr Zakaria Ali, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Prof Madya Dr Talib Samat, Prof Madya Dr Siti Khairah Mohd Zubir, Dr Ani Omar, Dr Abdul Halim Ali, Dr Azhar Wahid dan Dr Bazrul Bahaman.

Seminar ini turut mengundang Abu Hassan Morad yang berasal dari FELDA Guar Napai, Jitra, Kedah untuk turut berkongsi pengalaman kreatif, selain menampilkan pembentangan Zabidin Hj lsmail, Presiden Karyawan Pk., Zakaria Sungib, Mohamad Shahidan dan Hasrina Baharum,” kata kenyataan itu.

Program dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Permuafakatan Siswa-siswi FELDA (PERSADA) UPSI dan FELDA, manakala maklumat lanjut hubungi Dr Talib di talian 012-2269740 atau emel dr.talibsamat@yahoo.com.

sumber: Berita Harian, 6 Oktober 2010

Sunday, October 3, 2010

BAHA ZAIN tewas

Selepas dua tahun menerajui Persatuan Penulis Nasional (PENA), sasterawan terkenal Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain tumbang ketika merebut jawatan nombor satu dalam mesyuarat agung NGO penulis terkemuka itu hari ini.

Tempat Baharuddin (kiri) sebagai presiden kini digantikan pensyarah pengajian media Universiti Malaya (UM) Mohamad Saleeh Rahamad yang memenangi kerusi itu dalam perlawanan satu lawan satu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi tadi.

Berikut senarai penuh pemenang dalam pemilihan tahbunan PENA hari ini:

Presiden: Mohamad Saleeh Rahamad
Timbalan presiden: Amiruddin Ali
Setiausaha agung: Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir)
Timbalan setiausaha agung: Shamsudin Othman
Bendahari: Rahimidin Zahari

Manakala ahli jawatankuasa yang terpilih pula seperti berikut: Dr Mohd Razali, M Lutfi Ishak, Ariff Mohamad, Dr Ibrahim Ghafar dan Raja Rajeswary Setharaman.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...