Presiden Karyawan Pk, Haji Zabidin lsmail berkata, pelbagai kegiatan yang dirancangkan dan sebahagian besarnya telah dipersetujui oleh kerajaan negeri Perak.
Antara rancangan besar dan penting itu termasuklah mengwujudkan semula Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-4. Hadiah ini adalah penghargaan kepada para penulis Perak kerana sumbangan yang diberikan dalam pengembangan bahasa dan sastera Melayu.

Menurut beliau lagi, Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-4 anjuran Kerajaan Perak dan Karyawan Pk juga akan mengurniakan Anugerah Sasterawan Perak Darul Ridzuan bersama wang tunai RM10,000 dan Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan (RM7,000) kepada tokoh-tokoh penulis Perak yang telah mengharumkan nama Perak di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Di samping itu seperti diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu majlis di Koloni Karyawan Perak (PORT), Ipoh, Perak akan mengadakan Kongres Penyair Sedunia ke-33 pada Oktober depan di Ipoh. Perak dipilih sebagai tuan rumah Kongres Penyair Sedunia ke-33 yang dianggap suatu penghormatan kepada Perak yang banyak melahirkan penulis, penyair dan sasterawan di negara ini.
Karyawan Pk dan kerajaan negeri akan menggerakkan usaha penyusunan buku Biografi 200 Penulis Perak Kreatif dan Non Kreatif. Buku bercorak biografi penulis Perak ini diselenggarakan oleh Mohd. Zamberi Abdul Malik, Talib Samat dan Zabidin sendiri.
Dalam usaha memupuk bakat dan memantapkan kefahaman masyarakat dengan teknik penulisan biografi, memoir dan autobiografi, Karyawan Pk dengan kerjasama Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Kursus Penulisan Biografi, Memoir dan Autobiografi pada 19 hingga 20 April ini di Hotel Seri Malaysia, lpoh.
Antara penceramah kursus penulisan itu ialah Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh dan Mohd Samsuddin dari UKM.
Bagi mereka yang berminat menyertai kursus penulisan itu bolehlah menghubungi Setiausaha Karyawan Pk, Onn Abdullah di talian 016-5360864 atau emel mas-onn@yahoo.com.my
Sementara itu menurut Onn, yuran RM150 (menginap di Hotel Seri Malaysia), RM80 (tidak menginap di hotel) dikenakan kepada peserta kursus yang terbuka kepada orang ramai.
Di samping itu Karyawan Pk dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Muzium Matang (Kota Ngah Ibrahim), Persatuan Persuratan Melayu, UPSI akan menganjurkan Seminar Mengenang Perjuangan Almarhum Sultan Abdullah pada 2 Mei ini pukul 8 pagi hingga 2 petang.
Antara pembentang kertas kerja termasuklah Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi (USM), Prof.Madya Dr. Mohd.Rosli Saludin (UPSI), Muhd. Nazri Zainuddin (UPSI), Mohd. Zamberi Abdul Malik dan Cikgu Alang lbrahim Mohd. Said.
Sempena majlis itu juga akan dilancarkan buku-buku terbaru terbitan Penerbit Mentari iaitu Menjejaki Pulau Seychelles (Travelog Seychelles Jilid 2), Biografi Lapan Orang Pemegang Gelaran Tengku Menteri, Kenali Tokoh Perak Terpinggir Tetapi Berjasa Jilid 1 dan Jilid 2.
Majlis ilmu ini terbuka kepada umum. Keterangan lanjut tentang majlis ini bolehlah menghubungi saya sendiri, Talib Samat di talian 012-2269740 atau emel dr.talibsamat@yahoo.com