Oleh OSMAN RANI YANG RAMLI

Beliau
berkata demikian semasa membentangkan kertaskerjanya dalam Kursus Penulisan
Autobiografi, Biografi dan Memoir anjuran Karyawan Perak dan Akademi DBP di
Ipoh baru-baru ini. Turut hadir adalah Presiden Karyawan Perak, Haji Zabidin Hj.
Ismail dan timbalannya, Dr. Talib Samat.
Kursus dua
hari ini telah disertai seramai 60 peserta dari seluruh negara. Bukan sahaja
diikuti oleh penulis muda, malah penulis mapan yang telah menghasilkan beberapa
buah novel, cerpen dan puisi umpamanya turut menyertainya.
Ini
merupakan satu perkembangan yang baik. Sambutan diterima terhadap penganjuran
program ini telah merangsang Karyawan Perak untuk mengatur kursus dalam genre
yang lain pula pada bulan Oktober depan.
Ada banyak
ruang serta ramai tokoh-tokoh di negeri Perak khususnya yang boleh diselongkar
kisah perjuangan mereka, untuk dijadikan bahan bacaan dan penyelidikan bagi
generasi seterusnya. Seorang lagi
penceramah kedua, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah UKM, Mohd Shamsudin, berkata,
untuk menghasilkan sebuah biografi yang berkesan dan boleh diterima ramai,
tokoh yang dipaparkan itu sewajarnya adalah tersohor dan mempunyai liku-liku
kisah hidup yang menarik, popular, kontroversi serta rentetan kejayaannya yang
dikagumi.
"Sudah
tentu sebaiknya tokoh yang dipilih itu satu watak yang sudah matang, sudah
teruji oleh zaman dan bukan tokoh muda yang baru memetik sinar bintang
kemasyhuran; umpamanya artis-artis muda, pemain bolasepak, bintang tenis malah
ahli politik yang ternampak popular tetapi baru sepenggal dalam Parlimen,"
tegasnya.
Ini kurang
sesuai sebab cerita besar mereka baru bermula, perjalanan hidup mereka masih
jauh dan ada berbagai kisah baru yang lain belum muncul lagi dan jika
dibiografikan hidangan yang masih mentah dan kurang menyelerakan.
Oleh itu,
baik Muhammad Haji Salleh mahupun Mohd Shamsudin, kedua-dua mereka
bersependapat sesiapa jua yang ada mempunyai cerita hidup yang menarik, boleh
dikongsikan menerusi penceritaan yang memikat walaupun mereka bukan tokoh
ternama.
Muhammad
memberikan contoh bagaimana seorang yang kurang dikenali, Micheal Odaantje
telah menghasilkan sebuah autobiografi yang menarik perhatian ramai, Running In
The Family, kemudiannya telah mengangkat nama Odantje menjadi terkenal.
Penulisan
memoir pula adalah pengkisahan riwayat hidup seseorang, yang diangkat secara
tidak mengikut rentetan yang lazim. Ia seperti ditebuk di sana sini, mencungkil
mana-mana kisah pengalaman hidup yang tidak menurut kronologi.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130804/sa_03/Penulis-biografi-perlu-menulis-kisah-sebenar#ixzz2bZw7btLL
© Utusan Melayu (M) Bhd