Oleh TALIB SAMAT
dr.talibsamat@yahoo.com
PERSATUAN Karyawan Perak (Karyawan Pk) mengatur
pelbagai kegiatan untuk membangunkan seni dan kesusasteraan di negeri
Perak. Dengan sokongan pelbagai pihak khususnya kerajaan negeri,
Karyawan Pk yakin semua perangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan
jayanya.
Presiden Karyawan Pk, Haji Zabidin lsmail berkata, pelbagai kegiatan
yang dirancangkan dan sebahagian besarnya telah dipersetujui oleh
kerajaan negeri Perak.
Antara rancangan besar dan penting itu termasuklah mengwujudkan
semula Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-4. Hadiah ini adalah penghargaan
kepada para penulis Perak kerana sumbangan yang diberikan dalam
pengembangan bahasa dan sastera Melayu.

Tambah Haji Zabidin, hadiah-hadiah penulisan diberikan untuk
karya-karya yang tersiar atau diterbitkan sepanjang tahun 2010-2012 sama
ada dalam bentuk buku, majalah atau akhbar dan skrip drama yang pernah
disiarkan di radio, televisyen atau dipentaskan.
Menurut beliau lagi, Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-4 anjuran
Kerajaan Perak dan Karyawan Pk juga akan mengurniakan Anugerah
Sasterawan Perak Darul Ridzuan bersama wang tunai RM10,000 dan Pejuang
Sastera Perak Darul Ridzuan (RM7,000) kepada tokoh-tokoh penulis Perak
yang telah mengharumkan nama Perak di peringkat kebangsaan atau
antarabangsa.
Di samping itu seperti diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri
Zambry Abdul Kadir dalam satu majlis di Koloni Karyawan Perak (PORT),
Ipoh, Perak akan mengadakan Kongres Penyair Sedunia ke-33 pada Oktober
depan di Ipoh. Perak dipilih sebagai tuan rumah Kongres Penyair Sedunia
ke-33 yang dianggap suatu penghormatan kepada Perak yang banyak
melahirkan penulis, penyair dan sasterawan di negara ini.
Karyawan Pk dan kerajaan negeri akan menggerakkan usaha penyusunan buku
Biografi 200 Penulis Perak Kreatif dan Non Kreatif. Buku bercorak biografi penulis Perak ini diselenggarakan oleh Mohd. Zamberi Abdul Malik, Talib Samat dan Zabidin sendiri.
Dalam usaha memupuk bakat dan memantapkan kefahaman masyarakat dengan
teknik penulisan biografi, memoir dan autobiografi, Karyawan Pk dengan
kerjasama Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Kursus
Penulisan Biografi, Memoir dan Autobiografi pada 19 hingga 20 April ini
di Hotel Seri Malaysia, lpoh.
Antara penceramah kursus penulisan itu ialah Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh dan Mohd Samsuddin dari UKM.
Bagi mereka yang berminat menyertai kursus penulisan itu bolehlah
menghubungi Setiausaha Karyawan Pk, Onn Abdullah di talian 016-5360864
atau emel mas-onn@yahoo.com.my
Sementara itu menurut Onn, yuran RM150 (menginap di Hotel Seri
Malaysia), RM80 (tidak menginap di hotel) dikenakan kepada peserta
kursus yang terbuka kepada orang ramai.
Di samping itu Karyawan Pk dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan
Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dewan Bahasa
dan Pustaka Wilayah Utara, Muzium Matang (Kota Ngah Ibrahim), Persatuan
Persuratan Melayu, UPSI akan menganjurkan Seminar Mengenang Perjuangan
Almarhum Sultan Abdullah pada 2 Mei ini pukul 8 pagi hingga 2 petang.
Antara pembentang kertas kerja termasuklah Prof. Madya Dr. Ahmad
Jelani Halimi (USM), Prof.Madya Dr. Mohd.Rosli Saludin (UPSI), Muhd.
Nazri Zainuddin (UPSI), Mohd. Zamberi Abdul Malik dan Cikgu Alang
lbrahim Mohd. Said.
Sempena majlis itu juga akan dilancarkan buku-buku terbaru terbitan Penerbit Mentari iaitu
Menjejaki
Pulau Seychelles (Travelog Seychelles Jilid 2), Biografi Lapan Orang
Pemegang Gelaran Tengku Menteri, Kenali Tokoh Perak Terpinggir Tetapi
Berjasa Jilid 1 dan Jilid 2.
Majlis ilmu ini terbuka kepada umum. Keterangan lanjut tentang majlis
ini bolehlah menghubungi saya sendiri, Talib Samat di talian
012-2269740 atau emel dr.talibsamat@yahoo.com