KEAHLIAN


BORANG KEAHLIAN

SYARAT PENDAFTARAN AHLI:

1- Seorang penulis (karya pernah diterbitkan)

2- Lahir di Perak / bermastautin di Perak (k/p:08)

3- Berusia 21 tahun dan ke atas.


4- (* Sila buat pembayaran RM55.00 (Yuran ahli seumur hidup & pendaftaran) ke akaun MAYBANK: 558314425055

(Sertakan bukti pembayaran ke: karyawanpk@gmail.com )

5- Emelkan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

(Borang permohonan hanya akan diproses setelah disertakan bukti pembayaran dan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

6- Saya berjanji akan mematuhi perlembagaan persatuan dan bersedia mengikuti perkembangan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dari semasa ke semasa.


BORANG KEAHLIAN

ADAKAH ANDA BERSETUJU: SETUJU
TIDAK BERSETUJU
NAMA PENUH (* SEPERTI DI DALAM KAD PENGENALAN):
GELARAN:
NAMA PENA (*JIKA ADA):
ALAMAT SURAT-MENYURAT:
POSKOD:
ALAMAT EMEL:
NOMBOR KAD PENGENALAN:
TARIKH LAHIR:
TEMPAT LAHIR:
JANTINA: LELAKI
PEREMPUAN
STATUS PERKAHWINAN: BERKAHWIN
BERCERAI
BUJANG
ALAMAT BLOG/LAMAN WEB (JIKA ADA):
AKADEMIK:
BIDANG PENULISAN:
KARYA YANG PERNAH DITERBITKAN:

Put a website form like this on your site.

Wednesday, October 20, 2010

Seminar Pemikiran Pawang Ana


Siaran Akhbar

Saudara Pengarang,


Sejarah ketokohan Penglipur Lara Negara, Pawang Ana yang telah tenggelam semenjak tahun 1914 akan dibangkitkan kembali dalam seminar Pemikiran Pawang Ana pada 25 Oktober 2010 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh mulai 8.30 pagi hingga 2.00 petang.
Sempena seminar, satu pameran bertajuk “Pawang Ana dan Karyanya” akan diadakan di ruang pameran Perpustakaan Awam Perak (bersebelahan lokasi seminar) yang akan mempamerkan biografi ringkas Pawang Ana serta karyanya termasuk ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt (bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu) yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916 London. Lakaran wajah Allahyarham dijumpai oleh mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya Mohd Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.
Di samping beberapa fakta tempatan, lakaran wajah Pawang Ana akan menarik ramai pengunjung ke pameran itu. Sebelum ini beliau hanya dikenali sebagai tokoh penutur sastera rakyat atau cerita-cerita lipur lara tetapi tiada pernah mana-mana pihak yang menerbitkan gambarnya.
Program ini mendapat sokongan kuat daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan akan merasmi penutup seminar tersebut. Penganjur utama ialah Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] dengan sokongan dan dokongan erat daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Yayasan Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO).
Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa sarjana USM, UPSI dan Nanyang Universiti, Singapura termasuk dari Presiden Karyawan Pk, Zabidin Hj Ismail bertajuk “Biografi dan Sumbangan karya Pawang Ana”

Siapa Pawang Ana?

Pawang Ana juga seorang dukun dan pendekar. Dia berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kg. Pulai Gopeng, Perak sekitar tahun 1850-an iaitu ketika arus kedatangan orang-orang Rao (Rawa) ke Perak. Menurut R.O Winstedt, Pawang Ana menggunakan kepakarannya berjaya menemui mayat Residen British di Perak, J.W.W Birch yang hanyut di Sungai perak setelah dibunuh pahlawan Melayu Pasir Salak. Selama tiga hari tiga malam Inggeris gagal menjumpai mayat tersebut.
Pawang Ana juga pernah menamakan Kg Batu Masjid, Temoh apabila kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada tahun 1895.
Selaku tokoh Penglipur Lara tersohor, Pawang Ana telah menuturkan sebanyak lima cerita lipur lara dan telah dibukukan oleh R.O Winstedt iaitu Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Kelima-lima cerita tuturan Pawang Ana telah dikategorikan sebagai karya agung oleh Yayasan Karyawan.

Seminar terbuka kepada awam serta terhad seramai 200 orang sahaja dan dikenakan bayaran RM10 untuk mengisi tabung Karyawan Pk. Keterangan lanjut hubungi Pn. Saliza 0125332170; Onn Abdullah 0165360864 ; Dr Talib Samat 0122269740.


Salam hormat

(HJ ZABIDIN HJ ISMAIL)
Presiden
Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Hp: 012-5070513
Faks 05.2544294




Lampiran:

Judul Kertas Kerja dan Penulis
o “Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional” - Zabidin Hj lsmail, (Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o “Unsur-unsur Budaya Rao dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal” - Prof Madya Dr.Talib Samat, (Universiti Pendidikan Sultan Idris / Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o “Pemikiran dan Gaya Bahasa Puitis dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda - Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o “Unsur Interteks dalam Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Deman” - Dr.Bazrul Bahaman (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o “Pawang Ana dan Patriotisme Maritim Melayu- Prof. Madya Dr. Jelani Harun (Universiti Sains Malaysia)

o “Penerapan Teori-teori Terpilih dalam Mengkaji Hikayat-hikayat Tuturan Pawang Ana.” - Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah, (Universiti Teknologi Nanyang, Singapura).

o “Peranan dan Sumbangan R.O Winstedt dan A.J Sturrock dalam Mendokumentasikan Cerita-cerita Penglipur Lara Tuturan Pawang Ana.” - Mohd. Zamberi Malik, (Mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya).

o “Perbandingan Ketokohan Pawang Ana (Perak) dan Awang Batil (Perlis) - Mohamad Shahidan (Dewan Bahasa dan Pustaka).

ATUR CARA PROGRAM
8.30 pagi : Pendaftaran Peserta / Sarapan
8.45 pagi : Ketibaan para tetamu / pembentang
8.55 pagi : Bacaan Doa

9.00 – 11.00 pg : Sesi 1

Zabidin Hj. Ismail (Karyawan Pk)
Mohd.Zamberi Malik
Prof.Madya Dr.Talib Samat (UPSI /Karyawan Pk)
Prof. Madya Dr Jelani Harun (USM)

Moderator:
Mohd Paris Arshad (IPG Kampus Ipoh/Karyawan Pk)

11.00 – 1.00 th: Sesi 2
Dr Shaharudin bin Shaari (IPG Kampus Ipoh)
Dr.Bazrul Bahaman (UPSI)
Prof.Madya Datuk Paduka Dr.Mohd.Rosli Saludin (UPSI)
Mohammad Shahidan (DBP)

Moderator:
Dr Rosli Sahat (IPG Kampus Ipoh)

1.00 ptg Majlis Perasmian /Penutupan
Ucapan Aluan;
Yang Berusaha Tuan Abdul Mutalib bin Abdul Rahman
(Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak) .

Ucapan Perasmian / Penutupan
YB Dato’ Zainol Fadzi bin Haji Paharudin, DPCM.,PMP.,DSM.,ASDK.,
(Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak)

Pelancaran buku “Timoh Tasik kenangan”
Persembahan Multimedia
Penyampaian Cenderamata
Lawatan ke pameran: “Pawang Ana dan Karyanya”
Jamuan Makan Tengah Hari

Bersurai

Wednesday, October 6, 2010

Seminar Pemikiran Sasterawan FELDA ke-3


SEMINAR Pemikiran Sasterawan FELDA Ke-3: Fokus Abu Hassan Morad (foto) akan diadakan di Auditorium Utama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 20 Oktober ini, jam 8 pagi.

Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dalam satu kenyataannya berkata, dua puluh kertas kerja akan dibentangkan Prof Dr Zakaria Ali, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Prof Madya Dr Talib Samat, Prof Madya Dr Siti Khairah Mohd Zubir, Dr Ani Omar, Dr Abdul Halim Ali, Dr Azhar Wahid dan Dr Bazrul Bahaman.

Seminar ini turut mengundang Abu Hassan Morad yang berasal dari FELDA Guar Napai, Jitra, Kedah untuk turut berkongsi pengalaman kreatif, selain menampilkan pembentangan Zabidin Hj lsmail, Presiden Karyawan Pk., Zakaria Sungib, Mohamad Shahidan dan Hasrina Baharum,” kata kenyataan itu.

Program dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Permuafakatan Siswa-siswi FELDA (PERSADA) UPSI dan FELDA, manakala maklumat lanjut hubungi Dr Talib di talian 012-2269740 atau emel dr.talibsamat@yahoo.com.

sumber: Berita Harian, 6 Oktober 2010

Sunday, October 3, 2010

BAHA ZAIN tewas

Selepas dua tahun menerajui Persatuan Penulis Nasional (PENA), sasterawan terkenal Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain tumbang ketika merebut jawatan nombor satu dalam mesyuarat agung NGO penulis terkemuka itu hari ini.

Tempat Baharuddin (kiri) sebagai presiden kini digantikan pensyarah pengajian media Universiti Malaya (UM) Mohamad Saleeh Rahamad yang memenangi kerusi itu dalam perlawanan satu lawan satu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi tadi.

Berikut senarai penuh pemenang dalam pemilihan tahbunan PENA hari ini:

Presiden: Mohamad Saleeh Rahamad
Timbalan presiden: Amiruddin Ali
Setiausaha agung: Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir)
Timbalan setiausaha agung: Shamsudin Othman
Bendahari: Rahimidin Zahari

Manakala ahli jawatankuasa yang terpilih pula seperti berikut: Dr Mohd Razali, M Lutfi Ishak, Ariff Mohamad, Dr Ibrahim Ghafar dan Raja Rajeswary Setharaman.

Saturday, July 24, 2010

Seminar Nakhoda Mohamad Taib Pemerintah Jajahan Dindings


22/07/2010 7:48pm

LUMUT – Satu seminar mengenai ketokohan pahlawan Melayu yang juga tokoh maritim terbilang, “Nakhoda Muhammad Taib” akan diadakan di pantai Teluk Senangin, Segari dekat sini Sabtu ini.

Seminar itu dianjurkan khusus bagi memperingati jasa pahlawan maritim, pentadbir, pedagang dan pejuang Melayu silam itu, supaya ia tidak dilupai oleh generasi sekarang.

Program sehari itu merupakan anjuran bersama Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Bandar Raya Ipoh (Pintar) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama Yayasan Perak, Kerajaan Negeri Perak dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Urus setia seminar, Harifuddin Kamarudin berkata, orang ramai terutama peminat sejarah seluruh negara dijemput menyertai seminar sehari yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang itu, yang akan menyaksikan pembentangan 17 kertas kerja. Antaranya bertajuk "Legasi Nakhoda Mohamad Taib dalam perspektif pelancongan" oleh Hj Zabidin Hj Ismail, Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk].

Katanya pada sebelah malam, para peserta akan berpeluang menyaksikan persembahan puisi perjuangan Nakhoda Muhammad Taib oleh pelajar UPSI dan penduduk setempat.

Beliau berkata Nakhoda Muhammad Taib pernah dianugerahkan surat kuasa oleh Sultan Perak ke-23, Sultan Jaafar Muadzam Shah pada tahun 1856 untuk memerintah Jajahan Kuala Sepit di Manjung. – Bernama

Sunday, July 4, 2010

KECIL ITU

Kecil itu
dari tanah kosong yang akhirnya
terbina sebuah negara
dalam pengaruh dusta dan kekejaman

Luasnya dunia ini
tapi hakikat runcing binasa
hati dan perasaan entah di mana durjana
kita gagal membaham keangkuhannya.

AL HISYAM,
Grupemuisi Karyawan Pk.

Saturday, July 3, 2010

Suka duka sebagai Heiho tentera Jepun



Judul : Memoir Dato' Shaharudin Abdul Rahman, Kembara Panjang di Irian Jaya
Penulis : Zabidin Hj Ismail
Penerbit : Karisma Publications Sdn. Bhd.
Tebal : 145
Pengulas : NORAINI ABDUL RAZAK

Menulis pengalaman sendiri memang mudah. Ini kerana kita mampu mengingat, merasa dan menterjemahkan pengalaman yang dilalui dalam bentuk tulisan.

Tetapi bagaimana pula jika kita diminta menulis pengalaman orang lain? Jawapannya tentu tidak mudah. Kalaupun kita mampu berbuat demikian, ia mungkin tidak seratus peratus sama dengan jalan cerita orang yang melalui sendiri pengalaman tersebut.

Itulah kesukaran yang dirasakan oleh Zabidin Ismail apabila diminta oleh Datuk Shaharudin Abdul Rahman untuk menulis perjalanan sejarah beliau ketika menjadi sukarelawan (Heiho) tentera Jepun. Sebagai pencerita, penulis perlu berhadapan dengan satu lagi cabaran iaitu berusaha untuk tidak menokok tambah fakta sedia ada.

Walaupun nama Shaharudin tidak segah pemimpin negara, ahli politik atau pejuang kemerdekaan tanah air tetapi tidak bermakna pengalaman beliau tidak boleh diabadikan dalam bentuk memoir.

Ini kerana segala suka duka dan perit getir yang dilalui oleh Shaharudin mempunyai nilai serta kepentingan yang tersendiri terutama untuk penilaian generasi muda.

Nama Shaharudin mungkin tidak dikenali oleh banyak orang tetapi beliau mempunyai catatan sejarah yang tersendiri sehingga melayakkan memoir ini ditulis.

Malah ketika menatap memoir ini untuk diulas, ada rakan-rakan yang bertanya siapa dia Shaharudin. Justeru untuk mengetahui siapa Shaharudin dan apakah istimewanya perjalanan hidup beliau, memoir ini harus dijelajah dan diteroka.

Menggunakan pendekatan autobiografi, penulis memulakan memoir ini dengan menyorot sejarah ringkas Perang Dunia Kedua yang sebenarnya merupakan latar belakang utama memoir ini.

Penulis dengan berhati-hati memperkenalkan watak Shaharudin, seorang anak muda berjiwa kental yang sanggup meninggalkan kampung halaman semata-mata untuk menjadi Heiho.

Dengan menggunakan bahasa yang ringkas tetapi menarik, perjalanan hidup Shaharudin yang bermula di Lubuk Merbau disusuri oleh penulis sambil menggaulkannya dengan penampilan bangsa Jepun di situ.

Setelah diterima menjadi Heiho, perit getir Shaharudin yang ketika itu berusia 16 tahun memulakan perjalanan ke Sarong, Papua New Guinea diperihalkan satu persatu.

Segala-galanya bermula daripada sekeping gambar separuh poskad Putera Akiheto. Gambar anakanda Maharaja Jepun pada tahun 1942 yang dihadiahkan oleh seorang tukang gambar bernama Suzuki di Kuala Kangsar, Perak telah melakar dan mewarnai sejarah hidup Shaharudin.

Jika bukan kerana gambar itu pastinya terlalu sukar pengalaman sedemikian rupa dapat diperoleh apatah lagi membawanya ke dunia perantauan mengenali pulau-pulau dara di Kepulauan Rempah seperti Maluku, Papua New Guinea (Irian Jaya), Celebes, Bali, Ambon, serta pulau-pulau kecil yang bertaburan di rantau ini.

Rentetan peristiwa yang dilakarkan ini adalah kisah benar yang dialami sendiri oleh Shaharudin dan rakan-rakan Heiho bagi mengotakan misi misteri tentera Jepun yang berhasrat untuk menakluk Australia melalui Sarong - sebuah tanjung terpencil di Papua New Guinea.

Kegetiran dan kesukaran beliau mengharungi dugaan dan cabaran ini dapat digambarkan menerusi 28 kisah yang sekali gus mempamerkan watak protagonis yang cekal, berdisiplin, tabah serta berkarismatik meskipun pada usia belasan tahun.

Pembaca pasti terbawa-bawa dengan kepiluan dan kegusaran Shaharudin apabila terpaksa berhadapan dengan suasana perang yang pada bila-bila masa boleh mengorbankan nyawanya. Pengalaman Shaharudin beberapa kali menyaksikan kematian rakan-rakannya yang kemudian dikuburkan di lautan juga amat berharga.

Sebuah memoir yang ringkas tetapi sarat dengan pengajaran yang perlu ditimba oleh generasi muda. Ia juga mampu memberi penjelasan bahawa Heiho bukan buruh paksa sebaliknya dengan rela hati menjadi sukarelawan tentera Jepun bagi mencapai seruan Asia untuk Asia dan sebagai bibit untuk mencapai kemerdekaan.

Setelah membaca buku ini, kita pasti mendapat jawapan kepada beberapa persoalan yang menghantui benak Shaharudin sendiri ketika melayari jalan pulang ke Singapura.

Shaharudin bertanya, adakah pengorbanan beliau dan rakan-rakannya meninggalkan kampung halaman dan terpaksa berhadapan dengan maut adalah untuk agama, negara atau bangsa?

Adakah kematian lebih 1,200 Heiho semata-mata untuk merealisasikan hasrat Jepun menakluk Australia juga boleh dikategorikan sebagai pengorbanan?

Utusan Malaysia:05/04/2004

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Karya terkini

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: RM 35.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.