Judul : Memoir Dato' Shaharudin Abdul Rahman, Kembara Panjang di Irian Jaya
Penulis : Zabidin Hj Ismail
Penerbit : Karisma Publications Sdn. Bhd.
Tebal : 145
Pengulas : NORAINI ABDUL RAZAK
Menulis pengalaman sendiri memang mudah. Ini kerana kita mampu mengingat, merasa dan menterjemahkan pengalaman yang dilalui dalam bentuk tulisan.
Tetapi bagaimana pula jika kita diminta menulis pengalaman orang lain? Jawapannya tentu tidak mudah. Kalaupun kita mampu berbuat demikian, ia mungkin tidak seratus peratus sama dengan jalan cerita orang yang melalui sendiri pengalaman tersebut.
Itulah kesukaran yang dirasakan oleh Zabidin Ismail apabila diminta oleh Datuk Shaharudin Abdul Rahman untuk menulis perjalanan sejarah beliau ketika menjadi sukarelawan (Heiho) tentera Jepun. Sebagai pencerita, penulis perlu berhadapan dengan satu lagi cabaran iaitu berusaha untuk tidak menokok tambah fakta sedia ada.
Walaupun nama Shaharudin tidak segah pemimpin negara, ahli politik atau pejuang kemerdekaan tanah air tetapi tidak bermakna pengalaman beliau tidak boleh diabadikan dalam bentuk memoir.
Ini kerana segala suka duka dan perit getir yang dilalui oleh Shaharudin mempunyai nilai serta kepentingan yang tersendiri terutama untuk penilaian generasi muda.
Nama Shaharudin mungkin tidak dikenali oleh banyak orang tetapi beliau mempunyai catatan sejarah yang tersendiri sehingga melayakkan memoir ini ditulis.
Malah ketika menatap memoir ini untuk diulas, ada rakan-rakan yang bertanya siapa dia Shaharudin. Justeru untuk mengetahui siapa Shaharudin dan apakah istimewanya perjalanan hidup beliau, memoir ini harus dijelajah dan diteroka.
Menggunakan pendekatan autobiografi, penulis memulakan memoir ini dengan menyorot sejarah ringkas Perang Dunia Kedua yang sebenarnya merupakan latar belakang utama memoir ini.
Penulis dengan berhati-hati memperkenalkan watak Shaharudin, seorang anak muda berjiwa kental yang sanggup meninggalkan kampung halaman semata-mata untuk menjadi Heiho.
Dengan menggunakan bahasa yang ringkas tetapi menarik, perjalanan hidup Shaharudin yang bermula di Lubuk Merbau disusuri oleh penulis sambil menggaulkannya dengan penampilan bangsa Jepun di situ.
Setelah diterima menjadi Heiho, perit getir Shaharudin yang ketika itu berusia 16 tahun memulakan perjalanan ke Sarong, Papua New Guinea diperihalkan satu persatu.
Segala-galanya bermula daripada sekeping gambar separuh poskad Putera Akiheto. Gambar anakanda Maharaja Jepun pada tahun 1942 yang dihadiahkan oleh seorang tukang gambar bernama Suzuki di Kuala Kangsar, Perak telah melakar dan mewarnai sejarah hidup Shaharudin.
Jika bukan kerana gambar itu pastinya terlalu sukar pengalaman sedemikian rupa dapat diperoleh apatah lagi membawanya ke dunia perantauan mengenali pulau-pulau dara di Kepulauan Rempah seperti Maluku, Papua New Guinea (Irian Jaya), Celebes, Bali, Ambon, serta pulau-pulau kecil yang bertaburan di rantau ini.
Rentetan peristiwa yang dilakarkan ini adalah kisah benar yang dialami sendiri oleh Shaharudin dan rakan-rakan Heiho bagi mengotakan misi misteri tentera Jepun yang berhasrat untuk menakluk Australia melalui Sarong - sebuah tanjung terpencil di Papua New Guinea.
Kegetiran dan kesukaran beliau mengharungi dugaan dan cabaran ini dapat digambarkan menerusi 28 kisah yang sekali gus mempamerkan watak protagonis yang cekal, berdisiplin, tabah serta berkarismatik meskipun pada usia belasan tahun.
Pembaca pasti terbawa-bawa dengan kepiluan dan kegusaran Shaharudin apabila terpaksa berhadapan dengan suasana perang yang pada bila-bila masa boleh mengorbankan nyawanya. Pengalaman Shaharudin beberapa kali menyaksikan kematian rakan-rakannya yang kemudian dikuburkan di lautan juga amat berharga.
Sebuah memoir yang ringkas tetapi sarat dengan pengajaran yang perlu ditimba oleh generasi muda. Ia juga mampu memberi penjelasan bahawa Heiho bukan buruh paksa sebaliknya dengan rela hati menjadi sukarelawan tentera Jepun bagi mencapai seruan Asia untuk Asia dan sebagai bibit untuk mencapai kemerdekaan.
Setelah membaca buku ini, kita pasti mendapat jawapan kepada beberapa persoalan yang menghantui benak Shaharudin sendiri ketika melayari jalan pulang ke Singapura.
Shaharudin bertanya, adakah pengorbanan beliau dan rakan-rakannya meninggalkan kampung halaman dan terpaksa berhadapan dengan maut adalah untuk agama, negara atau bangsa?
Adakah kematian lebih 1,200 Heiho semata-mata untuk merealisasikan hasrat Jepun menakluk Australia juga boleh dikategorikan sebagai pengorbanan?
Utusan Malaysia:05/04/2004
No comments:
Post a Comment