KEAHLIAN


BORANG KEAHLIAN

SYARAT PENDAFTARAN AHLI:

1- Seorang penulis (karya pernah diterbitkan)

2- Lahir di Perak / bermastautin di Perak (k/p:08)

3- Berusia 21 tahun dan ke atas.


4- (* Sila buat pembayaran RM55.00 (Yuran ahli seumur hidup & pendaftaran) ke akaun MAYBANK: 558314425055

(Sertakan bukti pembayaran ke: karyawanpk@gmail.com )

5- Emelkan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

(Borang permohonan hanya akan diproses setelah disertakan bukti pembayaran dan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

6- Saya berjanji akan mematuhi perlembagaan persatuan dan bersedia mengikuti perkembangan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dari semasa ke semasa.


BORANG KEAHLIAN

ADAKAH ANDA BERSETUJU: SETUJU
TIDAK BERSETUJU
NAMA PENUH (* SEPERTI DI DALAM KAD PENGENALAN):
GELARAN:
NAMA PENA (*JIKA ADA):
ALAMAT SURAT-MENYURAT:
POSKOD:
ALAMAT EMEL:
NOMBOR KAD PENGENALAN:
TARIKH LAHIR:
TEMPAT LAHIR:
JANTINA: LELAKI
PEREMPUAN
STATUS PERKAHWINAN: BERKAHWIN
BERCERAI
BUJANG
ALAMAT BLOG/LAMAN WEB (JIKA ADA):
AKADEMIK:
BIDANG PENULISAN:
KARYA YANG PERNAH DITERBITKAN:

Put a website form like this on your site.

Thursday, December 30, 2010

Interlok bukan pencetus isu perkauman


Jimadie Shah Othman
Dis 30, 10
4:44pm
Kongsi 10
Cadangan penarikan novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain Interlok sebagai buku teks bagi komponen sastera (Komsas) di sekolah menengah ditentang keras oleh kumpulan sasterawan dan penulis.

Setiausaha agung Persatuan Penulis Nasional (PENA) Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, gesaan yang melambangkan "kejahilan" itu timbul akibat tidak memahami konteks cerita itu ditulis.

NONE"Mereka ini (penentang) mungkin tidak membaca, tidak memahami dan memilih secara berat sebelah. Dan mungkin membantahnya demi kepentingan politik masing-masing," katanya yang lebih dikenali dengan nama pena SM Zakir.

Semalam, Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam (kiri) mahukan Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu kerana didakwa mempunyai unsur kasta dalam masyarakat India yang sensitif.

Isu sekitar novel itu bermula apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, setelah diputuskan dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Interlok akan ditarik balik

Bagaimanapun, sehari selepas itu,Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi pula berkata, keputusan itu akan dikaji semula dengan mengenalpasti tuduhan yang dilemparkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Terbaru, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia mengugut mengadakan demonstrasi besar sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan buku itu sebagai bacaan wajib sebelum 30 Januari - tarikh berlangsungnya pilihan raya Tenang.

Kita pun boleh demo

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, SM Zakir menjelaskan, gambaran mengenai sistem kasta dalam masyarakat India yang dalam novel itu hanyalah dibuat sebagai latar belakang watak dan sebagai fakta semata-mata.

Malah, menurut cerpenis itu, Interlok sebenarnya bertemakan perpaduan antara masyarkat berbilang bangsa menghadapi zaman sebelum kemerdekaaan yang berdepan pelbagai rintangan, termasuk pendudukan Jepun, keganasan komunis dan darurat.

NONEMenurut Syed Mohd Zakir, novel itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.

Namun, menurutnya, selepas lahirnya generasi kedua, keadaan mula berubah ke arah yang positif.

Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir.

Sementara itu, ditanya tentang demonstrasi NGO India itu, Syed Mohd Zakir berkata pihaknya tidak kisah dengan rancangan itu kerana pihaknya dan NGO Melayu lain juga mampu mengambil tindakan yang sama.

"Kami menentang sekeras-kerasnya penarikan novel tersebut (sebagai teks wajib). Kalau mereka hendak protes, kita pun boleh protes juga.

"Jangan emosi sangat. Kalau dilihat daripada kaca mata perkauman, memanglah (nampak) perkauman. Mereka yang sebenarnya rasis. Kalau mereka hendak demo, kita pun boleh demo," katanya tegas.

Respons berterusan

Beliau juga menjelaskan, sebagai respons berterusan terhadap desakan demi desakan terhadap Interlok, PENA akan menganjurkan beberapa program membincangkan kandungan adikarya Abdullah itu.

131010 persatua penulis nasional pena logoKatanya, bermula 8 Januari, PENA akan menganjurkan "Dialog Novel Interlok" di pejabatnya di ibu negara yang melibatkan novelis terkenal Fatimah Busu dan angkatan sasterawan sezaman dengan Abdullah, Elias Zaidi.

"Mereka boleh menceritakan konteks sebenar novel itu," tambah Syed Mohd Zakir yang juga pemenang pelbagai anugerah sastera.

Interlok dimasukkan sebagai teks Komsas untuk pembelajaran bahasa Melayu bermula tahun ini. Malah, dilaporkan novel itu pernah digunakan sebagai teks kajian sastera di universiti sekitar tahun 90-an.

Abdullah merupakan sasterawan negara kesembilan, sekaligus yang terakhir (setakat ini) menerima anugerah paling tinggi dalam dunia sastera tanahair-Malaysiakini.

Sunday, December 19, 2010

Tahniah Talib Samat Tokoh Pengarang Negara


Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk], Prof Madya Dr Hj Talib Samat dipilih sebagai Tokoh Pengarang Negara oleh Yayasan Buku Negara baru-baru ini kerana berjaya menghasilkan lebih 70 tajuk buku sehingga kini.

Presiden dan AJK Karyawan Pk mengucapkan tahniah dan syabas kepada beliau dengan ucapan selagi menulis terus menulis.

http://myupsi.upsi.edu.my/servlet/ExpDir?SID=K00141

Tarik balik Interlok keputusan terburu-buru - Gapena

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kementerian Pelajaran digesa mengkaji semula keputusan menarik balik novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bertajuk Interlok karya Abdullah Hussain.

Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sebarang keputusan perlu dibuat selepas rundingan dan kajian yang terperinci melibatkan pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh sastera dan akademik.

Malangnya dalam isu tersebut, katanya, pihak kementerian membuat keputusan terburu-buru tanpa memperhalusi mesej yang ingin disampaikan oleh penulis buku itu.

"Saya sudah baca dan teliti novel itu. Tidak ada cacat cela, malah saya puji dan anggap ia satu karya yang bagus. Unsur-unsur yang menyentuh sensitiviti seperti didakwa hanyalah tafsiran dangkal segelintir pihak.

"Apa yang ingin disampaikan adalah realiti masyarakat. Saya percaya ia mampu membantu proses pembelajaran kerana nilai-nilai murni seperti sikap toleransi, tolong-menolong dan hormat-menghormati antara satu sama lain banyak ditekankan dalam novel ini.

"Sehubungan itu, Gapena menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan yang dibuat supaya kita tidak rugi dan menyesal di kemudian hari kerana tidak menghargai karya yang baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas persetujuan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menarik balik serta-merta novel bertajuk Interlok yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum termasuk mengkritik serta menghina orang Melayu dan India.

Isu tersebut didedahkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil Rabu lalu selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Media Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah menyifatkan tindakan menarik balik novel Interlok adalah keputusan yang kurang bijak.

"Novel ini hasil karya Sasterawan Negara yang dipenuhi dengan mesej dan kritikan yang membina.

"Justeru, saya ibaratkan tindakan menarik balik novel itu sebagai tidak logik dan agak biadab terhadap dunia sastera sedangkan kita tahu, sastera merupakan asas kepada peradaban manusia pada masa depan," katanya.

Interlok yang diterbitkan oleh DBP telah diedarkan kepada semua sekolah menengah untuk diagihkan kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi persekolahan tahun depan.

Sunday, November 28, 2010

Timoh: Satu Kenangan Abadi



oleh Djazlam Zainal pada pada 28hb November 2010 pukul 11.03 ptg

Kenangan adalah satu rasa yang sangat dalam untuk diurai apatah lagi diberi makna dan diobses ke alam nyata. Kenangan hanya bisa dirasa oleh mereka yang pernah memiliki sejarah atau pristiwa, yang kemudian diendap dan dirangkul sepanjang perjalanan usia mereka. Begitu juga dengan Temoh, satu wilayah di Utara negeri Perak yang didiami kaum Melayu dari suku Rao, Banjar, Jawa, Mandailing, Natar, Kampar, Perak dan lain-lain. Bagi mengingati ulang tahun ke 100 sebuah sekolah di Temoh ( 1907-2007 ) sekolah yang telah melahirkan sebilangan juragan dan bijak pandai negara, sebuah antologi puisi Timoh telah diterbitkan. Sesungguhnya ia sebuah hasil pemantapan bagi sebuah sejarah tanahair yang perlu dibanggakan.

Sepintas lalu Temoh adalah sebuah pekan kecil pertemuan dua batang sungai yang dinamakan sungai Temu. Apabila Tanah Melayu dijajah British, yang memperkenalkan Rancangan Briggs, orang Melayu telah dipindahkan ke Kampung Tanah Seribu. Rancangan Briggs adalah untuk menyekat aktiviti kaum Cina yang dikatakan membantu komunis. British bukan sahaja memindahkan orang Melayu tetapi juga memindahkan sebutan Temu kepada Temoh mengikut lidah Inggeris. Orang Melayu yang bencikan Inggeris tidak mahu mengikut lidah penjajah itu sebaliknya memanggilnya sebagai Timoh yang kekal sehingga ke hari ini. Suatu peristiwa yang membesarkan pekan ini ialah pertemuan orientalis barat R.O. Winstedt dengan Pawang Ana dan menantunya, Mir Hassan. Daripada Pawang Ana, Winstedt telah merakamkan hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Malim Deman. Ketiga-tiga hikayat ini kemudiannya menjadi magnum opus kesusasteraan Melayu. Bagi mengenang semua ini, anak-anak wilayah Timoh serta yang berhampiran dengan menyagat kenangan dalam bentuk puisi untuk dirakam sebagai suatu nostalgia seni budaya bagi kenang-kenangan generasi mendatang. Sebuah antologi puisi Timoh yang diselenggarakan bersama oleh Zabidin HjIsmail dan Muhamad Bukhari Lubis, diterbitkan baru-baru ini. Zabidin Ismail, anak kelahiran Kampung Batu Masjid, Temoh adalah seorang aktivis sastera dan budaya. Amat banyak banyak pencapaiannya dalam bidang sastera untuk dituliskan di sini. Begitu juga Muhamad Bukhari Lubis ( Prof. Dr. Haji ) Dilahirkan di Makkah al-Mukarammah tetapi dibesarkan di Temoh. Tugas terakhirnya sebagai Prof. di Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. Antologi Timoh mengandungi 101 puisi nukilan 31 orang penyair.

Dr. Badriyah Haji Salleh menemukan kita dengan puisinya, Selawat dan Pujian Kepada Allah SWT.

Pareng tobat pengapuro

Adoh Gusti kulo boten ahli suargo

Boten kiat boten kulo ahli neroko

Estu Tuhan engkang pareng pengapuro

Mugi pareng tobat doso-doso kulo

Doso kulo sami wilangane wedi

Ini adalah puisi bahasa Jawa yang sering dilagukan untuk mengiringi tidur si anak. Dr. Badriyah seorang ahli sejarah yang sangat meminati puisi. Dilahir dan mendapat didikan di Sekolah Kebangsaan Temoh dan berjaya ke Universiti Malaya dan seterusnya ke Universiti Colombia, New York, USA. Suatu pencapaian yang membanggakan bagi anak Temoh di persada pendidikan tanah air. M. Ashikin nama pena kepada Dr. Mohamad Mansur Abdullah, seorang karyawan tanah air. Beliau menulis semua genre termasuk puisi, cerpen, novel dan rencana sastera dan pendidikan.

Kusingkap tabir kelabu

yang melindungi mukamu

kutatap wajah ayu

menguntum seribu senyumanmu

bagi menyemarakkan resah rindu

beratus tahun yang lalu

tapi ia jelas kelihatan hanya palsu

dan aku sangat mengerti, Temoh

tiap rasa makna dikau bayangkan

bagaikan menyembunyikan semuanya

....

( Kekecewaan Masa Lampaumu )

Biarpun dilahirkan Kampung Sungai Durian Teluk Intan, Perak, namun pautannya terhadap Temoh juga kukuh.

Seorang penyair besar Perak yang turut menyatakan solidariti Temoh ialah Onn Abdullah. Melalui ' Stesen Temoh '

Onn menulis,

Semilir berhembus nyaman

tatkala kita mengumpul lelah

menghela nafas sepi ini

sejenak kamar ingatan

tersingkap perlahan

tentang perjalanan itu

kita sama-sama riang

dalam getir menunggu

saat keratapi tiba

Temoh Stesen berantakan

dengan keriuhan mesra

pintu gerabak menelan tubuh

.....

Rosmiaty Shaari kelahiran Teluk Intan, Perak ini juga tidak ketinggalan menyumbangkan puisinya. Rosmiaty yang sebelum ini menulis cerpen mengimbau Temoh melalui kenangan yang dilalui oleh ayahandanya. Melalui Temoh 2, Rosmiaty menulis,

Panggilan itu datang lagi

berpuing-puing

melantun-lantun ke segenap pelosok rimbaraya

mencelah-celah daun

ke puing-puing debu

.....

Pemilik tanah Temoh, Zabidin Hj Ismail turut merindukan tanah kelahirannya. Melalui Tanah Seribu Zabidin mencatat,

Telah lama kurindui, Tanah Seribu

sejak kutinggalkan kau tidak seperti dulu

di jantungmu ada sepohon jambu batu

dan mengalir lesu air sungai Pak Ji

masa kecilku selalu menangkap berudu

untuk eksperimen sekolah

tetapi kini segalanya telah berubah

.....

Begitulah anak-anak Temoh telah mengabadikan suara dan harapannya untuk wilayah yang dikasihi. Semoga ia dapat dicontohi oleh anak-anak wilayah yang lain pula.

Monday, November 15, 2010

Ketokohan Abu Hassan Morad Tampil kebolehan dalam pelbagai genre sastera meskipun sibuk dengan tugas korporat


Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/11/15


SEMINAR Pemikiran Sasterawan Felda Ke-3: Fokus Abu Hassan Morad mengiktiraf kebijaksanaan pengarang prolifik dalam pelbagai genre sastera, Abu Hassan Morad (foto bersongkok), meskipun sudah mengulitinya sejak 25 tahun lalu dan kini juga seorang tokoh korporat.

Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk), Zabidin Hj. Ismail, (foto bawah) berkata kemampuan mengurus perniagaan dengan menerapkan nilai Islam sebagai teras kehidupan berjaya membentuk ketokohan dan kewibawaan Abu Hassan.

“Abu Hassan yang sangat cintakan Islam bukan saja berjaya menerapkan keindahan agama itu dalam karya kreatif, bahkan bekas guru ini berjaya membudayakan ‘ad-Din’ dalam pentadbiran dan pengurusan perniagaannya.

“Beliau juga rajin mengembara bagi menghasilkan karya dan penulisan berkualiti seperti dapat dilihat melalui buku sastera kembara, Syahadah, yang menghimpunkan catatan perjalanan dan pengalamannya ke 12 negara,” katanya pada seminar di Bangunan Bitara Siswa, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.

Zabidin yakin Abu Hassan wajar diangkat sebagai tokoh penulisan dan sasterawan kelahiran Felda yang mampu memberi nilai positif kepada masyarakat, terutama generasi muda kerana beliau berjaya melahirkan karya kreatif berteraskan Islam lagi berkualiti.

Kelebihan Abu Hassan dengan ciri seperti dinyatakan itu sehingga membolehkannya berjaya meraih Hadiah Sastera Perdana pada 2000 menerusi novel Julia sehingga akhirnya diangkat sebagai teks untuk Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).
“Kecekapan dan kemahiran beliau mengurus masa boleh dijadikan contoh kerana Abu Hassan berjaya membentuk dirinya sebagai pengarang prolifik, pengurus, penerbit dan pengembara serta hamba Allah yang tawaduk terhadap Penciptanya,” katanya.

Sumbangan dan ketokohan Abu Hassan turut disuarakan Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat dan Tugas Khas Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB), Aliyah Sijari, yang menyifatkan beliau mempunyai pelbagai kebolehan besar seperti terpancar dalam penulisan novel, puisi, cerpen, penerbitan drama, dokumentari, pengarahan dan penulisan skrip.

“GISB, Anugerah Media Network Sdn Bhd dan Layar Consult Sdn Bhd ditubuhkan hasil jerih lelah dan buah fikir serta ketekunan Abu Hassan, anak Felda Guar Napai, Kedah. Beliau komited dalam bidang penerbitan Islam, selain tidak pernah jemu menghasilkan penulisan berkonsep sama,” katanya.


Aliyah berkata, Abu Hassan sabar dan tekun menulis walaupun dihimpit dengan pelbagai urusan, bahkan beliau mempunyai disiplin tinggi dalam usaha menghasilkan penulisan yang memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Sahabat karibnya yang pernah bermusafir dengannya pernah memujinya kerana Abu Hassan selalu memulakan paginya dengan idea baru, seolah-olah mindanya tetap berjaga walaupun ketika sedang tidur,” katanya.

Pegawai Penerbitan UPSI, Ghazali Din, ketika melapah Citra Kembara: Sisi Tarikan Dalam Novel Kota Seribu Klong, berkata karya Abu Hassan wajar didampingi oleh generasi muda yang meminati sastera dan penulisan.

“Novel Kota Seribu Klong ialah novel kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1994 yang mengangkat kisah Rohimi atau Imi dan adiknya Imah mengikut ayah mereka, Dr Rahmat menziarahi pak cik mereka, Suvit di Pattaya, Thailand.

“Abu Hassan memaparkan keinginan Imi yang mendesak ayahnya untuk ke Chiang Mai kerana baginya keputusan untuk pulang awal akan membuatkan mereka tidak boleh melawat pelbagai tempat menarik untuk diceritakan kepada ibunya.

Abu Hassan berjaya mengadun novel kembara dengan pelbagai dimensi menarik seperti pendidikan, keagamaan, moral dan kemanusiaan, khusus untuk golongan sasaran kanak-kanak, selain tidak lupa tanah kelahirannya yang sentiasa disisipkan dalam apa juga karya penulisan serta dramanya.

Abu Hassan turut dilihat daripada kaca mata anaknya yang juga Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka, Ummu Hani Abu Hassan yang melapah Proses Kreatif Abu Hassan Morad yang Tersurat dan Tersirat.

Beliau melihat kemewahan alam yang dihuni bapanya itu menjadikan Abu Hassan kekal sebagai anak Felda yang kukuh pegangannya.

“Abu Hassan adalah guru yang baik kerana beliau sentiasa ingin menjadikan anak muridnya lebih baik daripadanya dan jarang tokoh penulisan dapat membina legasi kepengarangannya terutama terhadap anaknya sendiri.

“Usahanya menggalakkan penulis baru yang bernaung di bawa syarikat GISB adalah kemuncak perjalanan kreatifnya kerana beliau menganggap kejayaan peribadi adalah bersifat sementara kerana yang lebih kekal adalah dapat memanfaatkan orang lain kepada Islam,” katanya.

Wednesday, October 20, 2010

Seminar Pemikiran Pawang Ana


Siaran Akhbar

Saudara Pengarang,


Sejarah ketokohan Penglipur Lara Negara, Pawang Ana yang telah tenggelam semenjak tahun 1914 akan dibangkitkan kembali dalam seminar Pemikiran Pawang Ana pada 25 Oktober 2010 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh mulai 8.30 pagi hingga 2.00 petang.
Sempena seminar, satu pameran bertajuk “Pawang Ana dan Karyanya” akan diadakan di ruang pameran Perpustakaan Awam Perak (bersebelahan lokasi seminar) yang akan mempamerkan biografi ringkas Pawang Ana serta karyanya termasuk ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt (bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu) yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916 London. Lakaran wajah Allahyarham dijumpai oleh mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya Mohd Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.
Di samping beberapa fakta tempatan, lakaran wajah Pawang Ana akan menarik ramai pengunjung ke pameran itu. Sebelum ini beliau hanya dikenali sebagai tokoh penutur sastera rakyat atau cerita-cerita lipur lara tetapi tiada pernah mana-mana pihak yang menerbitkan gambarnya.
Program ini mendapat sokongan kuat daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan akan merasmi penutup seminar tersebut. Penganjur utama ialah Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] dengan sokongan dan dokongan erat daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Yayasan Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO).
Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa sarjana USM, UPSI dan Nanyang Universiti, Singapura termasuk dari Presiden Karyawan Pk, Zabidin Hj Ismail bertajuk “Biografi dan Sumbangan karya Pawang Ana”

Siapa Pawang Ana?

Pawang Ana juga seorang dukun dan pendekar. Dia berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kg. Pulai Gopeng, Perak sekitar tahun 1850-an iaitu ketika arus kedatangan orang-orang Rao (Rawa) ke Perak. Menurut R.O Winstedt, Pawang Ana menggunakan kepakarannya berjaya menemui mayat Residen British di Perak, J.W.W Birch yang hanyut di Sungai perak setelah dibunuh pahlawan Melayu Pasir Salak. Selama tiga hari tiga malam Inggeris gagal menjumpai mayat tersebut.
Pawang Ana juga pernah menamakan Kg Batu Masjid, Temoh apabila kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada tahun 1895.
Selaku tokoh Penglipur Lara tersohor, Pawang Ana telah menuturkan sebanyak lima cerita lipur lara dan telah dibukukan oleh R.O Winstedt iaitu Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Kelima-lima cerita tuturan Pawang Ana telah dikategorikan sebagai karya agung oleh Yayasan Karyawan.

Seminar terbuka kepada awam serta terhad seramai 200 orang sahaja dan dikenakan bayaran RM10 untuk mengisi tabung Karyawan Pk. Keterangan lanjut hubungi Pn. Saliza 0125332170; Onn Abdullah 0165360864 ; Dr Talib Samat 0122269740.


Salam hormat

(HJ ZABIDIN HJ ISMAIL)
Presiden
Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

Hp: 012-5070513
Faks 05.2544294




Lampiran:

Judul Kertas Kerja dan Penulis
o “Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional” - Zabidin Hj lsmail, (Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o “Unsur-unsur Budaya Rao dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal” - Prof Madya Dr.Talib Samat, (Universiti Pendidikan Sultan Idris / Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak)

o “Pemikiran dan Gaya Bahasa Puitis dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda - Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o “Unsur Interteks dalam Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Deman” - Dr.Bazrul Bahaman (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

o “Pawang Ana dan Patriotisme Maritim Melayu- Prof. Madya Dr. Jelani Harun (Universiti Sains Malaysia)

o “Penerapan Teori-teori Terpilih dalam Mengkaji Hikayat-hikayat Tuturan Pawang Ana.” - Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah, (Universiti Teknologi Nanyang, Singapura).

o “Peranan dan Sumbangan R.O Winstedt dan A.J Sturrock dalam Mendokumentasikan Cerita-cerita Penglipur Lara Tuturan Pawang Ana.” - Mohd. Zamberi Malik, (Mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya).

o “Perbandingan Ketokohan Pawang Ana (Perak) dan Awang Batil (Perlis) - Mohamad Shahidan (Dewan Bahasa dan Pustaka).

ATUR CARA PROGRAM
8.30 pagi : Pendaftaran Peserta / Sarapan
8.45 pagi : Ketibaan para tetamu / pembentang
8.55 pagi : Bacaan Doa

9.00 – 11.00 pg : Sesi 1

Zabidin Hj. Ismail (Karyawan Pk)
Mohd.Zamberi Malik
Prof.Madya Dr.Talib Samat (UPSI /Karyawan Pk)
Prof. Madya Dr Jelani Harun (USM)

Moderator:
Mohd Paris Arshad (IPG Kampus Ipoh/Karyawan Pk)

11.00 – 1.00 th: Sesi 2
Dr Shaharudin bin Shaari (IPG Kampus Ipoh)
Dr.Bazrul Bahaman (UPSI)
Prof.Madya Datuk Paduka Dr.Mohd.Rosli Saludin (UPSI)
Mohammad Shahidan (DBP)

Moderator:
Dr Rosli Sahat (IPG Kampus Ipoh)

1.00 ptg Majlis Perasmian /Penutupan
Ucapan Aluan;
Yang Berusaha Tuan Abdul Mutalib bin Abdul Rahman
(Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak) .

Ucapan Perasmian / Penutupan
YB Dato’ Zainol Fadzi bin Haji Paharudin, DPCM.,PMP.,DSM.,ASDK.,
(Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak)

Pelancaran buku “Timoh Tasik kenangan”
Persembahan Multimedia
Penyampaian Cenderamata
Lawatan ke pameran: “Pawang Ana dan Karyanya”
Jamuan Makan Tengah Hari

Bersurai

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Karya terkini

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: RM 35.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.