KELAHIRAN antologi Khazanah Karyawan Pk yang dilancarkan sempena Pertemuan Penulis Perak baru-baru ini, semakin menghangatkan kegiatan sastera, bahasa dan kesenian di negeri itu.
Sejak 10 tahun penubuhannya (15 Februari 1992), Karyawan Perak (Karyawan Pk) telah melahirkan ramai ahli akademik (khususnya dalam bidang kesusasteraan dan kesenian), novelis dan cerpenis yang disegani di negara ini.
Kini, Ahli-ahli Karyawan Pk sebahagian besarnya dianggotai oleh penulis muda yang mendapat pendidikan formal dari menara gading. Karya yang dihasilkan pula memperlihatkan unsur-unsur eksperimental yang begitu baik.
Persatuan ini ditubuhkan antara lain bertujuan untuk menggabungkan para penulis daripada pelbagai genre seluruh Perak di samping menjaga kepentingan aktiviti sastera, bahasa serta kesenian di peringkat negeri.
Selain itu, Karyawan Pk juga bertujuan untuk menyediakan ruang yang lebih luas kepada penulis muda di negeri ini, terutamanya generasi muda berhadapan dengan dunia sastera yang lebih besar.
Khazanah Karyawan Pk yang diterbitkan ini memuatkan karya-karya yang merangkumi genre puisi, cerpen, fragmen novel, skrip (telefilem dan drama pentas), esei kritikan sastera dan catatan kembara.
Genre puisi memuatkan 56 puisi oleh penyair muda dan veteran Perak. Antaranya Al-Hisham, Aminah Abdul Malik, Ariff Mohammad, Chai Loon Guan, DJ Dolasoh, Che Su Deraman, Wahid Kasran dan M. Salleh Mahayat.
Hanya tiga cerpen sahaja yang dimuatkan dalam antologi ini iaitu karya Mohd. Rashidi Yusuf (Seorang Tua di Tepi Suak), Ramli Daud (Gema Warisan) dan Sabariah Bahari (Cinta di Hujung Senja).
Fragmen Novel pula menampilkan sedutan daripada novel Tengku Puteri karya Talib Samat. Bagi skrip telefilem, drama pentas dan drama radio pula ia memuatkan naskhah Batas Runcing Nun Destinasi (Ariff Mohamad), Ngede-ngede (Jamaludin Ahmed), Biduk Lalu Kiambang Bertaup (Noriah Mohd. Shariff) dan Bila Hati Telah Retak (Zainab Ngah).
Turut dimuatkan ialah esei/kritikan sastera oleh DJ Dolasoh, Prof. Madya Muhd. Bukhari Lubis, Talib Samat dan Zabidin Ismail.
Catatan Perjalanan oleh Hanifah Ibrahim dan Acheh-Serambi Mekah tulisan Zabidin Ismail.
Di samping itu, turut dimuatkan lapan mutiara kata yang bertemakan kehidupan dan ketuhanan oleh Al-Hisham.
Secara umumnya antologi ini merupakan rentetan perkembangan bidang penulisan oleh para penulis Perak yang bernaung di bawah persatuan ini sejak 1992. Ia memaparkan sedikit kelainan dengan menyuguhkan karya-karya yang tidak pernah diterbitkan.
No comments:
Post a Comment