Jan 5, 11 11:06am
Lazimnya, jarang sekali karya sastera, khususnya novel Melayu mendapat perhatian sebegitu meluas daripada masyarakat umum di negara ini seperti yang diperoleh Interlok karya Sasterawan Negara, Dato' Abdullah Husain (foto). Tetapi malangnya semua perhatian berkenaan atas sebab yang tidak sepatutnya.Banyak pihak tampil membidas Interlok yang dipilih sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk tingkatan lima. Ia dikatakan sebagai karya berbentuk 'rasis' serta menyemai bibit-bibit unsur penghinaan.
Buku setebal 426 halaman itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan. Ia dibahagikan kepada empat buku, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bahagian kedua tentang Cing Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum semua itu dirangkum dalam bab terakhir.
Ia juga merangkumi sekurang-kurang tiga generasi yang mengambil latar sekitar 1910 dan berakhir pada latar masa 1957 ketika negara menyambut kemerdekaan.Walaupun semua keempat-empat bahagian buku itu mempunyai kandungan yang kontroversial, namun bab yang mendapat publisiti meluas sekarang adalah yang berkisar mengenai keluarga Maniam.
India melenting!
Tidak seperti kaum lain di negara ini, yang melenting adalah hanya kaum India! Bermula dengan bidasan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan ia diperpanjangkan oleh Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam yang mendesak Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu.Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) dalam kenyataan medianya mendakwa Interlok memberikan gambaran tidak betul terhadap masyarakat India, terutama ke atas sistem kasta dan perkataan 'paria' yang digunakan.
Buku mengenai Maniam itu bermula apabila lelaki berusia 30 tahun itu yang berbadan tegap dan bertulang rangka besar meninggalkan kampungnya di Tricur, Kerala, India kerana tidak tahan dicengkam kemiskinan.
Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagaian besar daripada penumpang dek yang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikit bercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugu pun berasal dari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.Mereka berasak-asak seperti kambing. (halaman 211)
Sekumpulan masyarakat India di negara ini mempertikaikan kebijaksanaan Abdullah yang mengolah ceritanya dengan fakta-fakta sejarah dan hakikat sistem kasta yang membelenggui masyarakat di India ketika itu. Maniam digambarkan gembira dengan peluangnya mendapat pekerjaan dan begitu serasi bukan sahaja dengan cuaca di Malaya yang hampir sama dengan kampung halamannya, tetapi juga makanan seperti kari yang digemari penduduk tempatan menepati citarasanya.
Di sini, pekerjaan yang membezakan kasta tidak ada. (halaman 216)
Dia gembira hidup di negeri ini kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa dirinya sebagai manusia seperti orang lain. (halaman 218)
Di negeri ini, orang daripada kasta Brahma memakai punul yang melintang di tubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu.
Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya. (halaman 219)
Tidak puas hati
Bagi kumpulan masyarakat India, perenggan-perenggan di atas terlalu sensitif dan mereka tidak berpuas hati denggannya.
Cerita itu disambung mengenai kebahagian yang dikecapi oleh Maniam bagaimapun tidak lama, apabila orang kampungnya, Raman dan Suppiah datang membawa khabar berita, bahawa isterinya Ambika sudah mengikut lelaki lain.
Esakan Maniam berhenti dan dia mengesat air matanya. Barulah Suppiah, orang yang berair muka seperti keanak-anakan itu bercerita. Isteri Mania, Ambika sudah amat melarat hidupnya. Dia sudah mulai makan pucuk-pucuk kayu. Tukang pinjam wang sudah tidak membenarkan dia tinggal di rumah itu lagi kerana rumah itu sudah menjadi haknya dan lembu Maniam itu diambilnya. (halaman 221)
Malah, Maniam yang tidak berpelajaran, setiap bulan mengirim wang kepada rakannya di India, Pillay supaya diberikan kepada isterinya. Pillay bukan sahaja gagal menunaikan amanah itu tetapi juga melarikan isteri sahabatnya itu.
Akibat tertekan dengan berita itu dan menanggung malu yang besar, Maniam mengambil keputusan meninggalkan Pulau Pinang dan merayau dari satu kebun ke satu kebun sehingga dia tercampak di kebun orang putih di Cangkat Lima.Dia berjaya mendapat pekerjaan dari tandil kebun kelapa itu - juga seorang India dari Madras, Perumal dan akhirnya berkahwin dengan anak perempuannya Malini dan hidup dengan bahagia, tanpa memberitahu latar perkahwinannya dengan Ambika.
Akibatnya, kebahagian itu tidak berkekalan - Suppiah kemudiannya datang ke kebun itu dan membawa cerita bahawa Maniam pernah berkahwin dan meninggalkan isterinya.
Akibatnya beliau diusir dari ladang itu dan semasa meninggalkan estet berkenaan, Maniam diserang dan cuba dibunuh oleh orang yang tidak dikenali. Mujur kehadiran seorang lelaki tempatan berjaya menyelamatkannya.
Sekilas pandang, tidak dapat dinafikan mungkin ada petikan yang menguris hati dan dikatakan berbaur perkauman, namun kita tidak boleh melihat ayat terpencil atau isu yang diambil di luar konteks novel. Tindakan seumpama itu, hanya menidakkan niat suci dan murni pengarang untuk menyatukan masyarakat Malaysia melalui karyanya itu.
Perlu dibaca menyeluruh
Interlok perlu dibaca secara menyeluruh. Untuk menuduh Abdullah sebagai penulis rasis dan menghina masyarkat India serta membakar karya sasterwan negara itu, sesuatu tindakan melampau.
Pandangan tajam Abdullah Hussain membidas keadaan ketika itu, juga tidak terkecuali ke atas masyarakat Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh dan malas.
Setelah guru besar itu berlalu, Pak Musa ketwa terkekeh-kekeh, diikuti oleh Mak Limah. Dia amat gembira kerana menipu guru besar itu.
“Buat apa sekolah? Tengok tu, tahu membaca dan menulis pun aku yang tak bersekolah ini dapat tipu bulat-bulat.”
Masyarakat Cina pula digambarkan bermata duitan dan sentiasa tidak ikhlas serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang.
Ini jelas dipaparkan dalam Buku Dua - Keluarga Cing Huat. Menghiasi halaman utamanya, dimasukan pepatah Cina yang berbunyi: “Kalau tak berwang, ke mana pergi terbuang.”
Lee Kim Lock yang melarikan diri dari tanah besar Cina akibat hasil tanaman mereka diserang belalang sanggup melakukan apa sekali perkerjaan pun termasuk mengangkat najis manusia.
Selain itu, demi wang, ikatan persaudaraan tidak penting. Malah mereka menikam satu sama lain seperti yang berlaku antara Paman Kok Leng yang menipu keluarga Cina yang dibawanya masuk ke Malaya. Hubungan adik-beradik juga menjadi tegang kerana wang.
Yew Hock lebih percayai oleh bapanya. Dia patuh pada ajaran bapanya, menimbang barang selalu kurang, berjual beli selalu bertegang urat.
Di sebalik watak dan nilai negatif yang ditunjukkan pengarang, pada novel ini menonjolkan watak positif untuk memberi keseimbangan dan memperlihatkan nilai terbaik bangsa dimanfaatkan untuk perpaduan kaum.
Dia terlalu memandang rendah kepada orang Melayu. Dia tidak pernah menganggap mereka manusia beradab seperti dia. Dia selalu mengatakan bahawa mereka malas. Dia mahu menarik keuntungan sahaja daripada mereka. Kalau mereka memberi keuntungan wang kepadanya, dia berbuat baik, kalau tidak dia menganggap mereka seperti sampah. Sekarang baru terasa bahawa kata-kata anaknya itu benar. Orang Melayu itu pun manusia juga. Mereka seperti kita, bukan orang biadap. (Halaman 321)
Satu lagi contoh pada novel ini yang menonjolkan watak positif, bangsa berlainan yang cuba menghormati satu sama lain, boleh dilihat pada petikan ini.
Maniam menyusun jari kedua-dua belah tangannya memberi hormat kepada Mak Limah. Mak Limah tidak tahu apa-apa yang mesti dibuat. Dia melihat Seman dan ketika dia berpaling semula, Maniam telah berjalan jauh sambil menyeret basikalnya.
“Baik orang India tu, Seman,” kata Mak Limah ketika mulai menggobek sirih.
Selain itu, Abdullah Hussain juga cuba memecahkan tembok kasta dengan memperlihatkan bagaimana Maniam diterima bukan sahaja oleh masyarakat India tetapi juga penduduk tempatan.
Setelah bapanya meninggal, di kebun yang jauh dari kampungnya itu dia menemui seorang bangsa asing yang dapat dianggapnya sebagai bapanya. Hanyalah kerana berlainan agama dan bangsa yang memisahkan mereka, tetapi dalam pergaulan sebagai manusia Maniam memperlakukannya sebagai anak dan dia menganggap Maniam sebagai bapanya. (Halaman 316)
Justeru, mendakwa Interlok menghina kaum India bukan sahaja tidak tepat tetapi membawa malapetaka terhadap niat murni sasterawan negara itu cuba menegakkan hakikat bahawa masyarakat india memang tahu mengenang budi.
“Orang perempuan Melayu dari Kampung Nyiur Condong juga ada ditahan di sini. Dia ditahan bersama-sama papa, tapi belum disoal siasat lagi,” kata Ramakrisynan.“Anaknya mana?” tanya Maniam.
“Anaknya juga ada di sini, tapi tak ditahan. Dia mahu tolong ibunya.”
“Engkau tolonglah dia, Rama. Dia itu macam saudaraku sendiri. Suaminyalah yang menolong menyelamatkan aku dulu.' (Halaman 359)
Kaki kayu
Kisah bangsa Melayu, Cina dan India dalam novel ini sebenarnya dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti terkandung pada bab akhir.
Cerita diakhiri secara simbolik. Yew Seng yang terpaksa dipotong kakinya.
Waktu Yew Seng masih di dalam rumah sakit beberapa tahun yang lalu, mereka dari pekan itu dan dari kampung sekitarnya telah mengumpulkan wang untuk membeli kaki kayu tersebut, tetapi Cing Huat berkeras menolaknya. Dia mahu membeli sendiri. Dia ada wang. Dia tidak mahu menyusahkan orang ramai kerana anaknya itu, tetapi Lazim dan Raman pun berkeras juga. Mereka mahu menolong Yew Seng. Keputusan terakhir diserahkan kepada Yew seng, dan dia memilih kaki kayu yang akan diserahkan oleh masyarakat Melayu dan India. Masyarakat Cina di pekan itu ikut sama kemudian. Itulah khaki kayu yang digunakan oleh Yew Seng sekarang. (Halaman 418) - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment