23 April, 2011 20:07 PM
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Penulis buku tempatan kini boleh memohon modal untuk memulakan penerbitan dari Dana Penulis yang disediakan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) berjumlah RM2 juta.
Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar berkata dana itu diberikan kepada penulis yang menghasilkan karyanya seratus peratus.
"Penulis boleh menghantar terbitan mereka kepada PNM, jawatankuasa yang telah diwujudkan akan menilai buku-buku itu berpandukan syarat yang telah ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011.
Beliau berkata penulis yang layak bakal menerima RM25,000 dan PNM akan membeli serta mengedarkan buku tersebut kepada perpustakaan desa di seluruh negara.
Raslin berkata buku yang akan dihasilkan mestilah menepati serta bersesuaian dengan masyarakat luar bandar.
Beliau berkata dana itu diwujudkan bagi menggalakkan penulis menghasilkan lebih banyak buku berikutan statistik penerbitan menunjukkan penurunan.
"Pada tahun 2008, sebanyak 16,044 naskhah direkodkan di PNM, manakala pada tahun 2009 jumlah penerbitan agak menurun sedikit kepada 15,767 naskhah, dan pada tahun 2010 sebanyak 15,756 naskhah," katanya.
Raslin berkata jika dana itu mendapat sambutan yang baik daripada penulis tempatan, ia mungkin diteruskan pada masa akan datang.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan tiga buku iaitu 'Yang Hilang dan Yang Datang' karya Datuk Khairuddin Arshad, 'Cancer: Causes, Cure and Preventive' karya Dr V.M. Palaniappan dan '1Sudoku: Centerpiece 1' karya Lim Teck Guan.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 di PWTC bermula Jumaat dan berakhir 1 Mei ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment