oleh Saifullah Ahmad, Sinar Harian, Edisi Perak-2.5.2011
Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk), Zabidin Hj Ismail berkata, pihaknya memilih kereta api sebagai tempat program bagi memberikan kelainan dalam program-program melibatkan pembacaan.
Menurutnya, kelainan yang dicipta itu merupakan salah satu usaha Karyawan Pk bagi menarik minat pelbagai peringkat usia untuk membaca.
“Kita mahu minat membaca ini meningkat khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Sebab itulah kelainan ini dibuat.
“Kereta api sekarang ini sangat selesa. Jadi kami mahu sementara menunggu untuk sampai ke destinasi, mereka mengisinya dengan aktiviti membaca,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis Pelancaran Kembara Ilmu Siri Kedua oleh Pengurus Besar Yayasan Perak, Datuk Abdul Jamil Mat Kasa di Dewan di Stesen Kereta Api Ipoh, semalam.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah program berkenaan, Sallehuddin Ibrahim dan Pengurus Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh, Sallehuddin Tajuddin.
Beliau berkata, pihaknya sangat gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh KTM untuk program berkenaan.
Menurutnya, seramai 20 keluarga terlibat dalam program itu yang bergerak menuju Kuala Lumpur bagi memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Pada masa akan datang kita akan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan penulis yang lain untuk program seperti ini yang akan kita adakan setiap tahun.
“Selepas ini kita akan penuhkan keseluruhan gerabak kereta api ini dengan rombongan dari Perak ke Kuala Lumpur sempena pesta buku,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Stesen KTM Ipoh, Sallehuddin Tajuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan program bermanfaat seperti itu.
Katanya, KTM akan terus memberikan sokongan untuk program-program membaca bagi memastikan tahap pembacaan rakyat Malaysia meningkat.
No comments:
Post a Comment