Rakan Penulis

Sunday, February 26, 2012

ZAHARI HASIB meninggal dunia


Dengan teramat sedih dimaklumkan bahawa penyair tersohor tanah air, Hj Zahari Hasib telah berpulang ke rahmatullah waktu maghrib pada 26 Februari 2012 di Teluk Intan. Jenazahnya akan dikebumikan esok (27.2.2012). Kepada rakan dan sahabat handai yang ingin menziarahi jenazah boleh datang ke rumah arwah di Taman Intan Mas, Jalan Padang Tembak, Teluk Intan (berdekatan surau).

Saya menerima berita sedih ini sewaktu memandu balik ke Putrajaya dari Ipoh setiba di Behrang. Pesanan ringkas daripada Azim Salleh kemudian disahkan oleh Pakcik Ramli Daud (Sungkai) diikuti Puan Rosmiaty Shaari (Melaka) dan disahihkan oleh sms Dr Talib Samat (Tanjong Malim). Sebaik sampai di rumah, ada pesanan fb di wall saya oleh Puan Rahmahniah Hj Kantan (Teluk Intan) dan sdr Dzulkifly Zainudin (Berita Harian). Sahihlah Zahari Hasib sahabat kami telah meninggal dunia!!

Terima kasih
kepada pagi
yang menantang angin lembut
segar serta nyaman

Terima kasih
kepada mentari
yang membawa sinar terang
hingga boleh membaca
serta mencatat ilham
untuk menulis beberapa rangkap puisi

Terima kasih
dan selaut kesyukuran
kepada tuhan
yang telah membenarkan aku
hidup sehari lagi
pada hari ini!

ZAHARI HASIB
Teluk Intan, Perak


Zahari, ucap terima kasih engkau telah terhenti di sini!

Kematian telah bersarang di dada malam

pergilah sahabat

dingin malam ini

menyelimut engkau ke akhirat

Aku di sini memendam duka

sendu tidak dapat menatap bening wajahmu

sebelum berangkat ke liang lahat.

Al- Fatihah!


Putrajaya, 27 .2. 2012 (1.36 pg)


Zahari Hasib adalah seorang penyair Malaysia yang berasal dari Perak. Nama sebenarnya ialah Zaihari Mohd Hashib dan lahir pada 15 jun 1947 di Kampung Selboh, Parit, Perak. Mula berkarya pada tahun 1969 lebih dikenali sebagai seorang penyair walaupun beliau juga ada mengarang cerpen, rencana sastera dan skrip drama radio. Antara antologi puisi yang dihasilkannya ialah Kuntum Harapan (1992), Debu di Kaca (1995), Menyorot Kisah dan Ilham (1987) dan Bunga-bunga Terbuang (1989). Beliau pernah menjadi Bendahari Karyawan Pk serta terlibat banyak aktiviti persatuan termasuk menjadi hos majlis Gebang Puisi di Pasir Salak pada 11 Disember 1994.

- Zabidin Hj Ismail

2 comments:

  1. salam tuan. sajak terima kasih sangat menghibakan. semoga arwah ditempatkan bersama-sama hambaNya yang solih. al fatihah

    ReplyDelete
  2. al fatihah. semoga kuntuman puisi dan jasa yang ditinggalkan dapat bermanfaat dalam kehidupan di sana

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...