KEAHLIAN


BORANG KEAHLIAN

SYARAT PENDAFTARAN AHLI:

1- Seorang penulis (karya pernah diterbitkan)

2- Lahir di Perak / bermastautin di Perak (k/p:08)

3- Berusia 21 tahun dan ke atas.


4- (* Sila buat pembayaran RM55.00 (Yuran ahli seumur hidup & pendaftaran) ke akaun MAYBANK: 558314425055

(Sertakan bukti pembayaran ke: karyawanpk@gmail.com )

5- Emelkan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

(Borang permohonan hanya akan diproses setelah disertakan bukti pembayaran dan gambar passport ke alamat emel: karyawanpk@gmail.com

6- Saya berjanji akan mematuhi perlembagaan persatuan dan bersedia mengikuti perkembangan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dari semasa ke semasa.


BORANG KEAHLIAN

ADAKAH ANDA BERSETUJU: SETUJU
TIDAK BERSETUJU
NAMA PENUH (* SEPERTI DI DALAM KAD PENGENALAN):
GELARAN:
NAMA PENA (*JIKA ADA):
ALAMAT SURAT-MENYURAT:
POSKOD:
ALAMAT EMEL:
NOMBOR KAD PENGENALAN:
TARIKH LAHIR:
TEMPAT LAHIR:
JANTINA: LELAKI
PEREMPUAN
STATUS PERKAHWINAN: BERKAHWIN
BERCERAI
BUJANG
ALAMAT BLOG/LAMAN WEB (JIKA ADA):
AKADEMIK:
BIDANG PENULISAN:
KARYA YANG PERNAH DITERBITKAN:

Put a website form like this on your site.

Saturday, July 3, 2010

Suka duka sebagai Heiho tentera Jepun



Judul : Memoir Dato' Shaharudin Abdul Rahman, Kembara Panjang di Irian Jaya
Penulis : Zabidin Hj Ismail
Penerbit : Karisma Publications Sdn. Bhd.
Tebal : 145
Pengulas : NORAINI ABDUL RAZAK

Menulis pengalaman sendiri memang mudah. Ini kerana kita mampu mengingat, merasa dan menterjemahkan pengalaman yang dilalui dalam bentuk tulisan.

Tetapi bagaimana pula jika kita diminta menulis pengalaman orang lain? Jawapannya tentu tidak mudah. Kalaupun kita mampu berbuat demikian, ia mungkin tidak seratus peratus sama dengan jalan cerita orang yang melalui sendiri pengalaman tersebut.

Itulah kesukaran yang dirasakan oleh Zabidin Ismail apabila diminta oleh Datuk Shaharudin Abdul Rahman untuk menulis perjalanan sejarah beliau ketika menjadi sukarelawan (Heiho) tentera Jepun. Sebagai pencerita, penulis perlu berhadapan dengan satu lagi cabaran iaitu berusaha untuk tidak menokok tambah fakta sedia ada.

Walaupun nama Shaharudin tidak segah pemimpin negara, ahli politik atau pejuang kemerdekaan tanah air tetapi tidak bermakna pengalaman beliau tidak boleh diabadikan dalam bentuk memoir.

Ini kerana segala suka duka dan perit getir yang dilalui oleh Shaharudin mempunyai nilai serta kepentingan yang tersendiri terutama untuk penilaian generasi muda.

Nama Shaharudin mungkin tidak dikenali oleh banyak orang tetapi beliau mempunyai catatan sejarah yang tersendiri sehingga melayakkan memoir ini ditulis.

Malah ketika menatap memoir ini untuk diulas, ada rakan-rakan yang bertanya siapa dia Shaharudin. Justeru untuk mengetahui siapa Shaharudin dan apakah istimewanya perjalanan hidup beliau, memoir ini harus dijelajah dan diteroka.

Menggunakan pendekatan autobiografi, penulis memulakan memoir ini dengan menyorot sejarah ringkas Perang Dunia Kedua yang sebenarnya merupakan latar belakang utama memoir ini.

Penulis dengan berhati-hati memperkenalkan watak Shaharudin, seorang anak muda berjiwa kental yang sanggup meninggalkan kampung halaman semata-mata untuk menjadi Heiho.

Dengan menggunakan bahasa yang ringkas tetapi menarik, perjalanan hidup Shaharudin yang bermula di Lubuk Merbau disusuri oleh penulis sambil menggaulkannya dengan penampilan bangsa Jepun di situ.

Setelah diterima menjadi Heiho, perit getir Shaharudin yang ketika itu berusia 16 tahun memulakan perjalanan ke Sarong, Papua New Guinea diperihalkan satu persatu.

Segala-galanya bermula daripada sekeping gambar separuh poskad Putera Akiheto. Gambar anakanda Maharaja Jepun pada tahun 1942 yang dihadiahkan oleh seorang tukang gambar bernama Suzuki di Kuala Kangsar, Perak telah melakar dan mewarnai sejarah hidup Shaharudin.

Jika bukan kerana gambar itu pastinya terlalu sukar pengalaman sedemikian rupa dapat diperoleh apatah lagi membawanya ke dunia perantauan mengenali pulau-pulau dara di Kepulauan Rempah seperti Maluku, Papua New Guinea (Irian Jaya), Celebes, Bali, Ambon, serta pulau-pulau kecil yang bertaburan di rantau ini.

Rentetan peristiwa yang dilakarkan ini adalah kisah benar yang dialami sendiri oleh Shaharudin dan rakan-rakan Heiho bagi mengotakan misi misteri tentera Jepun yang berhasrat untuk menakluk Australia melalui Sarong - sebuah tanjung terpencil di Papua New Guinea.

Kegetiran dan kesukaran beliau mengharungi dugaan dan cabaran ini dapat digambarkan menerusi 28 kisah yang sekali gus mempamerkan watak protagonis yang cekal, berdisiplin, tabah serta berkarismatik meskipun pada usia belasan tahun.

Pembaca pasti terbawa-bawa dengan kepiluan dan kegusaran Shaharudin apabila terpaksa berhadapan dengan suasana perang yang pada bila-bila masa boleh mengorbankan nyawanya. Pengalaman Shaharudin beberapa kali menyaksikan kematian rakan-rakannya yang kemudian dikuburkan di lautan juga amat berharga.

Sebuah memoir yang ringkas tetapi sarat dengan pengajaran yang perlu ditimba oleh generasi muda. Ia juga mampu memberi penjelasan bahawa Heiho bukan buruh paksa sebaliknya dengan rela hati menjadi sukarelawan tentera Jepun bagi mencapai seruan Asia untuk Asia dan sebagai bibit untuk mencapai kemerdekaan.

Setelah membaca buku ini, kita pasti mendapat jawapan kepada beberapa persoalan yang menghantui benak Shaharudin sendiri ketika melayari jalan pulang ke Singapura.

Shaharudin bertanya, adakah pengorbanan beliau dan rakan-rakannya meninggalkan kampung halaman dan terpaksa berhadapan dengan maut adalah untuk agama, negara atau bangsa?

Adakah kematian lebih 1,200 Heiho semata-mata untuk merealisasikan hasrat Jepun menakluk Australia juga boleh dikategorikan sebagai pengorbanan?

Utusan Malaysia:05/04/2004

Karya penulis Perak dibukukan

KELAHIRAN antologi Khazanah Karyawan Pk yang dilancarkan sempena Pertemuan Penulis Perak baru-baru ini, semakin menghangatkan kegiatan sastera, bahasa dan kesenian di negeri itu.

Sejak 10 tahun penubuhannya (15 Februari 1992), Karyawan Perak (Karyawan Pk) telah melahirkan ramai ahli akademik (khususnya dalam bidang kesusasteraan dan kesenian), novelis dan cerpenis yang disegani di negara ini.

Kini, Ahli-ahli Karyawan Pk sebahagian besarnya dianggotai oleh penulis muda yang mendapat pendidikan formal dari menara gading. Karya yang dihasilkan pula memperlihatkan unsur-unsur eksperimental yang begitu baik.

Persatuan ini ditubuhkan antara lain bertujuan untuk menggabungkan para penulis daripada pelbagai genre seluruh Perak di samping menjaga kepentingan aktiviti sastera, bahasa serta kesenian di peringkat negeri.

Selain itu, Karyawan Pk juga bertujuan untuk menyediakan ruang yang lebih luas kepada penulis muda di negeri ini, terutamanya generasi muda berhadapan dengan dunia sastera yang lebih besar.

Khazanah Karyawan Pk yang diterbitkan ini memuatkan karya-karya yang merangkumi genre puisi, cerpen, fragmen novel, skrip (telefilem dan drama pentas), esei kritikan sastera dan catatan kembara.

Genre puisi memuatkan 56 puisi oleh penyair muda dan veteran Perak. Antaranya Al-Hisham, Aminah Abdul Malik, Ariff Mohammad, Chai Loon Guan, DJ Dolasoh, Che Su Deraman, Wahid Kasran dan M. Salleh Mahayat.

Hanya tiga cerpen sahaja yang dimuatkan dalam antologi ini iaitu karya Mohd. Rashidi Yusuf (Seorang Tua di Tepi Suak), Ramli Daud (Gema Warisan) dan Sabariah Bahari (Cinta di Hujung Senja).

Fragmen Novel pula menampilkan sedutan daripada novel Tengku Puteri karya Talib Samat. Bagi skrip telefilem, drama pentas dan drama radio pula ia memuatkan naskhah Batas Runcing Nun Destinasi (Ariff Mohamad), Ngede-ngede (Jamaludin Ahmed), Biduk Lalu Kiambang Bertaup (Noriah Mohd. Shariff) dan Bila Hati Telah Retak (Zainab Ngah).

Turut dimuatkan ialah esei/kritikan sastera oleh DJ Dolasoh, Prof. Madya Muhd. Bukhari Lubis, Talib Samat dan Zabidin Ismail.

Catatan Perjalanan oleh Hanifah Ibrahim dan Acheh-Serambi Mekah tulisan Zabidin Ismail.

Di samping itu, turut dimuatkan lapan mutiara kata yang bertemakan kehidupan dan ketuhanan oleh Al-Hisham.

Secara umumnya antologi ini merupakan rentetan perkembangan bidang penulisan oleh para penulis Perak yang bernaung di bawah persatuan ini sejak 1992. Ia memaparkan sedikit kelainan dengan menyuguhkan karya-karya yang tidak pernah diterbitkan.

Friday, July 2, 2010

1,000 puisi 50 tahun merdeka


PERSATUAN Karyawan Perak (Karyawan Pk) antara persatuan penulis yang aktif di Perak dalam menggerakkan pelbagai kegiatan kesusasteraan dan kesenian. Ia ditubuhkan pada 15 Februari 1992 dan diperakui oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan Sijil Pendaftaran 3552/93(Perak).

Sejarah penubuhan Karyawan Pk diasaskan beberapa orang penulis Perak seperti Zabidin Ismail, Mokhtar Mansor, Abu Bakar Al-Sidik dan lainnya untuk menyatukan kegiatan penulis dan kesusasteraan di Perak yang luas kedudukan geografinya. Hal ini memungkinkan tumbuhnya pelbagai persatuan penulis di Perak yang mempunyai tujuan penubuhannya yang tersendiri.

Dalam menggerakkan aktiviti pengembangan dan pembangunan sastera, Karyawan Pk menubuhkan beberapa sudut sebagai jentera pelaksana program / aktiviti seperti Sudut Kuala Kangsar, Tanjong Malim, Gerik, Lenggong, Teluk Intan, Sungkai, Taiping, Parit dan sebagainya.

Sepanjang sejarah penubuhannya, Karyawan Pk mengadakan pelbagai aktiviti sastera dan penerbitan di antaranya termasuklah menerbitkan majalah berkala seperti Suara Karyawan Pk. Badan penulis ini juga menerbitkan buku Ridzuan 1 (1994), Menara Condong (1994), Suratan (2000), Danau Hati (2000), Khazanah Karyawan Pk (2001), Istana Kasih ( 2002- renungan puitis tentang cinta dan perkahwinan) dan sedang berusaha menggerakkan penerbitan antologi puisi Istana Kasih II sempena perkahwinan salah seorang ahlinya tidak lama lagi. Kesemua penerbitan tersebut tergolong dalam Projek Siri Penerbitan Karyawan Pk atau PINTAR.

Selain itu Karyawan Pk juga mengadakan sesi motivasi sastera dengan mengundang tokoh-tokoh penulis ibu kota seperti Jaafar Abdul Rahim, Datuk Baha Zain, Allahyarham Dino SS dan seumpamanya berceramah di kalangan ahli-ahli Karyawan Pk. Sesi ini digerakkan dengan kerjasama Pena dan Utusan Melayu.

Selain daripada itu pada tahun 1994, Karyawan Pk mengadakan beberapa acara penting iaitu Malam Puisi Menara Condong di hadapan Medan Selera Teluk Intan pada malam 10 Disember 1994 dan Majlis Gebang Sastera pada 11 Disember 1994 di Kompleks Sejarah Pasir Salak yang menampilkan dua orang pembicara iaitu penyair Ahmad Sarju dan Sabar Bohari menceritakan suka duka, proses kreatif dan pengalaman mereka dalam berkarya untuk dikongsi bersama oleh penulis-penulis muda dan penulis lain untuk merangsang minat mereka berkarya.

Di samping itu, Karyawan Pk menganjurkan Majlis Gebang Sastera ke-7 di Lata Bongsu, Sungkai, Perak untuk mengadakan sesi dialog dan pembentangan kertas kerja daripada beberapa tokoh penulis seperti Zabidin Ismail, Dr. Mohd. Rosli Saludin, Dr. Talib Samat tentang penghasilan pelbagai jenis karya. Hal ini juga mempopularkan tempat tersebut sebagai destinasi pelancongan dalam negeri. Beberapa orang pelukis kartun dan komik juga mempamerkan karya mereka pada pertemuan di Lata Bongsu, Sungkai, Perak pada 17 Oktober 1999.

Karyawan Pk terus aktif menganjurkan majlis sastera dan pertemuan penulis Perak di Safari Resort, Kuala Kangsar, Perak pada 4 Februari 2002 yang melibatkan pembentangan kertas kerja Allahyarham Dr. Othman Puteh, Mohamad Daud Mohamad dan sebagainya yang mengupas karya penulis-penulis Perak.

Acara baca puisi yang melibatkan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Suhaimi Muhammad, dan sebagainya diadakan pada sebelah malamnya.

Di samping itu sumbangan terpenting Karyawan Pk ialah bekerjasama dengan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI dan pihak lainnya menganjurkan Seminar Memartabatkan Tengku Menteri Ngah Ibrahim(1836-1895) pada 27 Ogos 2005. Seminar ini menampilkan 17 buah kertas kerja daripada para intelektual, sarjana sastera dan sejarah yang mengupas ketokohan dan sumbangan bersejarah Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Long Jaafar dalam membangunkan daerah Matang, Larut dan Bukit Gantang. Seminar ini diadakan di Kompleks Sejarah Matang, Taiping, Perak.

Seminar Memartabatkan Tengku Menteri Ngah Ibrahim ini juga menghasilkan resolusi penting iaitu jenazah dan pusara Tengku Menteri Ngah Ibrahim sewajarnya disemadikan di halaman rumahnya sendiri di Kompleks Sejarah

Matang (dulunya Kota Ngah Ibrahim) bila usaha membawa jenazahnya berjaya dibawa pulang ke Perak selepas 111 tahun terpendam di Perkuburan Al-Junid, Singapura. Seperti yang dirumuskan dalam resolusi itu, jenazah Allahyarham Tengku Menteri Ngah Ibrahim disemadikan di situ pada 9 September 2006.

Begitu juga Karyawan Pk menawarkan kerjasama aktif bersama Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa,UPSI untuk mengadakan Seminar Antarabangsa Memartabatkan Tengku Menteri Ngah Ibrahim(1836-1895) pada 31 Mac 2007 di Auditorium Utama,UPSI, Tanjong Malim, Perak.

Tradisi menghargai golongan intelektual dan pemikir yang terpinggir tetapi memberi makna yang besar dalam bidang kesusasteraan dan penulisan terus digerak dan diperkasakan oleh Karyawan Pk. Hal ini ketara dengan penganjuran Seminar Pemikiran Jaafar Abdul Rahim pada 22 Julai 2006 di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur sempena persaraan tokoh itu dari DBP.

Begitu juga Karyawan Pk mendepani dan melibatkan secara aktif usaha mengadakan majlis pelancaran buku antologi puisi Sahabat Sejati: 200 Puisi Tentang Jaafar Abdul Rahim pada 29 November 2006 di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau, Perak dalam usaha memasyarakatkan sastera di kampung kelahiran Jaafar Abdul Rahim.

Kemudian, usaha menghargai perjuangan kaum penulis di Perak khususnya yang menjadi ahli badan itu, pelbagai usaha sedang digerakkan untuk menerbitkan antologi cerpen, puisi, biografi ahli jawatankuasa Karyawan Pk secara kaedah print on demand (cetak ikut permintaan). Penulis terawal untuk projek ini ialah kumpulan cerpen Perlanggaran Mimpi karya Ramli Daud, seorang penulis peneroka di Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak yang sudah berusia lebih 71 tahun dan diharap dalam usianya yang sudah di peringkat penghujung dapat segera diterbitkan.

Sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia, Karyawan Pk merancang dan menggerakkan usaha menerbitkan antologi puisi Suara Kita yang menghimpunkan 1,000 buah puisi tentang kemerdekaan Malaysia yang ditinjau daripada pelbagai aspek sama ada aspek ekonomi, politik, sosial, agama dan sebagainya yang boleh difikirkan untuk menyatakan suara hati nurani masing-masing tentang Malaysia dan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi selama 50 tahun ini.

Ketua Satunya, Zabidin Ismail mempelawa dan mengundang seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira status sosial, fahaman atau aliran politik, latar kehidupan dan sebagainya untuk menghasilkan sebuah puisi seorang tentang apa sahaja mengenai Malaysia dan kisah suka duka, kejayaan, pencapaian dan sebagainya yang diucapkan menerusi puisi moden atau sajak untuk dimuatkan ke dalam antologi puisi Suara Kita.

Beliau menambah, semua lapisan dan golongan masyarakat Malaysia daripada pemimpin negara, pemimpin peringkat negeri, wakil rakyat sama ada berjawatan dalam kerajaan atau tidak, rakyat jelata sama ada golongan seniman / artis, mahasiswa / pelajar, penoreh getah, peneroka Felda, masyarakat desa, golongan korporat, swasta, nelayan, pekebun kecil, pekerja kilang, editor buku atau majalah, wartawan, drebar bas, jurutera, doktor, jururawat, guru, ahli sukan, saintis, penyair, polis, pegawai kerajaan /swasta, tentera, polis dan sebagainya dipelawa untuk menulis puisi-puisi tentang 50 tahun kemerdekaan Malaysia.

Menurut Zabidin, Karyawan Pk hanya bertindak selaku penggerak dan penyelenggara Suara Kita. Ertinya kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin, sensitif dan peka dengan perkembangan 50 tahun kemerdekaan Malaysia dan pembangunannya dalam pelbagai aspek wajar menyahut seruan ini. Beliau menamakan Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis (013-4245767), Dr. Talib Samat (012-2269740), Dr.Wahid Kasran (012-2836126), Onn Abdullah (016-53608

64) dan Mohd. Hashim Osman (019-54898

52) bertanggungjawab menyelenggarkan projek mega tersebut seperti yang telah diputuskan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa baru-baru ini.

Tarikh akhir menghantar puisi kepada penganjur ialah pada 13 Mei 2007. Puisi-puisi boleh dihantar secara pos kepada Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) 51, Wisma Johari, Lengkok Kledang Raya, Taman Kledang Raya, 30100 Ipoh, Perak atau melalui e-mel berikut; karyawanpk@

yahoo.com / talib590@hotmail.com / zabi

dinismail@yahoo.com serta layari laman

webnya; www.karyawanpk.org untuk mendapatkan borang pengenalan penyumbang puisi.

Sementara itu, Zabidin berharap akan tampil syarikat multinasional, badan korporat, agensi ternama dan tersohor serta para anggota masyarakat sama ada sektor awam, swasta, kerajaan dan sebagainya sudi menaja penerbitan antologi puisi Suara Kita demi menambah khazanah dokumentasi rakaman isi hati warga Malaysia terhadap kemerdekaan tanah airnya. Antologi ini tidak akan dipasarkan sebaliknya dijadikan teks bacaan atau deklamasi puisi dalam majlis-majlis sambutan Jubli Emas 50 tahun kemerdekaan negara oleh mana-mana pihak yang memerlukannya. Buku ini juga akan dirakamkan dalam The Malaysia Book of Records kerana berjaya menghimpunkan seribu puisi yang hanya mempunyai satu tema iaitu tentang Malaysia yang ditulis pelbagai lapisan rakyat daripada Perdana Menteri hinggalah penoreh getah.

Begitupun, Karyawan Pk bercadang mencetak hanya sebanyak 2,000 naskhah untuk para penyumbang dan selebihnya diedarkan kepada perpustakaan dengan anggaran kos melebihi RM50,000. Justeru pembiayaan kos penerbitan akan ditanggung oleh penyumbang dana yang boleh menyalurkan sumbangan atas nama PERSATUAN KARYAWAN PERAK di alamat seperti di atas atau melalui transaksi bank ke nombor akaun 08040002325711 Bank Muamalat.

Para sektor korporat, awam mahupun kerajaan yang prihatin dan berasa terpanggil dengan nikmat 50 tahun kemerdekaan selama ini dalam pelbagai aspek hidup dengan pelbagai keuntungan diperoleh wajar membiayai penerbitan antologi puisi ini yang merakamkan suka duka dan asam garam kehidupan selama ini di sebuah negara bernama Malaysia yang sangat kita cintai. Penerbitan antologi puisi ini adalah rakaman jujur, ikhlas, seni dan berterus terang tentang nikmat kemerdekaan.

Setiap penyumbang karya akan diberi senaskhah Suara Kita sebagai penghargaan abadi dan tiada royalti sebagai sumbangan terhadap suara hati nurani mengenai bumi Malaysia dan rakyatnya yang berbilang etnik. Jika tiada aral yang melintang, majlis pelancaran antologi puisi ini akan diadakan sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia. Oleh itu setiap penulis atau penyair atau rakyat Malaysia harus menjadikan projek penulisan puisi ini sebagai projek bersama dan Karyawan Pk hanya bertindak secara sukarela sebagai tenaga penggerak semata-mata untuk merakamkan isi hati dan penghargaan rakyat Malaysia terhadap pencapaian watan yang kita cintai dan rakaman rasa terhutang budi kepada negara.

Sesungguhnya usaha menggerakkan projek penulisan 1,000 buah puisi tentang nikmat kemerdekaan selama 50 tahun ini sebagai bukti keseriusan dan kesungguhan Karyawan Pk yang begitu prihatin dengan ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Hal ini sejajar dengan saranan dan gesaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan baru-baru ini; agar perayaan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia disambut dengan sebesar-besarnya dan semeriah-meriah mungkin. Justeru kemunculan SuaraAdd Image Kita oleh Karyawan Pk adalah salah satu usaha serius, puitis dan bersejarah untuk kepentingan negara daripada aspek kesusasteraan yang merupakan jiwa dan roh sesuatu bangsa itu.

Artikel ini pertama kali disiarkan dlm. Mingguan Malaysia (4.3.2007)

Wednesday, June 23, 2010

Malam Genta Puisi meriah di Ipoh

Zainol Fadzi Paharudin


MALAM Genta Puisi dan Lagu yang diadakan di Auditorium Taman Budaya Perak di sini baru-baru ini berlangsung dalam suasana meriah.

Ia dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Jabatan Pelajaran Perak dan Persatuan Persebudaya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati, Kuala Kangsar dengan disertai lebih 200 peminat seni sastera di negeri ini.

Hj Zabidin

Kemeriahan suasana Malam Genta Puisi dan Lagu itu disemarakkan oleh deklamasi yang bersemangat dan bertenaga oleh pada pendeklamasi yang mengambil bahagian.

Johan Sayembara Puisi Kebangsaan 2009, Che Nu Alinar Mohamad dari Kuala Kangsar tampil pembuka tirai dengan sajak Gempita Satu Malaysia, karya A. Hamid. Karya itu mengajak rakyat bersatu dalam sebuah negara yang berbilang kaum.

Setiausaha Majlis Daerah Lenggong (MDL), Nor Akmal Yang Ghazali muncul dengan sajak Syair Gong Pecah, karya Adibah Amin. Sajak itu mengetengahkan kedaulatan negara ini perlu dipertahankan dan bersama-samalah menjaga perpaduan bangsa dan negara.

Penyair tidak asing negara yang juga penerima Anugerah SEA 2008, Dr. Zurinah Hassan memecahkan keheningan malam dengan gurindam Gurindam Pemimpin dan syair Sayangi Anak. Kedua-dua puisi itu yang jelas ditujukan kepada pemimpin dan anak-anak.

Jabatan Pelajaran Perak, mengetengahkan pemuisi Ahmad Khairi Che yang muncul dengan imej bersongkat dan berbaju melayu dengan aksi yang spontan menyampaikan sajak Membina Malaysia Nan Satu. Sajak itu jelas mengajak kita menilai semangat jati diri yang ada dan mengutamakan budaya bangsa dalam kehidupan.

Sumbangan penyair guru dalam sajak tidak dinafikan apabila Pengetua SMK Temenggong Kati, Zalihah Mat Harun muncul dengan sajak Munajat Perkasihan karya Samsuddin Othman.

Penyanyi veteran tanah air, Uji Rashid tampil dengan sajak Bisikan Hati karya Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob. Dia turut bergandingan dengan anaknya Cico menyampaikan lagu puisi Gadis Di Kuburan karya Allahyarham Usman Awang.

Penyanyi AF4, Haziq muncul untuk terus menghangatkan kemeriahan malam dengan mendendangkan empat buah lagu irama Malaysia antaranya Ku Mohon Kasih dan Zapin Solo yang membuatkanpeminat seni tidak berganjak dari tempat duduk mereka.

Pegawai Polis Asisten Supritendan, Foo Chee Seong dengan sajak Pesona Murni karya Mustafa Siraj yang mengingatkan generasi muda terhadap perpaduan yang menjadi tunjang kepada keutuhan negara ini.

Pengarah JKKN Perak, Abdul Mutalib Abdul Rahman pula tampil dengan mendeklamasi sajak pendek karya Redzuan Salleh bertajuk Terima Kasih Kemerdekaan.

Tidak melepaskan ruang, Pengarah DBP Wilayah Utara, Abdul Nasir Mohd. Razali dengan sajak Debu dan Dendam Api karya Datuk Baha Zain.

Jemputan khas DBPWU, Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk], Hj. Zabidin Hj. Ismail turut mendeklamasikan puisi bertajuk Kita Serupa. Beliau yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Perak adalah seorang penyair dan mula menulis sejak pertengahan 1970-an telah menghasilkan lebih 200 sajak yang tersiar di media cetak serta kumpulan puisi. Sajak Kita Serupa memenangi hadiah Pertandingan Menulis Puisi Perpaduan pada tahun 1995 dan dimuatkan dalam antologi Pelangi Keakraban terbitan Jabatan Perpaduan Negara

Exco Kebudayaan, Kesenian, Belia Dan Sukan Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin terpanggil menutup gelanggang dengan mendeklamasi sajak karya Suriati bertajuk Memori Keagungan Nusa dan lagu puisi Mawar Putih.

Menutup gelanggang malam itu khalayak dihiburkan dengan persembahan tarian oleh Kelab Tunas Budaya.

Tuesday, June 1, 2010

Meneroka pemikiran Suhaimi Hj Muhammad dan Malim Ghozali PK




MUTIARA pemikiran dua orang tokoh sasterawan kelahiran Perak iaitu Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk akan dikupas dalam 22 buah kertas kerja oleh sarjana dalam dan luar negara pada Seminar Antarabangsa Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk. Seminar itu akan diadakan pada 5 dan 6 Mac depan di Dewan Sri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Seminar anjuran Persatuan Karyawan Perak diadakan dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI dan Persatuan Suluh Budiman (BUDIMAN) ini diadakan dengan beberapa objektif tertentu.

Antaranya memperkatakan karya-karya Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk menggunakan pelbagai pendekatan dan teori kesusasteraan, memperkenalkan kedua-dua sasterawan kelahiran Perak kepada para pelajar, pengkaji dan masyarakat sastera di UPSI , seluruh Malaysia dan dunia, memartabatkan semula ketokohan kedua-dua orang sasterawan ini dan menghargainya semasa mereka masih hidup.

Selain itu untuk memotivasikan para pelajar sastera dan bukan sastera UPSI supaya berkarya seperti Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk. Ini kerana karya-karya mereka sentiasa menjadi bahan kajian latihan ilmiah kepada para pelajar universiti di negara ini.

Seminar ini juga diharap dapat memantapkan persiapan pencalonan Fakulti Bahasa UPSI agar Suhaimi Haji Muhammad dikurniakan anugerah berupa Ijazah Kehormat Doktor Persuratan UPSI pada tahun ini dan seterusnya dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-11.

Dipinggirkan

Di samping itu objektifnya ialah Malim Ghozali Pk dicalonkan untuk menerima S.E.A Write Award oleh kerajaan Thailand. Seminar yang bertemakan "Memperkasakan Ketokohan Sasterawan Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk" yang selama ini agak dipinggirkan oleh masyarakat sastera di negara ini.

Seminar hari pertama memfokuskan perbincangan tentang pemikiran Suhaimi Haji Muhammad. Antara kertas kerja seminar hari pertama ialah Proses Kreatif dan Mengapa Saya Mengarang (Suhaimi Haji Muhammad), Perbincangan Biografi Suhaimi Haji Muhammad (Zabidin Ismail), Sumbangan Suhaimi Haji Muhammad Dalam Bidang Penulisan Cerpen Fokus Kumpulan Cerpen Kota Kenangan (Dr. Talib Samat), Kritikan Drama Bulan Jingga Karya Suhaimi Haji Muhammad (Dr. Ani Omar, UPSI), Kritikan Semiotik Terhadap Karya Terpilih Suhaimi Haji Muhammad (Mohamad Shahidan, DBP), Perbincangan Buku Kritikan Dilema Kesusasteraan Melayu Moden Karya Suhaimi Haji Muhammad (Jaafar Abdul Rahim), Perbincangan Kumpulan Puisi Sufi Mutakhir Suhaimi Haji Muhammad (Malim Ghozali Pk), Perbincangan Kumpulan Puisi Apabila Malam Semakin Malam Karya Suhaimi Haji Muhammad (Prof.Madya Datuk Dr.Mohd.Rosli Saludin), Perbandingan Karya Suhaimi Haji Muhammad Dengan Penyair lndonesia (Mohamad Daud Mohamad, DBP), Perbincangan Puisi-Puisi Suhaimi Haji Muhammad Yang Termuat Dalam Kumpulan Puisi Song 0f The Pelican (Dr.Haji Abdul Ghani Abu, Dekan,Fakulti Bahasa, UPSI) dan Pentafsiran Puisi Suhaimi Haji Muhammad Yang Termuat Dalam Kumpulan Puisi Taman Takwa Berasaskan Teori 4 SPBL (Abdul Halim Ali, UPSI).

Memperdebatkan

Manakala seminar pada hari kedua memperdebatkan perbincangan terhadap karya-karya Malim Ghozali Pk. Antara kertas kerja yang ditampilkan termasuklah Proses Kreatif Karya Terpilih dan Mengapa Saya Menulis Karya Kreatif (Malim Ghozali Pk), Kritikan Terhadap Novel Janji Paramaribo Karya Malim Ghozali Pk (Prof.Dr.Budi Darma, Universiti Nasional, Surabaya, lndonesia), Penilaian Kritis Terhadap Buku Kesempurnaan Mutlak Karya Malim Ghozali Pk (Dr.Muhammad Uthman El-Muhammaddy,ISTAC), Penelitian Novel Daun Karya Malim Ghozali Pk Berasaskan Teori Teksdealisme (Prof. Madya Abdul Rahman Napiah, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura) dan Penelitian Novel Redang Karya Malim Ghozali Pk (Dr.Mohd.Hanafi Ibrahim, DBP).

Seminar hari kedua itu juga memfokuskan kertas kerja Pemikiran dan Isu-isu Kemanusiaan Dalam Kumpulan Cerpen Usia Senja Karya Malim Ghozali Pk (UPSI), Perbincangan dua kumpulan puisi karya Malim Ghozali Pk Iaitu Gema Ruang dan Hujan Di Limun Pagi (Haji Abdul Rahim Abdullah, Aswara), Perbincangan Budaya Hidup Komuniti Melayu Jawa di Surinam, Amerika Latin Dalam Novel Janji Paramaribo Karya Malim Ghozali Pk Dengan Komuniti Melayu Republik Seychelles di Lautan Hindi (Dr.Talib Samat,UPSI) , Pemikiran dan Isu-isu Kemanusiaan Dalam Kumpulan Cerpen Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir! Karya Malim Ghozali Pk (Prof.Dr. Zakaria Ali, Fakulti Seni,UPSI) dan sebagainya.

Seminar sastera yang agak besar di negeri Perak ini akan diserikan lagi dengan Malam Gema Puisi UPSI pada pukul 8 malam 6 Mac di Dewan Auditorium Utama, UPSI yang akan menampilkan lebih 20 orang penyair yang memperdalamkan rasa kemanusiaan terhadap alam sekitar dan kehidupan di mayapada ini.

Seminar ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.Kadir.

Antara buku yang akan dilancarkan ialah kumpulan puisi Apabila Malam Semakin Malam (karya Suhaimi Haji Muhammad), kumpulan puisi Merindu Alam (karya Ihsan Noorzali, DBP), Naratologi Shahnon Ahmad (karya Talib Samat,DBP,2010), Kenali Tokoh Berjasa Jilid 1 (karya Talib Samat, Pekan Ilmu Publications), Perjuangan Mengantarabangsakan Tengku Menteri Ngah Ibrahim (selenggaraan Talib Samat, Yayasan Perak) dan Pemikiran Politik Dalam Novel Ahmad Boestamam (Zabidin Ismail Penerbit Universiti Malaya).

Monday, May 31, 2010

Pemikiran tokoh sasterawan Ahmad Boestamam


Ulasan oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

Mungkin ramai tidak mengenali siapa Abdullah Sani Raja Kechil yang lahir kira-kira 90 tahun dahulu di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Namun, jika disebut Ahmad Boestamam maka kebanyakan kita pasti tahu siap sebenarnya tokoh itu.

Ahmad Boestamam adalah nama ciptaannya yang tersohor serta cukup sinonim dengan sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air, apatah lagi di bidang kesusasteraan Melayu moden.

Boestamam, seperti diketahui umum merupakan seorang tokoh politik berhaluan kiri yang radikal di negara ini kerana penglibatan aktifnya dalam kancah perjuangan politik tanah air pada zaman pra dan pasca merdeka.

Tokoh sasterawan ini menjadikan novel sebagai medium bagi menonjolkan fahaman dan cita-cita politiknya ketika itu.

Untuk melihat pemikiran politik tokoh ini, pengarang buku, Zabidin Haji Ismail menganalisis 10 buah novel hasil karya Boestamam dari tahun 1956 hingga 1969.

Karya itu adalah Gelap Menjelang Terang (1956), Kabus Pagi (1958), Pacar Merah Melaya (1959), Lorong Seribu Liku (1964), Garis Hitam Membelah Langit (1966), Konfrantasi (1967), Sorong Makan Tarik Makan (1967), Ali Sastro (1968), Malam Tiada Bintang (1968) dan Rumah Kaca Digegar Gempa (1969).

Teks novel itu dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh pada zamannya.

Melalui pengalaman dan penglibatan dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel-novel tulisannya.

Menurut pengarang, penampilan pemikiran politik itu mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme.

Ketiga-tiga aspek itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel-novelnya.

Pengarang mendapati tokoh itu lebih tertarik membela masyarakat miskin kerana golongan elit dan bangsawan dikatakan menggunakan kedudukan, pendidikan serta status- quo mereka untuk berkompromi dengan Inggeris dari segi mendapatkan kemerdekaan walaupun penjajah itu sendiri bertekad untuk terus menjajah negara ini.

Justeru, beliau berjuang membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan dan menentang Inggeris mahupun Jepun melalui tiga bidang iaitu politik, kewartawanan dan penulisan sastera.

Buku setebal 148 ini dibahagikan kepada enam bab dengan bab pertama mengandungi biografi tokoh itu. Bab ini mengisahkan sejarah kelahiran dan latar belakang pendidikan, penglibatan dalam dunia kewartawanan dan politik serta sebagai nasionalis Melayu pada zamannya.

Ketika berkhidmat dengan Utusan Melayu Singapura (1941) semangat untuk berpolitik kian berkembang kerana dorongan Ishak Muhamad (Pak Sako) yang juga wartawan di syarikat itu.

Dalam bab dua, pengarang cuba merungkai hubung kait Ahmad Boestamam dengan pemikiran politik yang digarap dalam novel-novelnya.

Pemikiran politik tokoh itu dari aspek nasionalisme dibincangkan dalam bab tiga termasuk semangat nasionalisme dalam konteks perjuangan politik tanah air orang-orang Melayu.

Menariknya, Ahmad Boestamam menyanggah nasionalisme yang berasaskan bangsa kerana berkeyakinan bahawa kewujudan sebuah negara bangsa Malaya adalah berasaskan kesepaduan bangsa pelbagai ras.

Dalam bab empat, pengarang mendapati tokoh itu mempunyai bakat dan kepakaran dalam melahirkan mesej antikolonialisme dengan cara memanipulasikan karya sastera terutamanya genre novel dalam menyalurkan pemikiran politik kepada masyarakat.

Beliau menggunakan teknik penulisan bersifat propaganda, metafora, provokatif dan jelmaan watak pengarang terhadap penjajah Inggeris manakala bersifat keras, lembut dan provokatif kepada Jepun.

Dalam bab berikut, pengarang membincangkan aspek sosialisme yang menjadi fahaman politik Ahmad Boestamam dalam menawarkan satu bentuk pemikiran sosiopolitik pilihan kepada negara khususnya semasa kancah kolonial dan awal pasca merdeka.

Menurut pengarang, mesej sosialisme yang diketengahkan itu menggunakan cara informatif dan komprehensif sifatnya sehingga menghilangkan nilai-nilai estetika yang sepatutnya dititikberatkan dalam sebarang penciptaan karya cereka seperti novel.

Namun, pengarang berpendapat cara itu terpaksa digunakan kerana untuk menimbulkan impak kepada pembaca supaya mereka dapat mengetahui senario sosiopolitik pada waktu itu sebelum memahami mesej sosialisme yang disampaikan.

Karya ini wajar menjadi bahan bacaan dan rujukan masyarakat yang ingin mendalami ilmu mengenai pemikiran politik Ahmad Boestamam dalam genre novel.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai buku ini, layari laman web Penerbit Universiti Malaya di http://umpress.um.edu.my.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

(sumber: Utusan Malaysia 31 Mei 2010)

Monday, May 17, 2010

Timoh Tasik Kenangan


Buku terkini terbitan Karyawan Pk yang bakal dilancarkan pada 14 Jun 2010 sempena perayaan Jubli Perak seratus tahun SK Temoh (1907-2007). Buku ini adalah kumpulan puisi bertemakan TEMOH, sebuah pekan kecil yang bersejarah; lokasi pertemuan Tokoh Penglipur Lara Melayu, Pawang Ana dengan orientalis Barat bernama R.O Winstedt pada tahun 1903 sekaligus terakamnya cerita mitos kesusasteraan Melayu kuno iaitu Anggun Cik Tunggal, Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Malim Deman. Dirgahayu Timoh!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Karya terkini

Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad Boestamam

Author : Zabidin Haji Ismail
ISBN : 978-983-100-439-5
Year Publish : 2010
Page Number : 160
Category : General


Price: RM 35.00

add to cart

Content

Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel.
Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik.