

oleh Ishak Mohamad
Pertemuan ini berakhir lebih kurang jam 6.30 petang, namun darinya bercambah selingkar fikir yang tiada hentinya.

Sinopsis Kertas Kerja;
Kajian Alam Bunian dan Jin ini melihat apa yang jelas ada dalam Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ). Banyak terdapat cerita-cerita yang menarik dalam siri tersebut dan cerita tersebut banyak dalam bentuk pemaparan yang boleh menarik minat pembaca. Pembaca yang tidak ada asas agama dan budaya yang kukuh akan jadi keliru.
Pengkaji juga ingin mengkaji sebaik mungkin dengan menggunakan teori agama dan budaya supaya masyarakat boleh memahaminya secara ilmiah dan bukannya berpersepsi dan berprasangka sahaja. Kajian ini bukan untuk menafikan kebenaran yang diceritakan oleh penulis. Pengkaji cuma ingin merasionalkan masyarakat supaya sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan tidak berpaksikan kepada cerita-cerita lisan dan dunia khayalan sahaja. Teori agamanya adalah berdasarkan kupasan yang diambil dari Surah Jin dan Surah Yassin. Teori budayanya adalah berdasarkan kata-kata teromba yang boleh menjelaskan tentang Alam Bunian dan Jin tersebut.
Dapatan awal didapati masyarakat begitu meletakkan kepercayaan yang penuh kepada Alam Bunian dan Jin ini, sehingga ada yang dikatakan berkahwin dengan bunian dan bersahabat dengan Jin. Dikatakan juga Jin adalah sahabat rapat mereka untuk mendapatkan hajat yang tertentu. Orang yang bersahabat dengan Jin ini dikatakan mempunyai banyak kelebihan dan menjadi rujukan kepada masyarakat. Orang yang berkahwin dengan Bunian itu dikatakan orang yang jujur. Bunian juga dikatakan suka kepada tempat yang bersih dan mereka akan marah jika masyarakat mengotorkannya. Jin juga selalu dijadikan perantaraan dalam pekerjaan yang tidak dapat dijelaskan oleh manusia.
Pengkaji akan mencari bukti dan rasionalnya berdasarkan Surah Jin, Surah Yassin dan kata-kata teromba. Di sini terdapat banyak perkara yang boleh dijelaskan tentang Alam Bunian dan Jin ini. Kajian ini diharap akan dapat dijadikan panduan oleh pengkaji lain dan masyarakat dan dengan harapan akan diperdebatkan lagi untuk mencari isinya yang benar dan menarik.
Dato’ Paduka Dr Rosli Saludin
Ketua Jabatan Kesusasteraan,
Fakulti Bahasa dan komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak
oleh Zabidin Hj Ismail
Nama Tamar Jalis ada tercatat dalam Hikayat Inderaputera[1] yang menyebut bahawa Tamar Jalis adalah anak raja jin Tamar Bunga (Tamar Boga) yang telah dibunuh oleh Inderaputera. S.W Rujiati Mulyadi mencatatkan bahawa Tamar Jalis adalah anak jin kafir;
"….sebagai contoh umpamanya diceritakan bahawa Tamar Jalis, anak seorang raja jin kafir, berperang dengan Nobat Rum Syah, anak seorang jin Islam. Pada akhirnya Inderaputera datang membantu barisan jin Islam dan Tamar Jalis dapat dibunuhnya. Dendam akan hal ini ayah Tamar Jalis – Tamar Boga – mencari-cari Inderaputera, yang ditemukannya sedang tidur terlena di bawah pohon”.[2]
Sehubungan itu, Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah nama samaran Ahmad Mahmud, seorang penulis anak kelahiran Beruas, Perak. Beliau memilih Tamar Jalis kerana nama yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera itu, amat sesuai dengan tajuk siri yang berkaitan dengan mahkluk jin.
Latar Belakang SBDJ
SBDJ karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan. Sebanyak 284 siri disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur berterusan selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga Januari 2005.
Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan, termuat dalam 16 buah buku. Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri.
Menurut Prof. Dr. Adnan Nawang pernah membuat anggaran bahawa SBDJ tercetak lebih sejuta naskhah. Sayangnya, disebabkan siri itu teramat popular, ia dicetak rompak dan dijual di mana-mana, sehingga di pekan-pekan kecil, kedai runcit Mamak dan Cina pun menjual siri itu. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.
Meskipun SBDJ tersohor dengan kisah hantu, jin dan makhluk halus yang melingkari kehidupan orang Melayu zaman dahulu, tetapi secara instrinsik manipulatif ia memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi, pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Krinchi, Bangkahulu dan Aceh) serta kepakaran menundukkan makhluk halus.
Karya ini digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan peristiwa melalui “orang pertama” iaitu Tamar Jalis bersama “datuk”nya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah) yang berkonsepkan penulisan memoir.
Semenjak terbitnya SBDJ hingga kini, karya tersebut sangat diminati ramai dan mempunyai “peminat” tersendiri sehingga wujud facebook dan blog yang menggunakan nama Tamar Jalis dengan kendalian peminatnya. Melalui laman sosial dan blog berkenaan para peminat sering bertukar maklumat / pandangan mengenai SBDJ[3].
[1] Bab 4 – Di Negeri Jin Islam, hlm. 21
[2] S.W. Rujiati Mulyadi dlm. Rona Keislaman dalam Hikayat Inderaputera, hlm. 136-137. Lihat http://www.persee.fr/web/revues/home/prescript/article/arch_0044-8613_1980_num_20_1_1594
| Title : Pemikiran Politik dalam Novel Ahmad BoestamamAuthor : Zabidin Haji IsmailISBN : 978-983-100-439-5 Year Publish : 2010 Page Number : 160 Category : General | ||
Content Ahmad Boestamam menguasai tiga bidang yang berbeza – politik, kewartawanan dan sasterawan – dan tersohor kerana ketiga-tiganya. Melalui pengalaman dan penglibatannya dalam bidang politik, Ahmad Boestamam menterjemahkan pemikiran politik ke dalam novel tulisannya. Penampilan pemikiran politik itu disimpulkan mengandungi tiga aspek iaitu nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme. Ketiga-tiga aspek pemikiran itu pula mempunyai perkaitan antara satu sama lain yang disampaikan dalam bentuk mesej yang digarap dalam novel. Buku ini berasaskan kajian tekstual dan kontekstual dengan tumpuan pada sepuluh buah novel Ahmad Boestamam. Teks novel tersebut dianalisis dan dikupas bagi mencungkil pemikiran politik beliau yang dianggap seorang novelis-nasionalis berpengaruh. Sebelum ini kebanyakan sarjana hanya cenderung melihat peranannya dalam sejarah politik sehingga meminggirkan sumbangannya dalam mengisi rentetan sejarah kesusasteraan Melayu moden tanah air. Buku ini diharapkan dapat menambah khazanah kajian berkaitan Ahmad Boestamam selain boleh dijadikan bahan rujukan penyelidik sastera dan sains politik. |