
oleh Zabidin Hj Ismail
Nama Tamar Jalis ada tercatat dalam Hikayat Inderaputera[1] yang menyebut bahawa Tamar Jalis adalah anak raja jin Tamar Bunga (Tamar Boga) yang telah dibunuh oleh Inderaputera. S.W Rujiati Mulyadi mencatatkan bahawa Tamar Jalis adalah anak jin kafir;
"….sebagai contoh umpamanya diceritakan bahawa Tamar Jalis, anak seorang raja jin kafir, berperang dengan Nobat Rum Syah, anak seorang jin Islam. Pada akhirnya Inderaputera datang membantu barisan jin Islam dan Tamar Jalis dapat dibunuhnya. Dendam akan hal ini ayah Tamar Jalis – Tamar Boga – mencari-cari Inderaputera, yang ditemukannya sedang tidur terlena di bawah pohon”.[2]
Sehubungan itu, Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah nama samaran Ahmad Mahmud, seorang penulis anak kelahiran Beruas, Perak. Beliau memilih Tamar Jalis kerana nama yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera itu, amat sesuai dengan tajuk siri yang berkaitan dengan mahkluk jin.
Latar Belakang SBDJ
SBDJ karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan. Sebanyak 284 siri disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur berterusan selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga Januari 2005.
Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan, termuat dalam 16 buah buku. Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri.
Menurut Prof. Dr. Adnan Nawang pernah membuat anggaran bahawa SBDJ tercetak lebih sejuta naskhah. Sayangnya, disebabkan siri itu teramat popular, ia dicetak rompak dan dijual di mana-mana, sehingga di pekan-pekan kecil, kedai runcit Mamak dan Cina pun menjual siri itu. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.
Meskipun SBDJ tersohor dengan kisah hantu, jin dan makhluk halus yang melingkari kehidupan orang Melayu zaman dahulu, tetapi secara instrinsik manipulatif ia memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi, pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Krinchi, Bangkahulu dan Aceh) serta kepakaran menundukkan makhluk halus.
Karya ini digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan peristiwa melalui “orang pertama” iaitu Tamar Jalis bersama “datuk”nya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah) yang berkonsepkan penulisan memoir.
Semenjak terbitnya SBDJ hingga kini, karya tersebut sangat diminati ramai dan mempunyai “peminat” tersendiri sehingga wujud facebook dan blog yang menggunakan nama Tamar Jalis dengan kendalian peminatnya. Melalui laman sosial dan blog berkenaan para peminat sering bertukar maklumat / pandangan mengenai SBDJ[3].
[1] Bab 4 – Di Negeri Jin Islam, hlm. 21
[2] S.W. Rujiati Mulyadi dlm. Rona Keislaman dalam Hikayat Inderaputera, hlm. 136-137. Lihat http://www.persee.fr/web/revues/home/prescript/article/arch_0044-8613_1980_num_20_1_1594
No comments:
Post a Comment